Skip to main content

Singapura

Palang Merah SG hantar bantuan tambahan bernilai S$550,000 kepada mangsa gempa Myanmar

Palang Merah Singapura (SRC) menghantar satu lagi kiriman bantuan kemanusiaan bagi menghulurkan bantuan segera kepada masyarakat yang terjejas akibat gempa bumi di Myanmar bulan lalu, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pertubuhan itu pada Khamis (10 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Palang Merah SG hantar bantuan tambahan bernilai S$550,000 kepada mangsa gempa Myanmar

Penapis air dan lampu berkuasa suria dihantar ke Myanmar oleh Palang Merah Singapura (SRC). (Gambar: Palang Merah Singapura)

Diterbitkan : 10 Apr 2025 05:15PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 05:17PM
SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) menghantar satu lagi kiriman bantuan kemanusiaan bagi menghulurkan bantuan segera kepada masyarakat yang terjejas akibat gempa bumi di Myanmar bulan lalu, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pertubuhan itu pada Khamis (10 Apr).

Bantuan terkini tersebut merangkumi barangan seperti kit kebersihan bagi keluarga, kit kebersihan wanita, tong air untuk mengumpul dan menyimpan air bersih, tikar plastik, kelambu, dan kanvas.

Bekalan tersebut dijangka dapat menyokong sekitar 8,000 isi rumah di kawasan yang terjejas akibat gempa, menurut SRC.

Pertubuhan itu juga menghantar kira-kira 300 penapis air ke kawasan seperti Mandalay dan Sagaing untuk mempertingkat akses kepada air minuman bersih, serta hampir 900 lampu berkuasa suria bagi membantu masyarakat yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Secara keseluruhan, sumbangan ini dianggarkan bernilai S$550,000, dan dijangka dapat memberi manfaat kepada sekitar 80,000 orang,” menurut SRC.

Lebih 3,000 orang terkorban di Myanmar selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda negara itu pada 28 Mac, dengan gegaran turut dirasai di ibu kota Thailand, Bangkok, ratusan kilometer dari pusat gempa.

Ribuan mangsa cedera sementara ratusan lagi masih hilang. Hujan lebat, infrastruktur yang musnah dan perang saudara yang sedang berlangsung turut menyukarkan usaha bantuan.

Menurut SRC, satu pasukan dengan tiga anggota – terdiri daripada dua kakitangan SRC dan seorang relawan – kini berada di Yangon untuk menilai situasi dan menyelaras usaha bantuan selanjutnya.

Pasukan itu juga sedang bekerjasama dengan Palang Merah Myanmar (MRC), Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), serta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) untuk mengenal pasti keperluan mendesak dan menentukan cara terbaik bagi SRC dalam menghulurkan sokongan kepada masyarakat yang terjejas.

Untuk menyokong Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura (SGEMT) yang dihantar minggu lalu, SRC bekerjasama dengan rakan sejawatnya di Myanmar untuk mengerahkan relawan tempatan dan dua buah ambulans bagi memindahkan pesakit dari hospital lapangan SGEMT berhampiran ibu negara Myanmar, Naypyidaw, ke Hospital Besar Mandalay.

SRC juga bekerjasama dengan Pusat Penyelarasan HADR Serantau Changi (Changi RHCC) dan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) serta pertubuhan bukan pemerintah seperti MRC, Mercy Relief dan Relief Singapore untuk mengumpulkan bantuan kemanusiaan dari Singapura dan menghantarnya ke Myanmar.

Sejak gempa bumi itu melanda, dua penghantaran bantuan sudah dihantar ke Myanmar – satu melalui penerbangan Changi RHCC yang membawa penapis air SRC, dan satu lagi melalui penerbangan Pusat AHA yang membawa lebih banyak penapis air dan lampu berkuasa suria – menurut SRC.

Kiriman bantuan terkini menyusuli sumbangan terdahulu sebanyak S$150,000 bagi menyokong usaha bantuan gempa bumi, yang bertujuan untuk menangani keperluan segera susulan bencana tersebut.

Sebanyak 90 penapis air yang tersedia di Myanmar turut dihantar ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Selain bantuan kemanusiaan, SRC turut menyokong masyarakat yang terjejas dengan menubuhkan dua “ruang selamat” di Rumah Palang Merah untuk menyediakan sokongan dari segi psikososial dan kesihatan mental kepada warga Myanmar dan Thailand yang menetap di Singapura dan mempunyai anggota keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut.

“Para relawan SRC yang terlatih juga bersiap siaga untuk berkongsi mengenai perkhidmatan ‘Restoring Family Links’, iaitu perkhidmatan pencarian bagi membantu penduduk Singapura mengesan anggota keluarga terdekat mereka yang mungkin terjejas akibat bencana tersebut dan sukar untuk dihubungi,” kata pertubuhan itu.

Kempen kutipan dana awam SRC bagi mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu setakat ini berjaya mengumpul lebih S$2.7 juta, hasil sumbangan daripada pemerintah Singapura serta orang awam, tambah pertubuhan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita