Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran baru papar keunikan budaya Minangkabau

Keunikan nilai-nilai budaya dan amalan masyarakat Minangkabau ingin dipaparkan kembali di sini bersemperna perayaan Jubli Emas Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 May 2015 10:14PM Dikemas Kini : 18 May 2015 08:03AM

SINGAPURA: Pelbagai aspek budaya serta warisan masyarakat Minangkabau dapat anda ketahui menerusi pameran yang sedang berlangsung di Taman Warisan Melayu.

"MARANTAU: Dima Bumi Dipijak Di Sinan Langik Dijunjuang", merupakan pameran terbesar yang pernah diadakan bagi sesuatu suku kaum Melayu.

Menurut legenda, orang-orang Minangkabau adalah keturunan Iskandar Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai Alexander the Great.

Encik Irianto, Presiden Persatuan Minang Singapura dan Kurator Masyarakat menjelaskan: "Pameran ini menunjukkan asimilasi orang Minangkabau dengan orang setempat tetapi pada masa yang sama memelihara kebudayaan sendiri, membawa ciri-ciri iaitu perdagangan, kerja keras dan juga menolong antara satu sama lain."

Anjuran Taman Warisan Melayu dan Persatuan Minangkabau Singapura, ia menampilkan lebih 60 artifak - sebahagiannya merupakan pinjaman peribadi yang masih digunakan sehingga sekarang.

Antara barangan yang dipamerkan di pameran 'MARANTAU' di Taman Warisan Melayu. (Gambar: Facebook/Taman Warisan Melayu)

Antara barangan yang dipamerkan di pameran 'MARANTAU' di Taman Warisan Melayu. (Gambar: Facebook/Taman Warisan Melayu).

Selain melihat keunikan dan keindahan artifak buatan masyarakat Minangkabau, para pengunjung juga berpeluang mengenali lebih dekat beberapa personaliti keturunan Minangkabau seperti Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak dan Leftenan Adnan.

Semasa merasmikan pameran ini semalam, Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Mohd Maliki Osman berkata jasa serta sumbangan orang-orang ternama itu akan terus menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya.

"Bak kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Jasa mereka sudah tentu menjadi peninggalan abadi dan inspirasi untuk generasi seterusnya. Selain daripada mengambil iktibar daripada riwayat hidup para jasawan tersebut, kita juga boleh menimba ilmu dan pengajaran daripada artifak dan khazanah warisan sesebuah kaum," jelas Dr Maliki.

Beliau turut menyifatkan siri pameran se Nusantara ini sebagai satu peluang untuk orang ramai meraikan kekayaan serta kepelbagaian budaya dan warisan etnik masyarakat Melayu di Singapura.

Melihat pada sambutan di pameran lalu, minat terhadap hal-hal sedemikian, menurutnya lagi, semakin meningkat.

Cik Noorashikin Zulkifli, kurator Taman Warisan Singapura menambah: "Hari ini, kebanyakan orang Melayu di Singapura, mungkin (mereka tidak tahu) secara terperinci dari segi warisan, budaya dan sejarah, jadi ia (pameran ini) sebagai satu wadah untuk membentangkan kepelbagaian dan kekayaan budaya-budaya di Singapura dan Nusantara."

Pameran "Merantau, Dimana Bumi Dipijak Disini Langit Dijunjung" akan diadakan sehingga 13 September ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan