Skip to main content

Singapura

Pameran bertema Indonesia tampil lebih 7,000 orkid sempena Festival Taman SG 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Pameran bertema Indonesia tampil lebih 7,000 orkid sempena Festival Taman SG 2026

Antara tarikan utama ialah arca anyaman yang dihasilkan menggunakan teknik anyaman tradisional Indonesia berusia beratus-ratus tahun, termasuk sepasang arca naga yang mengapit replika candi bentar, iaitu pintu gerbang terbelah yang menjadi ikon seni bina Bali. (Gambar: Taman di Pesisiran)

Diterbitkan : 05 Jul 2026 12:43PM
SINGAPURA: Lebih 7,000 orkid menghiasi Flower Dome sempena pameran orkid tahunan 'Orchid Extravaganza: Rhythm of the Rainforest'.

Pameran yang menggabungkan gubahan bunga berwarna-warni dengan elemen seni dan budaya yang menarik itu diadakan bagi meraikan kepelbagaian Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Pernah mengetengahkan Thailand, Filipina, Kemboja serta Malaysia sebelum ini, edisi tahun ini mendapat inspirasi daripada biodiversiti dan warisan budaya Indonesia.

Daya tarikan utamanya termasuk arca anyaman berskala besar, yang dihasilkan menggunakan bahan tumbuhan semula jadi menerusi seni anyaman tradisional berusia beratus-ratus tahun yang jarang dilihat di luar negara itu.

Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia dan Kedutaan Republik Indonesia di Singapura, pameran tersebut dirasmikan pada Sabtu (4 Jul) oleh Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan.
Related article image
Timbalan Menteri Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia, Irene Umar, dan Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan, melihat arca anyaman yang menggambarkan patung ondel-ondel dari Jakarta. (Gambar: Taman di Pesisiran)
Encik Tan turut menyampaikan anugerah di Majlis Penyampaian Hadiah Pertunjukan Orkid Singapura.

'Orchid Extravaganza: Rhythm of the Rainforest' dan Pertunjukan Orkid Singapura merupakan sebahagian daripada Festival Taman Singapura tahun ini, yang kembali diadakan di Taman di Pesisiran buat kali pertama sejak 2018.

Edisi ke-10 itu juga menandakan tiga edisi berturut-turut ia dianjurkan di Taman di Pesisiran.

Pameran itu akan berlangsung sehingga 10 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gardens by the Bay, Felix Loh berkata Singapura dan negara-negara jiran ASEAN bukan sahaja berkongsi kedudukan geografi yang dekat, malah mempunyai khazanah flora tropika yang kaya hasil warisan Asia Tenggara yang sama.

"Selepas mengetengahkan beberapa negara ASEAN menerusi pameran orkid kami, kini kami memberi tumpuan kepada Indonesia dengan menggabungkan kepelbagaian orkid luar biasanya bersama tradisi budaya dan hasil kraf tangan yang mengagumkan.

"Pameran ini juga menjadi pembuka tirai kepada pameran orkid berskala besar tahun depan sempena ulang tahun ke-60 ASEAN, yang akan meraikan warisan orkid dan kepelbagaian budaya kesemua 11 negara anggota ASEAN.

"Dengan Orchid Extravaganza menjadi sebahagian daripada Festival Taman Singapura tahun ini, para pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pesta orkid, malah pelbagai pameran hortikultur yang lebih menyeluruh."

ORKID ASLI INDONESIA

Indonesia dianggarkan mempunyai kira-kira 5,000 spesies orkid, menjadikannya antara negara yang mempunyai kepelbagaian orkid tertinggi di dunia.

Ia didorong oleh hutan hujan tropika yang luas, landskap yang rencam serta iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

Antara spesies orkid asli Indonesia yang dipamerkan termasuk orkid antelop, orkid bulan dan orkid harimau.

MENELUSURI WARISAN INDONESIA

Mengambil inspirasi daripada pelbagai wilayah di Indonesia, pameran itu turut memberi penghormatan kepada seni bina, budaya dan cerita rakyat negara tersebut.

Sembilan arca anyaman gergasi turut mengetengahkan seni anyaman tradisional Indonesia menggunakan bahan tumbuh-tumbuhan.

Arca itu dihasilkan oleh 27 artisan Bali dalam tempoh lebih 900 jam dan memaparkan hidupan liar, ikon budaya serta cerita rakyat Indonesia, termasuk naga mitos, biawak Komodo, harimau Sumatra yang sangat terancam, burung enggang, burung merak, bunga Rafflesia dan 'ondel-ondel', patung gergasi upacara masyarakat Betawi di Jakarta.

Pertunjukan Orkid Singapura, anjuran Taman di Pesisiran dan Persatuan Orkid Asia Tenggara (OSSEA), menghimpunkan 360 penyertaan orkid daripada penggemar serta pengusaha industri dari seluruh rantau ini.

Semua penyertaan, termasuk spesimen yang memenangi anugerah tahun ini, dipamerkan di Mediterranean Garden dan South American Garden di Flower Dome dari 4 hingga 12 Julai ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita