Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran ‘Homerun’ di flat sewa luahan kreativiti kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah

Seni ada di mana-mana dan flat sewa di 55 Lengkok Bahru ini tidak terkecuali. Dari 24 Oktober hingga 19 Disember, dua unit di tingkat enam blok tersebut merumahkan ‘Homerun’ – koleksi pemasangan seni berwarna-warni oleh lima kanak-kanak dari keluarga-keluarga kurang berkemampuan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seni ada di mana-mana dan flat sewa di 55 Lengkok Bahru tidak terkecuali.

Dari 24 Oktober hingga 19 Disember, dua unit di tingkat enam blok tersebut merumahkan ‘Homerun’ – koleksi pemasangan seni berwarna-warni oleh lima kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan. Ia dianjurkan oleh Superhero Me, sebuah gerakan masyarakat yang berusaha menyatukan dan memperkasa kanak-kanak dari latar belakang serta keupayaan yang berbeza menerusi seni kreatif.

Pameran ‘Homerun’ yang sepatutnya berlangsung pada bulan Mac lalu terpaksa ditunda apabila pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuat kuasakan. Namun menurut Rakan Pengasas Superhero Me, Jean Loo, ada hikmah di sebalik acara itu ditangguh.

“Oleh sebab COVID-19, kami dapat peluang untuk meluangkan lebih banyak masa dengan kanak-kanak ini, untuk menemani mereka mempersiapkan diri untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan ia benar-benar memberi kami masa untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum kami menutup lembaran ini,” kongsi beliau.

‘Homerun’ ibarat projek perpisahan bagi Nur Shahanis Johar, Raden Rauf Radin Padli serta rakan-rakan mereka Maryangelly Jayabahan, Brandvan Yang dan Alfred Goh yang telah mengikuti program Superhero Me sejak ia pertama dirintis pada 2014. Ketika itu, mereka masih lagi di tadika dua dan tinggal di Lengkok Bahru.

Kini, lima sekawan yang berusia 12 tahun sudah bersedia melangkah ke alam sekolah menengah dan ‘Homerun’ diterbitkan bagi menjejak perjalanan mereka bersama Superhero Me sepanjang enam tahun lalu.

(Artis-artis cilik yang menjayakan 'Homerun'. Dari kiri: Maryangelly Jayabahan, Nur Shahanis Johar, Alfred Goh, Raden Rauf Radin Padli dan Brandvan Yang. Gambar ihsan: Marvin Tang, Superhero Me)

PERASAAN BOSAN JADI INSPIRASI KARYA NUR SHAHANIS

Di koridor depan unit #06-393, tujuh helai kain dengan coretan seni Nur Shahanis menyambut para pengunjung. Dengan judul ‘Daze of the Week’, setiap helai yang digantung dari siling memaparkan secara abstrak kegiatan-kegiatan yang lazim dilakukan Nur Shahanis setiap hari.

Hari Ahad, misalnya, digambarkan dengan tapak sulaiman kerana ia mirip bentuk badan Nur Shahanis ketika beliau berbaring di lantai untuk berehat. Corak bagi hari Khamis pula menggunakan bentuk gelombang bunyi kerana beliau gemar menari mengikut lagu-lagu TikTok pada hari itu.

Bentuk-bentuk yang berlainan ini disusun menjadi corak teselasi menggunakan PowerPoint dan kemudiannya dicetak pada kain dengan bantuan mentor Superhero Me.

Nur Shahanis menerangkan karyanya diilhamkan oleh perasaan bosan dan bagaimana dia mengisi masa untuk mengatasi perasaan itu.

"Saya rasa kebosanan membantu saya memikirkan idea-idea yang menarik untuk mengisi masa dan (menerusi karya ini) saya ingin menyampaikan kepada orang ramai bahawa kebosanan tidak semestinya sesuatu yang negatif," kongsi beliau.

(Nur Shahanis bersama karyanya yang berjudul 'Daze of the Week'. Gambar ihsan: Marvin Tang, Superhero Me)

RADEN RAUF RAKAM HIDUP DALAM KELUARGA YANG BESAR

Bagi Raden Rauf pula, lapan anggota keluarganya menjadi tumpuan karyanya. Rauf, yang merupakan anak bongsu dalam empat beradik, tinggal bersama kedua-dua ibu bapa serta datuk dan neneknya di bawah satu bumbung.

Perspektif Rauf membesar dengan ahli keluarga yang ramai dipaparkan melalui siri potret dan lukisan bertajuk ‘Family Album’. Setiap anggota digambarkan dan diberi gelaran yang mencerminkan perwatakan mereka seperti ‘Mr. Friendly’ untuk ayahnya yang peramah dan mudah berkawan, dan ‘Mdm Cleanliness’ untuk neneknya yang suka membersihkan rumah.

Proses mengarah anggota keluarganya sewaktu sesi bergambar ternyata agak janggal bagi Rauf yang lebih biasa menerima arahan daripada orang lain. Meskipun demikian, Rauf berkongsi bahawa pengalaman tersebut telah membina keyakinan dirinya dan mendekatkannya lagi kepada ahli keluarga.

Rauf turut bersyukur dengan peluang serta pengalaman berharga yang diraih bersama Superhero Me sejauh ini.

“Superhero Me telah membuat saya lebih yakin untuk mengekspresi emosi saya kepada orang lain dan membuat saya senang berkawan dengan orang baru,” kongsinya.

(Raden Rauf bersama karyanya yang berjudul 'Family Album'. Gambar ihsan: Marvin Tang. Superhero Me)

Sebuah muzium kecil yang menyorot enam tahun perjalanan Superhero Me serta karya-karya seni tiga lagi peserta ‘Homerun’ juga boleh dinikmati sehingga 19 Disember ini.

Ia diadakan secara lawatan berpandu dan buat masa ini, hampir kesemua slot ‘Homerun’ pada hari minggu sudah ditempah tetapi slot-slot baru akan diumumkan pada 13 November. Mereka yang berminat boleh juga membentuk sekumpulan lima orang dan meminta lawatan diadakan pada hari-hari biasa dengan pihak penganjur.

Pameran versi digital ‘Homerun’ pula akan dilancarkan di https://www.superherome.sg/homerun pada 1 Disember.

(Gambar ihsan: Marvin Tang, Superhero Me)

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan