Pameran 'Cipta - Art Through Time' oleh APAD himpun 33 artis pelbagai generasi, tampilkan kisah SG
SINGAPURA: Daripada lukisan, arca, tembikar hinggalah instalasi dan seni media campuran.
Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) membawa bersama 33 penggiat seni visual dalam pameran seni tahunannya yang diadakan di Galeri Sekolah Seni (SOTA) sempena SG60 dan ulang tahunnya ke-63.
Ini termasuk menyediakan ruang khas bagi karya tokoh-tokoh perintis seni yang sudah membentuk landskap seni di Singapura sejak sekian lama.
Mereka adalah Mohamed Abdul Kadir @ S. Mohdir, Sulaiman Suhaimi, serta penerima Pingat Budaya, Abdul Ghani Hamid dan Sarkasi Said.
Berjudul 'Cipta - Art Through Time', pameran itu merupakan sebahagian daripada siri pameran tahunan APAD, 'Kontemporari'.
"Tahun ini, memang saya rasa masa yang tepat untuk mengetengahkan atau memberi penghargaan khas kepada pengasas-pengasas kami. Jadi, ruangan khas disediakan di sini untuk mengetengahkannya supaya ahli-ahli kami yang muda dapat mengetahui lebih tentang bagaimana APAD ditubuhkan, siapa pengasasnya dan apa kegiatan-kegiatan yang berlalu," kongsi Presiden APAD Cik Masturah Sha’ari kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
PAMERKAN 26 ANGGOTA APAD BERBILANG GENERASI
Malah, pameran itu juga mengetengahkan 26 anggota APAD yang berusia 22 hingga 85 tahun.
"Dengan ahli-ahli muda ini, kita dapat menggalakkan sambungan dan juga menggalakkan pelapis yang baharu untuk masa depan. Dengan adanya juga ahli yang lebih berpengalaman dan mereka yang sudah terkemuka, ini juga mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli berbagai usia, generasi, supaya dapat diadakan dialog juga," menurut Cik Masturah.
Selain kepelbagaian bentuk karya seni yang ditampilkan, setiap daripada mereka juga mempunyai unsur-unsur "Singapura".
"Ada cerita dan sejarah Singapura. Ada juga karya yang mengetengahkan identiti budaya Melayu seperti kuih-muih, mitologi seperti 'Singapura Dilanggar Todak', batik dan sebagainya. Ada juga Seni Islamik dan ini semua menunjukkan budaya, agama dan pengalaman yang dilalui masyarakat Melayu - daripada sejarah Singapura sehinggalah amalan mereka hari ini. Jadi kandungan atau subjeknya sangat luas," ujar Cik Masturah.
TAMPILKAN PRESIDEN PERTAMA SG DALAM KARYA SENI
Antara artis yang menyertai pameran itu ialah Encik Ramli Nawee, 62 tahun, dengan instalasi 3D berjudul 'Stronger Together', yang menampilkan Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak.
Ia diilhamkan oleh karyanya yang dipamerkan di Itali sempena SG50 pada 2015.
"Setiap elemen dalam karya ini diambil daripada setiap wang ringgit Singapura. Daripada S$2 hingga S$50 dan diadunkan bersama wajahnya (Yusof Ishak). Di belakang pula merupakan fabrik masyarakat Singapura yang berbilang bangsa - bagaimana masyarakat yang berbilang kaum ini boleh bergabung bersama menjadi satu negara yang utuh dan maju," kongsi Encik Ramli.
"Kita kerap menggunakan wang dolar itu setiap hari. Tetapi kita tidak pernah memerhatikan wajah dalam nota wang itu kerana kalau kita memerhatikan wajahnya itu, beliau (Yusof Ishak) menampakkan betapa rasa prihatinnya beliau terhadap masa depan negara ini. Dan Alhamdulillah, setelah 60 tahun, kita berjaya berkembang maju sebagai negara dunia pertama," tambahnya.
APAD SEDIAKAN LANDASAN UNTUK PENGKARYA MELAYU
"Pameran seperti Cipta ini melambangkan bahawa pengkarya Melayu yang kreatif wujud di sini dan inilah satu-satu landasan yang kita harus memperkuatkan, dan mempertahankan kerana tanpa APAD, tanpa ada pameran (sebegini), mungkin orang tidak kenal kita di mana. Jadi ini satu peluang keemasan untuk semua pelukis. Walaupun anak muda sekalipun, (kita) harus bersama untuk menjayakan," ujar Encik Ramli.
Sentimen yang sama turut dikongsi seorang lagi artis, Encik Salihin Sulaiman.
"Sangat penting kerana kita salah satu persatuan Melayu yang masih wujud dalam kalangan masyarakat kita. Sudah 63 tahun sejak 1962. Dan kita inginkan ramai pelukis ataupun pengkarya di luar sana yang dapat melihat dari jauh. Tetapi kalau boleh dapat sama-sama kitalah memajukan APAD dan memajukan karya-karya seni Melayu kita. Insya-Allah," kongsi Encik Salihin.
Kali ini, beliau menampilkan seni Islamik berjudul 'Qaf Ha Ya Ain Shod' dalam bentuk media campuran.
"Setelah lebih 20 tahun saya bersama APAD, saya sudah berhenti melukis sebenarnya dan kini saya kembali melukis dengan mengikut cara saya sendiri iaitu penulisan yang berwarna. Karya saya berbentuk seperti kaligrafi, tetapi saya tidak menyifatkannya sebagai kaligrafi. Ia adalah sebuah karya yang menampilkan warna-warna huruf-huruf di dalam Al-Quran," tambahnya.
SENI MAIN PERANAN PENTING RAPATKAN MASYARAKAT
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir untuk menyerikan lagi pelancaran pameran itu, memuji usaha APAD dalam membina platform bagi artis Melayu tempatan.
Beliau berkata: "Seni bukan sekadar ekspresi kreatif. Ia memainkan peranan penting dalam merapatkan masyarakat, merentasi generasi, serta memupuk masyarakat yang saling menghormati dan inklusif. Pameran hari ini, 'Cipta - Art Through Time', amat bermakna kerana ia memperingati 60 tahun kemerdekaan Singapura dan ulang tahun ke-63 APAD dalam memperjuangkan seni visual tempatan."
USAHA DIJALANKAN UNTUK DOKUMENTASI SEJARAH SENI VISUAL MELAYU SG
Menurut APAD, satu usaha juga sedang dijalankan untuk mendokumentasikan sejarah seni visual Melayu di Singapura yang sudah bermula seawal 1940an lagi.
"Seni visual di Singapura memang sudah wujud sejak sebelum tahun 60-an lagi. Kegiatan seni visual masyarakat Melayu (adalah) seawal tahun 1940-an, sesuatu yang mungkin ramai tidak tahu. Jadi, saya rasa penting untuk kita mendokumentasikan sejarah ini. Sekarang, kajian sedang dijalankan untuk membukukan kegiatan dan sejarah APAD, dan sejarah kegiatan seniman Melayu kita," dedah Cik Masturah.
Pameran APAD ini, yang disokong Maya Gallery, Persekutuan Seni Singapura, dan SG60 Bersama akan berlangsung sehingga Selasa (5 Ogos) di SOTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.