Skip to main content

Singapura

Pakej wisata korban pada Hari Raya Haji dapat permintaan tinggi; cuti sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mahu rasakan sendiri pengalaman sertai ibadah korban dalam suasana kampung serta meraikan mereka yang lebih memerlukan pada Hari Raya Aidiladha di luar negara.

Pengalaman yang dijanjikan sedemikian merupakan antara faktor yang menarik ramai jemaah mahu menyertai pakej wisata korban.

Ini sehinggakan syarikat atau badan yang menawarkan pakej wisata korban itu seperti syarikat Afandi Travel & Services Pte Ltd dan Persatuan Muhammadiyah menyaksikan permintaan tinggi.

BATAM JADI PILIHAN KERANA LEBIH BERPATUTAN

Ini merupakan tahun keenam syarikat Afandi Travel & Services Pte Ltd menawarkan pakej wisata korban ke Batam dan jumlah pendaftaran bagi tahun ini adalah tertinggi.

Pada tahun-tahun sudah, mereka menerima tempahan seramai 10 peserta tapi kali ini jumlahnya lebih tiga kali ganda iaitu 35 orang.

Syarikat itu menawarkan pakej dua hari satu malam ke Batam, Indonesia buat dua tarikh iaitu pada tanggal 16 hingga 17 Jun dan 17 hingga 18 Jun ini.

"Kita memilih pakej ini kerana ia mampu dan harganya juga tidak terlalu mahal. Mereka dapat tempat penginapan, mereka dapat membeli-belah, dapat melihat penyembelihannya macam mana, cara-caranya semua," kongsi Pengurus Penyelaras Afandi Travel, Kamariah Ahmad kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Ada juga yang ke sana untuk melaksanakan ibadah korban sendiri.

Menurut Cik Kamariah, 16 daripada 35 peserta sudah menempah kambing korban. Bagi yang lain, mereka juga teruja untuk merasakan pengalaman seperti di kampung dahulu.

"Walaupun mereka tidak buat korban, mereka dapat menyaksikan bagaimana cara penyembelihan, pembahagian, dan kita boleh bergaul dengan anak-anak di sana. Jadi kita tahu keadaan (di sana), kerana di Singapura, tidak ada lagi itu semua," kongsi Cik Kamariah.

Syarikat itu pernah menawarkan pakej wisata korban ke Semarang dan Timur Tengah sebelum ini namun kurang mendapat sambutan kerana lebih jauh dan tiket penerbangan juga mahal pada musim cuti umum.

"Kita ikut permintaan, permintaan jemaah. Saya rasa mereka selesa dengan Batam kerana Batam itu dekat dan ia mampu dan harga yang diberikan itu berpatutan.

Untuk tahun-tahun akan datang, syarikat itu akan mempertimbangkan beberapa negara jiran lain.

"Permintaan jemaah lain-lain, ada yang inginkan Kemboja, ada yang inginkan di Vietnam, yang ada minta di Lombok, jadi lihatlah kepada permintaan mereka," ujar Cik Kamariah.
DAPAT JUGA BELAJAR CARA SEMBELIH HAIWAN

Selain dapat melancong dan melaksanakan ibadah korban, ada juga yang berpeluang untuk timba kemahiran baharu.

Dalam pakej wisata korban ke Medan yang ditawarkan Persatuan Muhammadiyah, para peserta juga dapat ikuti kursus sembelih haiwan di luar negara.

Tahun ini 120 peserta juga ikuti kursus tersebut di Perling, Johor pada 26 Mei.

"Bukan setakat kita menyembelih kata orang “dry”. “Dry” itu bermakna menyembelih tanpa binatang, tapi kita juga buat penyembelihan “wet” iaitu binatang yang benar-benar kita sembelih. Seperti tahun lepas, dua ekor kambing dan juga ada juga latihan dengan ayam untuk kita berlatih. Dan juga daging-daging dimasak dan diberi kepada orang kampung," kongsi Pengurus, Perkhidmatan Sokongan Masyarakat, Shamsul Bahri.
(Gambar: Persatuan Muhammadiyah)
Pada Hari Raya Haji ini, kumpulan tersebut dan peserta lain akan ke Medan, Indonesia dalam program yang dinamakan sebagai 'Kembara Korban'.

Mereka akan bertolak pada 16 Jun dan kembali ke tanah air pada 20 Jun.

"Kita akan berangkat satu hari sebelum Hari Raya Haji dan kita akan dapat solat di sana bersama penduduk-penduduk di sana dan juga ke ladang untuk membuat penyembelihan dan agihkan daging-daging yang telah disembelih kepada pesantren dan pedalaman kampung-kampung. Saya rasa mereka lebih memerlukan," jelas Encik Shamsul.

Ini merupakan kali pertama Persatuan Muhammadiyah menawarkan pakej wisata sedemikian.

Faktor cuti sekolah juga mendorong badan itu untuk menawarkannya.

"Kita memilih Medan disebabkan pembekal kami yang dari Singapura, mereka ada ladang ternakan di sana. Jadi, kami memikir kenapa tidak kita buat untuk pertama kali kita buat ibadah dan wisata di sana," kongsi Encik Shamsul.

Persatuan Muhammadiyah juga akan berkolaborasi dengan syarikat pelancongan Iman Travel & Tours Pte Ltd untuk pakej wisata korban ini.

Mereka menyasarkan hampir 30 peserta bagi pakej tersebut.
Encik Shamsul Bahri.
"Alhamdulillah, memang ramai yang hendak pergi termasuklah karyawan-karyawan kita tapi memandangkan korban kita juga ada di Singapura maka itu ramai tenaga kerja yang diperlukan di Singapura.

"Yang ada itu cuma peserta-peserta dari luar yang dengan kebetulan tutup sekolah. Jadi itulah, kita sasarkan pun juga ramai satu bas," kata Encik Shamsul.

Selain 'Kembara Korban', Persatuan Muhammadiyah juga menawarkan korban secara fizikal di Singapura dan di luar negara termasuk di Palestin, Uganda dan Kemboja.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita