Pameran Gaya Kebaya tampilkan koleksi 130 tahun gaya kebaya nusantara; raikan warisan & busana kebaya
SINGAPURA: Menyusuri masa dan evolusi kebaya sepanjang 130 tahun menerusi koleksi kebaya dari Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Itulah yang dapat dilakukan para pengunjung ke pameran "Gaya Kebaya - 130 tahun" oleh Kebaya Société yang akan dibuka secara rasmi pada 4 petang, Sabtu (18 Nov).
"Pilihan kebaya dalam pameran kami berbeza dari segi bentuk, tekstil dan juga corak. Pengunjung dapat melihat pelbagai variasi kebaya yang ada dari 1890an hingga ke hari ini," kongsi Pengasas Kebaya Société, Sufiyanto Amat Sopingi.
Malah, setiap kebaya yang dipamerkan itu mempunyai kisahnya tersendiri dan ada juga kebaya turun-temurun.
Sekitar 20 kebaya akan dipamerkan dan antaranya ialah kebaya tertua dalam pameran itu yang berusia kira-kira 130 tahun milik Cik Sa'odah Basalamah.
Kebaya dari tahun 1890an itu dihadiahkan cucunya, Cik San'ah Abdullah Abdat kepada Kebaya Société.
KEBAYA OLEH "WANITA-WANITA KAMPONG GELAM" DITAMPILKAN
Lebih bermakna lagi bagi pameran di Kampong Gelam itu, terdapat juga beberapa kebaya yang pernah dipakai oleh wanita-wanita yang satu ketika dahulu menetap atau bekerja di kawasan itu.
Antaranya, kebaya milik Saleha Mohamed Shah, atau nama pena beliau Haliza Mohd Som, yang merupakan penyunting wanita Melayu pertama bagi majalah fesyen di Singapura dan Malaya.
"Sebagai seorang Editor Fesyen, beliau mengetengahkan (imej) berkebaya dan beliau akan pergi ke kerja atau majlis dengan berkebaya," menurut Encik Sufiyanto.
"Pada pendapatnya, kebaya lengkap adalah dengan bersanggul dengan cucuk sanggul, berkain wiron dengan batik dan selendang," tambahnya.
Beliau juga merupakan antara lapan wanita yang disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura tahun ini.
"Beliau bercerita bahawa apabila beliau pergi ke kerja (dahulu), wanita-wanita di tempat kerjanya akan mengintip untuk melihat apa yang akan dipakai olehnya pada ketika itu," kongsi Encik Sufiyanto.
Selain itu, kebaya Nyonya milik Cik Ong Ah Gek pemilik butik batik pada 1960an di 63 Arab Street, serta kebaya moden milik Cik Asia Jofrie turut ditampilkan.
MAHU PERLUASKAN 'KOSA KATA' FESYEN MELAYU
Cik Asia Jofrie merupakan cucu kepada usahawan popular tali pinggang, Haji Yusoff, dan ibu kepada penulis Hidayah Amin.
"Puan Asia dilahirkan di Gedung Kuning dan juga membesar di situ dan menurut anak perempuannya, ibunya gemar berkebaya dan berbaju kurung tidak kira di rumah atau di luar," cerita Encik Sufiyanto.
"Dari melihat gambar-gambar Puan Asia, kami dapat melihat bahawa beliau gemar berkebaya moden, di mana lehernya lebih bulat dan dipadukan dengan kain batik," tambahnya.
Selain mengenakan kebaya untuk acara atau majlis penting, wanita-wanita pada ketika itu juga sering memakai kebaya moden dalam kehidupan seharian mereka.
Dengan menampilkan pelbagai jenis kebaya dari seawal 1890an, ia merupakan antara usaha Kebaya Société untuk memperluaskan lagi koleksi fesyen Melayu.
"Dari segi konteks masyarakat Melayu, ia adalah satu identiti untuk wanita Melayu dan saya rasa kebaya ini masih kukuh dan belum ditinggalkan dan dilupakan dan saya rasa ia sentiasa akan ada," ujar Encik Sufiyanto.
"Kami ingin memperluaskan kosa kata busana fesyen Melayu dan pelbagai jenis kebaya yang ada di nusantara dari abad ke abad," tambahnya.
Di pameran itu, para pengunjung juga boleh melihat trend dan perubahan dalam gaya kebaya.
"Dari segi keistimewaan, saya rasa kebaya-kebaya dari 1950an dan 1960an lebih teliti dari segi jahitannya. Ada kemungkinan kain agak mahal atau terhad, jadi si penjahit akan menjahitnya dengan lebih teliti agar ia bertahan juga," menurut Encik Sufiyanto.
Baginya, wanita hari ini "sangat kreatif" dengan cara mereka menggayakan kebaya yang disesuaikan mengikut acara.
"Saya memuji usaha mereka kerana mereka yang (terus) melestarikan budaya kebaya," tambahnya.
Pameran "Gaya Kebaya - 130 Tahun" akan berlangsung dari 18 hingga 26 November dan dibuka dari 12 tengah hari hingga 6 petang.
PELBAGAI PROGRAM MENARIK UNTUK PENGUNJUNG PADA 18 NOV
Pameran "Gaya Kebaya - 130 tahun" itu merupakan sebahagian daripada acara "Gaya Kebaya – Raikan Warisan Kita" yang akan diadakan Sabtu (18 Nov).
Acara anjuran BERITA Mediacorp dan One Kampong Gelam itu bertujuan meraikan busana warisan Kebaya yang digayakan kaum wanita Asia Tenggara.
Ia termasuk Tayangan Perdana Dokumentari khas "Kebaya Gaya Nusantara" serta Peragaan Fesyen Kebaya.
"Sebagai wadah media kami berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk kebaikan dan masa depan warisan kita orang Melayu. Jangan sampai warisan ini tenggelam. Jangan sampai warisan ini nanti dicuri orang lain, yang mengatakan ini warisan mereka. Jadi kalau warisan ini betul warisan orang Melayu, kita harus sama-sama meraikan, mengetengahkan dan jangan sampai dilupakan," tambah beliau yang juga merupakan Ketua Hubungan Masyarakat Melayu, Mediacorp.
Dalam pada itu, Encik Sujadi juga melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan kerja yang turut tampil ke hadapan menjayakan acara itu bersama.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana semua yang akan mengambil bahagian ini merasakan tujuan yang sama bahawa warisan ini harus kita miliki bersama dan diperjuangkan dan diusahakan supaya tidak dilupakan," ujar beliau.
Acara itu disokong Lembaga Warisan Negara, Taman Warisan Melayu, Muzium Peranakan Singapura, Butik Ratianah, Toko Aljunied, Butik Mozaic, Baju by Oniatta, Kiah's Gallery, Kampong Gelam Alliance, Pertubuhan Shaw dan Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.