Skip to main content

Singapura

Palang Merah SG hulur bantuan tambahan S$170,000; kumpul lebih S$3 juta untuk mangsa banjir Nepal

Palang Merah Singapura (SRC) mengikrarkan bantuan tambahan sebanyak S$170,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan bagi Nepal, sedang sumbangan derma kepada rayuannya menjangkaui S$3 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Palang Merah SG hulur bantuan tambahan S$170,000; kumpul lebih S$3 juta untuk mangsa banjir Nepal

Penduduk menarik tali rentang yang baru dipasang untuk membantu orang ramai menyeberangi Sungai Trishuli menyusuli banjir kilat di Bidur, daerah Nuwakot, Nepal, pada 2 September 2026. (Gambar: AP/Rajesh Kumar Singh)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 05:47PM
SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) mengikrarkan bantuan tambahan sebanyak S$170,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan bagi Nepal, sedang sumbangan derma kepada rayuannya menjangkaui S$3 juta.

Dalam kenyataannya pada Khamis (3 Sep), SRC menyatakan bantuan tambahan itu akan menyokong usaha Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta rakan-rakan kongsinya di lapangan.

Ia termasuk serbuk pembersihan air, penapis air dan bekalan makanan kecemasan.

Jumlah S$170,000 itu adalah tambahan kepada sumbangan awal S$50,000 oleh SRC bagi usaha bantuan dan pemulihan di Nepal.

Daripada jumlah tersebut, S$80,000 akan digunakan untuk menyediakan bekalan makanan kecemasan, termasuk beras dan kacang dal, kepada 2,500 isi rumah.

Bekalan itu akan diagihkan menerusi rakan-rakan kongsi SRC di lapangan.

Baki S$90,000 pula akan digunakan untuk membantu memastikan masyarakat terjejas mendapat akses kepada air minum yang selamat.

Ini termasuk menyediakan 183 penapis air yang masing-masing mampu menghasilkan lebih 200 liter air bersih sejam dan menyokong masyarakat terjejas sehingga 200 orang.

Peralatan tersebut dijadual dihantar pada hujung minggu ini.

Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRC Benjamin William berkata pihaknya berterima kasih atas sokongan padu orang ramai terhadap usaha membantu mangsa banjir di Nepal.

Menurut beliau, ramai penderma datang sendiri ke Red Cross House sejak beberapa hari lalu untuk menyerahkan sumbangan mereka.

SRC akan memastikan sumbangan orang ramai diuruskan secara telus dan cekap supaya dapat memberikan manfaat maksimum kepada masyarakat yang terjejas.

BANTUAN TERUS DISALURKAN KE KAWASAN TERJEJAS

Setakat Rabu (2 Sep), Palang Merah Nepal sudah mengagihkan 1,520 selimut, 715 tilam, 1,418 kain tarpaulin, 392 kit kebersihan, 760 kit keperluan wanita, 490 baldi dan 365 kelambu ke kawasan-kawasan terjejas.

Bantuan-bantuan lain termasuk 80 tandas kecemasan, 55 peti pertolongan cemas, 25 pengusung dan 14 khemah.

Botol air, makanan siap dimakan dan barangan bantuan asas turut diagihkan, selain makanan yang disediakan kepada 750 penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Nuwakot.

SRC turut menyediakan khidmat 'Restoring Family Links', yang membantu menghubungkan semula anggota keluarga yang terpisah akibat bencana, serta pusat bantuan awal psikologi untuk menyokong masyarakat terjejas.

Menurut SRC, keperluan di lapangan terus dinilai bagi memastikan bantuan diberikan berdasarkan keutamaan masyarakat yang terjejas.

Dana yang dikumpulkan menerusi rayuan SRC akan disalurkan melalui Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta rakan-rakan bantuan kemanusiaan lain bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita