Pameran "Gaya Kebaya – 130 Tahun" kembalikan nostalgia fesyen kebaya klasik
SINGAPURA: Lawatan ke pameran "Gaya Kebaya – 130 Tahun" di 45 Sultan Gate mengembalikan kenangan lama bagi sebilangan pengunjung.
Pameran oleh Kebaya Société sempena acara Gaya Kebaya – Raikan Warisan Kita anjuran bersama BERITA Mediacorp dan One Kampong Gelam itu membawa pengunjung menyusuri masa dan evolusi kebaya sepanjang 130 tahun menerusi koleksi kebaya dari Singapura, Indonesia dan Malaysia.
.jpg)
Sebanyak 25 kebaya yang dipamerkan mempunyai kisahnya tersendiri dan ada juga kebaya turun-temurun.
Kebaya tertua dalam pameran itu berusia kira-kira 130 tahun.
Sejak dibuka pada Sabtu (18 Nov), pameran itu menarik lebih 1,100 pengunjung.
Salah seorang daripadanya yang menggamit memori ialah Encik Mohamed Raziep.
"Saya masih teringat masa kecil-kecil arwah ibu saya dia ada kebaya. Macam tahun 60-an, gaya-gaya (biduanita) Saloma."
Begitu juga bagi Cik Hadijah Adnan, 65 tahun, yang sangat meminati gaya klasik.
"Saya suka tengok kebaya, lebih-lebih ada kebaya lama-lama yang ada di sini. Saya dapat melihat kebaya-kebaya yang dipakai orang dulu-dulu. Saya teringat arwah nenek saya, emak saya yang suka pakai (kebaya)," ujar beliau.
Seorang lagi peminat kebaya yang teruja melawat pameran itu ialah Encik Asari Rafie.
"Saya sangat minat dengan kebaya. Lagi-lagi, saya hendak tahu berapa macam kebaya yang sebenarnya ada. Yang saya tahu cuma kebaya Kota Bharu, kebaya panjang dan kebaya moden. Apabila saya ke mari, terdapat banyak jenis kebaya yang ada di sini. Yang paling menarik kebaya yang ada di sini ialah kebaya orang-orang lama," kata beliau.
Encik Mohamed Raziep pula terkenang gaya kebaya ibunya yang mengikut gaya bintang filem.
"Teringat masa kecil arwah ibu saya dia ada kebaya. Di tahun 60-an, (beliau) ikut gaya Saloma," kongsi beliau.
.jpg)
Turut diadakan satu peragaan fesyen kebaya yang digayakan para pelanggan tiga kedai Toko Aljunied, Mozaic Singapore dan Kebaya by Ratianah.
Salah seorang daripadanya ialah Cik Sara Gan, 21 tahun.
Menurutnya, acara tersebut adalah peluang yang baik untuk memaparkan tradisi kebaya.
"Saya teringin memakai kebaya sejak kecil tetapi bimbang tentang persepsi orang terhadap saya kerana tidak banyak gambaran mengenainya," kongsi beliau.
Antara yang memperagakan kebaya di acara itu ialah Cik Deva Harron.
Beliau turut gembira diberi peluang untuk menampilkan busana kebaya Indonesia.
"Ia acara yang sangat istimewa terutama untuk kami yang dari Indonesia dan sudah lama tinggal lama di Singapura. Pastinya bangga dapat sertai acara penting seperti ini," kata beliau.
Pasangan Cik Noorma Salim dan suaminya Idris Abdul Rashid juga berasa bangga dapat menjayakan acara peragaaan kebaya itu.
"Ramai datang berkebaya, jadi dapat sama-sama memperagakannya. Saya dapat melihat wanita anggun, menggayakan fesyen kebaya yang bermacam-macam bentuk dan fesyen," kata Cik Noorma.
Pameran "Gaya Kebaya - 130 Tahun" di 45 Sultan Gate berlangsung hingga Ahad ini (26 Nov) dan dibuka dari 12 tengah hari hingga 6 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.