Palang Merah SG akan hantar bantuan tambahan S$600,000 kepada Myanmar susuli gempa bumi dahsyat di negara itu
Palang Merah Singapura (SRC) akan menghantar bantuan kemanusiaan tambahan untuk memenuhi keperluan yang meningkat di Myanmar, Gaza dan Syria.
SRC telah menandatangani perjanjian kerjasama kemanusiaan pada Khamis (24 Apr) dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) untuk menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan.
Bantuan terkini SRC merangkumi bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak S$600,000 (US$458,000) ke Myanmar, kira-kira 810 khemah untuk para pelarian di Gaza dan tambahan S$600,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan ke Syria.
SOKONGAN TAMBAHAN UNTUK MYANMAR
Hampir sebulan selepas gempa bumi dahsyat sekuat 7.7 pada skala Richter yang meragut lebih 3,500 nyawa, keperluan tempat perlindungan, air bersih, makanan, jagaan kesihatan dan sanitasi masih kritikal, kata SRC.
Di samping perang saudara yang berterusan, Myanmar turut mengalami gelombang haba luar biasa dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius. Negara itu juga sedang bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh pada bulan Jun yang dijangka mencetuskan banjir serta peningkatan penyakit bawaan air.
Oleh itu, bantuan kali ini akan tertumpu kepada persediaan menghadapi musim tengkujuh dan gelombang haba.
SRC juga akan membekalkan keperluan seperti kit tempat perlindungan, penjana kuasa suria dan ubat-ubatan. Satu pasukan yang terdiri daripada pakar sanitasi dan kebersihan air akan dihantar untuk memasang dan menyelenggara penapis bekalan air.
Usaha ini adalah tambahan kepada bantuan kemanusiaan bernilai S$550,000 yang dihantar pada awal April dan sumbangan sebanyak S$150,000 sebelum itu untuk menangani keperluan segera sejurus selepas bencana tersebut.
Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Encik Benjamin William berkata bahawa proses pemulihan di Myanmar dijangka “lama dan rumit”.
“Usaha bantuan ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ia akan mengambil masa berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun, sebelum semua komuniti dapat dijangkaui dan keperluan asas mereka dipenuhi,” katanya.
KEADAAN YANG SEMAKIN MERUNCING DI GAZA
Bagi menyokong penduduk di Gaza, seorang penyelaras operasi SRC kini di Kaherah untuk bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan dari Singapura.
Dalam bantuan terbarunya, SRC memperoleh 800 khemah kecil dan 10 khemah besar untuk para pelarian. Khemah kecil boleh memuatkan sehingga 6,400 orang, manakala khemah besar boleh digunakan untuk keluarga lebih besar, tempat solat dan pusat pengagihan bantuan.
“Sumbangan kami mungkin kecil berbanding keperluan sebenar mereka, tetapi kami perlu lakukan apa yang termampu,” kata Encik William.
Pada Mei tahun lalu, Palang Merah Singapura menghantar lapan relawan awam untuk menyokong operasi bantuan di Gaza.
Perang Israel-Hamas kini memasuki bulan ke-18. Sekurang-kurangnya 51,200 orang telah terbunuh, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas.
“Jika anda lihat apa yang berlaku di Gaza, ia adalah bencana dalam semua bentuk dan tiada apa yang boleh dianggap positif sepanjang hampir dua tahun lalu,” kata Encik Juan Pedro Schaerer, ketua delegasi serantau ICRC.
Usaha bantuan tergugat oleh sekatan di lintasan Rafah dan keganasan yang berterusan, termasuk insiden baru-baru ini yang mengorbankan relawan dan kakitangan Bulan Sabit Merah Palestin di Gaza.
KRISIS DI SYRIA
Mengulas situasi di Syria, Encik William berkata negara itu sedang menghadapi “krisis yang rumit” di tengah-tengah perang saudara dan kesan daripada gempa bumi sekuat 7.8 pada skala Richter yang melanda Syria dan Turki pada Februari 2023.
Lebih 5,700 orang maut di Syria dan lebih 8 juta orang terjejas, kata SRC.
Bagi menyokong usaha pemulihan jangka panjang, SRC akan menyumbang tambahan S$600,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan.
Bantuan tambahan ini akan menyokong pelbagai usaha penting termasuk penambahbaikan khidmat makanan untuk menangani kekurangan zat makanan, bekalan perubatan asas dan inisiatif sanitasi air di barat laut Syria.
“Palang Merah Singapura akan terus komited untuk membantu membina semula kehidupan dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan atau dilupakan,” kata Encik William.
“Dan di Syria, perkara ini boleh berlaku dengan mudah.”
CABARAN TERHADAP USAHA BANTUAN
Salah satu cabaran terbesar dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan adalah akses.
Di Myanmar, kebanyakan kawasan yang terjejas akibat gempa bumi terletak di zon konflik akibat perang saudara.
Walaupun gencatan senjata telah diumumkan, masih ada konflik yang berterusan, dan dalam keadaan itu, sukar bagi pasukan bantuan untuk mengenal pasti kawasan yang selamat, kata Encik William.
Tambahan pula, banyak infrastruktur runtuh akibat gempa bumi, menghambat akses ke kawasan terjejas, tambahnya.
Wakil IFRC ke ASEAN, Encik Elkhan Rahimov, berkata satu lagi cabaran ialah perhatian awam yang mudah beralih kepada isu lain.
“Malangnya, walaupun adanya bencana berskala besar ini, perhatian orang ramai cepat beralih dari satu kecemasan ke kecemasan lain,” katanya.
Namun, respons pertama biasanya datang daripada masyarakat itu sendiri, tambahnya.
Setakat ini, SRC telah mengumpul lebih S$4 juta melalui usaha mengumpul dana daripada orang awam untuk membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
“Derma yang murah hati ini telah membolehkan SRC menghantar bantuan penting, tetapi keperluan para penduduk masih mendesak,” kata SRC.
Ia menyeru orang ramai agar terus menyokong masyarakat yang terjejas.
SRC sedang menjalankan kempen kutipan derma awam untuk Gaza sehingga 30 April, manakala kutipan derma untuk Myanmar dan Thailand yang terjejas akibat gempa bumi dijalankan sehingga 30 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.