Palang Merah SG akan sumbang S$50,000 untuk bantu mangsa banjir di Vietnam
Palang Merah Singapura (SRC) akan mempertingkatkan bantuan kemanusiaan menyusuli siri bencana alam di Vietnam dan Filipina.
Kereta ditenggelami air banjir selepas hujan lebat yang disebabkan oleh Taufan Matmo di bandar Thai Nguyen pada 8 Okt 2025. (Gambar fail: AFP/STR)
SRC akan menyumbang S$50,000 kepada Palang Merah Viet Nam bagi menyokong usaha bantuan segera dalam respons kepada banjir yang disebabkan oleh tiga ribut yang melanda berturut-turut.
Taufan Ragasa, Bualoi dan Matmo melanda Vietnam pada September dan Oktober, menyebabkan banjir teruk di negara itu.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis (16 Okt), SRC menyatakan usaha bantuan termasuk penyediaan tempat perlindungan, bekalan air minuman yang bersih, pertolongan kecemasan dan sokongan psikososial serta keperluan asas seperti makanan, selimut dan kain tarpaulin.
Ketiga-tiga ribut itu mencetuskan hujan lebat, banjir dan kejadian tanah runtuh di wilayah utara Vietnam, menimpakan kemusnahan terhadap rumah dan tanaman dan menenggelamkan ratusan ribu rumah, tambah SRC.
GEMPA, TAUFAN DI FILIPINA
SRC juga melancarkan rayuan pengumpulan dana bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan di Filipina oleh rakan-rakan kongsi tempatan, termasuk Palang Merah Filipina.
Ini sebagai respons kepada gempa bumi yang berlaku baru-baru ini di Cebu dan Davao, dan tiga taufan yang membadai sejak lewat September lalu.
Usaha pengumpulan dana itu menyusuli sumbangan S$50,000 yang diserahkan pada 3 Oktober lalu bagi menyokong keperluan perubatan segera, bekalan air, sanitasi dan kebersihan serta kegiatan sokongan psikososial oleh Palang Merah Filipina, menurut SRC.
Ia juga mengerahkan 30 unit penapis air prakedudukan untuk memenuhi keperluan air, sanitasi dan kebersihan bagi masyarakat yang terjejas di Cebu.
Khidmat Rangkaian Pemulihan Keluarga SRC juga dihidupkan untuk membantu penduduk Singapura dalam menjejaki anggota keluarga yang mungkin terjejas oleh bencana-bencana itu.
"Sedang kami bersimpati terhadap mereka yang terjejas oleh bencana-bencana itu, kami berharap penduduk Singapura bersatu hati dan menyokong usaha bantuan kami yang sedang dijalankan di kedua-dua negara," kata setiausaha agung dan ketua eksekutif Palang Merah Singapura, Benjamin William.
"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bersiap sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami bagi membantu masyarakat yang terjejas."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.