Skip to main content

Singapura

Paling ramai belia berusia 18 hingga 29 tahun alami isu kesihatan mental, naik lebih 25%

Anggaran Waktu Membaca:
Paling ramai belia berusia 18 hingga 29 tahun alami isu kesihatan mental, naik lebih 25%

(Gambar hiasan: iStock/Chaay_Tee)

SINGAPURA: Lebih suku penduduk Singapura berusia antara 18 hingga 29 tahun mengalami isu kesihatan mental tahun lalu, menurut sebuah tinjauan nasional.

Golongan belia itu membentuk jumlah tertinggi penduduk yang menderitai isu kesihatan mental berbanding golongan usia yang lain, nyata Kementerian Kesihatan (MOH).

MOH mendedahkan dapatan dari Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2022 pada Rabu (27 Sep).

Jumlah belia yang menangani isu kesihatan mental pada 2022 - 25.3 peratus - merupakan kenaikan dari 21.5 peratus pada 2020.

Sebagai perbandingan, tahap prevalens kesihatan mental yang buruk dalam kalangan mereka yang berusia 30 hingga 39 tahun adalah 19.4 peratus tahun lalu, kenaikan dari 12.6 peratus pada 2020.

Bagi mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun, bilangannya adalah 15.7 peratus, naik dari 12.4 peratus pada 2020.

Secara keseluruhan, 17 peratus penduduk Singapura dibelenggu isu kesihatan mental tahun lalu, naik dari 13.4 peratus pada 2020.

Lebih ramai orang bagaimanapun sanggup mendapatkan bantuan tidak rasmi - seperti dari rakan-rakan, saudara-mara atau pemimpin agama - apabila mereka tidak dapat menangani tekanan, dedah tinjauan tersebut.

Tinjauan MOH mengenal pasti faktor-faktor risiko dan kesihatan, serta amalan gaya hidup dalam kalangan penduduk Singapura berusia antara 18 hingga 74 tahun dari Julai 2021 hingga Jun 2022.

Sebagai sebahagian daripada tinjauan tersebut, kira-kira 8,000 penduduk telah selesai melakukan wawancara isi rumah dan sekitar 9,000 sudah menghadiri pemeriksaan kesihatan.

'STIGMA DIKURANGKAN'

Kenaikan dalam "tingkah laku mendapatkan bantuan" yang ditunjukkan penduduk Singapura sebagai respons terhadap tekanan "mencerminkan kesedaran awam berterusan terhadap kesihatan mental, dan stigma berhubung keadaan kesihatan mental yang berkurangan", nyata MOH pada Rabu.

Tinjauan tersebut mendapati lebih ramai orang sanggup mendapatkan bantuan tidak rasmi dari kumpulan sosial mereka (79.7 peratus) berbanding karyawan jagaan kesihatan (56.6 peratus) sekiranya mereka tidak dapat menangani tekanan secara berterusan.

Namun demikian, jumlah penduduk yang bersedia mendapatkan bantuan tidak rasmi berkurangan dengan usia, menurut tinjauan.

Kumpulan usia 18 hingga 29 tahun (88.1 peratus) merupakan golongan yang paling bersedia mendapatkan bantuan secara tidak rasmi. Golongan dewasa yang lebih tua berusia antara 60 hingga 74 tahun merupakan golongan yang paling bersedia, mendapatkan bantuan, dengan 68.4 peratus berkata mereka akan mendapat bantuan.

Sebagai perbandingan, hanya 60.1 peratus daripada mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun berkata bahawa mereka akan mendapatkan bantuan daripada karyawan jagaan kesihatan.

Perangkaan itu bahkan, lebih rendah (48.1 peratus) dalam kalangan golongan dewasa yang lebih tua berusia 60 hingga 74 tahun. Mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun (62.0 peratus) merupakan golongan yang paling bersedia melakukan demikian.

Kaum wanita juga lebih bersedia mendapatkan bantuan daripada karyawan jagaan kesihatan dan rangkaian sokongan tidak rasmi berbanding kaum lelaki, menurut tinjauan tersebut.
Sumber : CNA/SS/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita