Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Palang Merah S'pura akan sumbang S$50,000 sokong masyarakat terjejas dalam gempa Afghanistan

Palang Merah Singapura akan menyumbang S$50,000 bagi menyokong masyarakat-masyarakat yang terjejas di Afghanistan selepas gempa sekuat 6.1 magnitud menggegar negara itu pada Rabu (22 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jun 2022 05:41PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 11:11PM
SINGAPURA: Palang Merah Singapura akan menyumbang S$50,000 bagi menyokong masyarakat-masyarakat yang terjejas di Afghanistan selepas gempa sekuat 6.1 magnitud menggegar negara itu pada Rabu (22 Jun).

Lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban. Angka korban itu dijangka meningkat sedang misi-misi mencari dan menyelamat diteruskan, menurut Palang Merah Singapura pada Khamis.

Ratusan rumah di wilayah-wilayah tenggara Paktika dan Khost musnah dalam gempa itu, yang juga paling dahsyat dialami negara tersebut sejak 20 tahun lalu.

Sumbangan daripada Palang Merah Singapura akan "menyokong keperluan segera mereka yang terjejas, termasuk makanan, tempat teduh kecemasan, jagaan trauma kecemasan, barangan bukan makanan dan air serta barangan kebersihan," jelasnya.

Rayuan pengumpulan dana awam juga akan dilancarkan bagi menyokong operasi-operasi bantuan dan pemulihan.

Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif Palang Merah Singapura Benjamin William berkata: "Kami amat bersedih atas kemusnahan dan korban jiwa, terutama sekali bagi negara yang sedang mengalami krisis teruk ekonomi dan kemanusiaan.

"Mereka yang terselamat segera memerlukan air bersih, makanan dan tempat berteduh, yang sedang kami usahakan bersama rakan-rakan kami di lapangan. Perjalanan seterusnya adalah untuk bangkit semula dan pulih akan menjadi sesuatu yang mencabar, dan kami merayu kepada orang ramai supaya menghulurkan bantuan."

Sumbangan Palang Merah Singapura akan secara langsung menyokong respons kemanusiaan oleh Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, termasuk Masyarakat Bulan Sabit Merah Afghan (ARCS) dan Masyarakat-Masyarakat Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

Barangan bantuan seperti selimut, khemah, bekas air, makanan dan air, sedang dihantar ke zon-zon yang terjejas, menurut Palang Merah Singapura.

Pasukan-pasukan kesihatan mudah alih dan ambulan sudahpun dialihkan ke kawasan-kawasan terjejas bagi menghulurkan bantuan perubatan dan bagi memindahkan mereka yang cedera, jelasnya.

ARCS dan IFRC sedang menyediakan bantuan segera dan menjalankan penilaian keperluan di lapangan.

Palang Merah Singapura terus berhubungan rapat dengan mereka bagi memantau keadaan itu.

"Kecemasan kemanusiaan ini tiba pada waktu di mana negara itu sedang merasai kesan krisis kemarau, kebuluran dan ekonomi," menurut Palang Merah Singapura.

"Tambahan lagi, laluan yang mencabar dan keadaan cuaca baru-baru ini menghambat usaha-usaha untuk sampai ke kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, yang sememangnya terdedah disebabkan tanah runtuh, jalan raya yang banjir dan prasarana yang tidak kukuh."

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Palang Merah Singapura bagi menyokong masyarakat-masyarakat di Afghanistan.

Perincian mengenai cara menderma akan diterbitkan di lamannya sebaik sahaja rayuan pengumpulan dana itu dilancarkan.
Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa