Pameran Bergerak Generasi Merdeka sudah dekati 130,000 warga emas dan keluarga
Pemerintah sudah mendekati sekitar 130,000 warga emas dan anggota keluarga mereka menerusi pelbagai acara, dalam usahanya mendidik orang ramai tentang manfaat-manfaat yang boleh diraih di bawah Pakej Generasi Merdeka.
SINGAPURA: Pemerintah sudah mendekati sekitar 130,000 warga emas dan anggota keluarga mereka menerusi pelbagai acara, dalam usahanya mendidik orang ramai tentang manfaat-manfaat yang boleh diraih di bawah Pakej Generasi Merdeka.
Ini dilakukan dalam tempoh kira-kira empat bulan, menerusi pelbagai usaha Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) - termasuk menganjurkan 17 pameran bergerak atau 'roadshow' di kawasan-kawasan kejiranan.
Satu pameran diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) hari ini (20 Okt) untuk mendekati khususnya masyarakat Melayu/Islam Singapura.
GOTONG-ROYONG KUNCI SOKONGAN MENYELURUH
Tetamu terhormat di acara itu, Presiden Halimah Yacob berkata, orang ramai boleh memainkan peranan untuk sama-sama menyokong Generasi Merdeka meniti usia senja. Ini boleh dilakukan dengan mendekati dan membantu mereka memahami dan mendapatkan bantuan tersedia.

(Gambar: LH Goh/MCI)
Presiden Halimah turut disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman yang mengajak para pengunjung menjalani penuaan aktif.
"Dengan menggembleng tenaga dan semangat gotong-royong rangkaian masyarakat ini, kita mampu memberi sokongan menyeluruh dan memastikan warga emas kita dapat memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan mereka," kata Presiden Halimah.
JAGA KESIHATAN TETAP JALAN TERBAIK
Namun, Presiden Halimah percaya, menjaga kesihatan kekal sebagai kunci seseorang mampu menampung kos kesihatan.

(Gambar: LH Goh/MCI)
Lebih-lebih lagi, katanya, statistik menunjukkan "tahap kesihatan masyarakat kita kurang menggalakkan".
"Cara yang terbaik masihlah dengan menjaga kesihatan supaya kita tidak perlu menggunakan khidmat perubatan. Jika kita jatuh sakit, mutu kehidupan kita akan terjejas. Keluarga kita akan merasa kesannya," jelas beliau.
"Maka itu penting untuk kita sendiri bertanggungjawab atas kesihatan diri kita dengan kerap bersenam, menjaga makanan dan menjalani pemeriksaan kesihatan."
Di acara pagi tadi (20 Okt), anggota Generasi Merdeka diberi pendedahan kepada pelbagai saluran untuk menjalani penuaan aktif selain mendakap teknologi.
Ini di samping berpeluang mendapatkan nasihat secara langsung dari para relawan untuk mempelajari tentang pelbagai skim Pemerintah.
PENDEKATAN MELUAS DIDIK MASYARAKAT
Para pengunjung ke reruai M³@WGS dan KURNIA@WGS juga mendapatkan lebih maklumat tentang program-program sokongan serta khidmat yang ditawarkan.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)
Kesemuanya kira-kira 3,800 orang mengunjungi Pameran Bergerak yang diadakan hari ini.
"Banyak saluran tersedia untuk masyarakat kita untuk mengetahui tentang bagaimana mendapatkan bantuan atau Pakej Generasi Merdeka. Di WGS sahaja, ada KURNIA dan pejabat M³," kata Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.
Program-program televisyen juga digunakan sebagai wadah agar masyarakat peka terhadap isu-isu semasa. Misalnya, menerusi naratif siri kedua Abang Teksi, orang ramai kini lebih tahu tentang kerjasama rangkaian sokongan luas untuk memperbaiki kehidupan masyarakat.
Berkisarkan kehidupan seorang pemandu teksi dan berunsur komedi, program tersebut mengupas isu-isu keluarga dan langkah-langkah Pemerintah memperkasa masyarakat.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)
Mengulas lebih lanjut tentang Pakej Generasi Merdeka, Encik Masagos juga mengajak agar warga senja mengambil inisiatif agar kekal aktif dan menjalin hubungan mesra dengan masyarakat yang lebih luas.
"Ini adalah dua cara yang penting menjamin kesihatan selain daripada mendapatkan bantuan."
RELAWAN LANJUT USIA IKUT SERTA
Para duta generasi perintis juga giat mendidik para pengunjung di pameran bergerak hari ini (20 Okt).
Antaranya ialah Cik Jamalbi Abdul Hameed, 62 tahun. Jika lazimnya, beliau mengetuk pintu rumah para penduduk untuk mendengar rintihan mereka, hari ini beliau juga menyertai pameran bergerak di WGS.

Suri rumah itu malah memberi nasihat secara langsung kepada para pengunjung.
"Saya mendapat tahu apakah masalah yang mereka hadapi. Mereka tidak tahu tentang dasar pemerintah. Jadi tugas saya ialah untuk memberi pendedahan," katanya.
Duta Negara Bijak Encik Mohd Saiful Sulaiman pula menyifatkan usaha ini sebagai pendekatan yang baik kerana "tidak ramai generasi merdeka menggunakan telefon bijak".
"Kita dapat mendekati mereka, mereka akan lebih memahami, lebih tahu dan dapat bertanya apa sahaja yang boleh memanfaatkan mereka," kata relawan berusia 32 tahun itu.
Sekitar 500,000 rakyat Singapura dijangka akan meraih manfaat daripada pakej berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.