Palang Merah S'pura ikrar bantuan S$50,000 bagi mangsa tsunami Indonesia
Palang Merah Singapura (SRC) hari ini (24 Dis) menyatakan ia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan berjumlah S$50,000 bagi menyokong mangsa-mangsa yang terjejas oleh tsunami di Indonesia.
SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) hari ini (24 Dis) menyatakan ia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan berjumlah S$50,000 bagi menyokong mangsa-mangsa yang terjejas oleh tsunami di Indonesia.
Sekurang-kurangnya 280 orang terkorban dan beratus-ratus cedera akibat tsunami yang disebabkan letusan gunung berapi Anak Krakatau.
Tsunami itu melanda kawasan-kawasan pantai dekat Selat Sunda, antara pulau-pulau Sumatera dengan Jawa pada Sabtu malam (22 Dis).
Sumbangan SRC akan menyokong usaha-usaha pemulihan dan membiayai pembelian dan pengedaran barangan keperluan seperti sistem penapisan air, selimut, alas tidur serta keperluan rumah lain.
Palang Merah Indonesia (PMI) juga sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan mengerahkan 22 ambulans dan kakitangan perubatan.
PMI turut mengerahkan 14 trak air, lima pasukan klinik bergerak serta dua helikopter bagi operasi-operasi mencari dan menyelamat.
"SRC terus berhubung rapat dengan PMI dan rakan-rakanya di Indonesia dan sudah menyediakan sebuah pasukan dianggotai dua orang untuk mengagihkan barangan keperluan dan menjalankan penilaian di lapangan," menurut pertubuhan itu dalam kenyataan medianya.
"Pasukan itu akan berangkat dalam sehari dua ini, bagi menyokong PMI dalam kerja-kerjanya," tambahnya lagi.
Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Benjamin William berkata bahawa keutamaan pertubuhan itu adalah untuk menyokong usaha-usaha PMI dalam menyediakan bantuan genting kepada para mangsa.
"Selain keperluan segera, pasukan itu juga kekal berwaspada dan melakukan persiapan sekiranya berlaku penularan wabak berjangkit di kawasan-kawasan terjejas," tambah beliau.
Mercy Relief, sebuah lagi pertubuhan kemanusiaan bukan pemerintah, menulis di Facebook bahawa ia sedang menghubungi rakan-rakannya di lapangan dan memantau keadaan dengan teliti.
"Kami bersedia untuk membantu, sekiranya keperluan timbul," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.