Skip to main content

Singapura

Pameran bergerak, lawatan kejiranan dilancarkan, tingkat kesedaran risiko kebakaran kediaman

Dari lawatan mingguan di estet kejiranan hingga ke pameran masyarakat, satu kempen kebangsaan berhubung keselamatan semasa kebakaran kediaman sedang dijalankan di seluruh negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Pameran bergerak, lawatan kejiranan dilancarkan, tingkat kesedaran risiko kebakaran kediaman

Acara Hari Daya Tahan Masyarakat atau "Community Resilience Day" menampilkan demonstrasi keselamatan kebakaran dan latihan pemindahan. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Dari lawatan mingguan di estet kejiranan hingga ke pameran masyarakat, satu kempen kebangsaan berhubung keselamatan semasa kebakaran kediaman sedang dijalankan di seluruh negara.

Inisiatif yang dinamakan "Lebih Sedar, Rumah Lebih Selamat" (Better Awareness, Safer Homes) itu bertujuan untuk mendidik para penduduk tentang cara bertindak semasa kebakaran, di samping mengenal pasti potensi bahaya di rumah dan dalam masyarakat mereka.

Kempen itu dilancarkan susulan kebimbangan yang meningkat berhubung kebakaran yang berpunca daripada alat mobiliti peribadi (PMD), yang jumlahnya meningkat dua kali ganda pada separuh pertama tahun ini.

KESELAMATAN KEBAKARAN DI RUMAH

Kempen tersebut merupakan usaha bersama Majlis Kesiapsiagaan Kebakaran dan Kecemasan Kebangsaan (NFEC), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Persatuan Rakyat (PA).

Ia dilancarkan pada hujung minggu lalu di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Marymount, yang kedua-duanya di bawah pengurusan Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh.

Majlis-majlis bandaran juga akan mempertingkatkan pemeriksaan mingguan di kawasan awam untuk memastikan ruang tangga dan laluan bersama bebas daripada hadangan yang boleh menjejas usaha menyelamat semasa kebakaran.

“Anggota kami yang terlatih akan mengunjungi blok-blok HDB dan memeriksa tangga serta koridor. Mereka akan mengambil gambar sebarang risiko kebakaran dan melaporkannya kepada OneService,” kata Naib Pengerusi NFEC, John Wu.

Aplikasi OneService membolehkan orang ramai menghantar maklum balas mengenai isu perbandaran, yang kemudian akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. Dalam kes seperti barangan yang menghalang laluan di kawasan kejiranan, majlis bandaran akan mengambil tindakan untuk membersihkannya.

Berucap di acara Community Resilience Day yang diadakan di Plaza@128 Toa Payoh pada Ahad (19 Okt), Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat, menekankan pentingnya kesiapsiagaan dan kewaspadaan masyarakat dalam mencegah kebakaran di tempat kediaman.

“Daya tahan masyarakat bukanlah sesuatu yang boleh dicapai oleh segelintir individu atau agensi sahaja. Ia memerlukan komitmen kita semua,” kata Encik Chee, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Bishan-Toa Payoh.

“Apabila kita bersiap sedia dan berwaspada, kita meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkukuh daya tahan seluruh masyarakat.”

KEBAKARAN PMD SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Semasa acara itu, Encik Chee memberi amaran bahawa kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif yang tidak mematuhi piawaian masih menjadi kebimbangan utama.

Dalam separuh pertama 2025, sebanyak 20 kes kebakaran melibatkan PMD dilaporkan. Jumlah tersebut adalah dua kali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, menurut SCDF.

Siasatan selama ini mendapati kebanyakan kejadian berpunca daripada pek bateri yang diubah suai atau bukan asli, serta pengecas tiruan yang dibeli secara online atau daripada penjual tidak berlesen.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, terdapat 77 kes kebakaran berkaitan PMD di kawasan perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akibat penggunaan komponen yang tidak mematuhi piawaian.

Kebakaran seperti itu biasanya lebih serius dan lebih berisiko menyebabkan kecederaan atau kematian.

“Sentiasa beli dari kedai yang sah. Jangan ‘zhng’ alat anda, gunakan bateri asal yang diluluskan demi keselamatan anda sendiri,” kata Encik Chee, merujuk kepada istilah Hokkien yang bermaksud mengubah suai.

Encik Chee turut menasihatkan para penduduk agar tidak cuba memadamkan kebakaran PMD dengan sendiri, kerana jenis kebakaran itu biasanya sukar untuk dikawal.

“Alat pemadam api di rumah atau kawasan awam mungkin tidak sesuai atau mencukupi untuk menangani kebakaran PMD,” kata beliau. “Hubungi SCDF dengan segera supaya anggota bomba profesional boleh datang memadamkan api.”

Pihak berkuasa sedang meneliti tindakan lebih tegas terhadap para pengguna dan penjual alat yang diubah suai, selain menyemak garis panduan penyimpanan dan pengecasan selamat bagi PMD.

PELIBATAN MASYARAKAT ADALAH PENTING

Encik Chee berkata selain PMD, matlamat utama kempen tersebut adalah untuk menggalakkan semua penduduk agar menjaga kebersihan kawasan bersama dan mengamalkan tabiat keselamatan daripada kebakaran yang baik.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai orang awam menjalani latihan sebagai responden masyarakat pertama, iaitu individu yang dilengkapi dengan kemahiran asas untuk menyelamatkan nyawa dan boleh membantu semasa kecemasan sebelum bantuan profesional tiba.

Orang ramai boleh menyertai Program Responders Plus SCDF, yang menawarkan latihan dalam bidang seperti pertolongan cemas dan memadam kebakaran.

Terdapat juga program di pusat-pusat masyarakat yang direka bagi mendidik dan membimbing orang ramai tentang pengetahuan serta kemahiran pertahanan awam yang penting.

“Setiap kemahiran yang anda pelajari hari ini, setiap pemeriksaan keselamatan yang anda lakukan, menyumbang kepada (sebuah) masyarakat yang lebih berdaya tahan. Marilah kita semua memainkan peranan untuk meningkatkan keselamatan rumah dan masyarakat kita,” kata Encik Chee.

Kempen itu akan diluaskan ke kawasan kejiranan lain pada bulan-bulan mendatang.

Relawan masyarakat di semua kawasan undi sudah dilatih untuk memeriksa potensi risiko kebakaran di sekitar kawasan kejiranan masing-masing.

Pameran juga akan diadakan untuk mendidik tentang langkah pencegahan kebakaran dan menunjukkan cara penduduk boleh melakukan tindakan berkesan semasa kecemasan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita