Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej wisata ini susuri sejarah penerbangan S'pura di Seletar; tawar peluang kunjungi tempat simpan pesawat

Seletar sejak sekian lama sinonim dengan industri penerbangan dan juga landskap aeroangkasa Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakej wisata ini susuri sejarah penerbangan S'pura di Seletar; tawar peluang kunjungi tempat simpan pesawat

Para penggiat dan peminat penerbangan dan pesawat berpeluang untuk mengunjungi Hangar66, sebuah tempat menyimpan dan menyenggarakan pesawat peribadi yang dikendalikan WingsOverAsia. (Ihsan: WingsOverAsia)

BERITAmediacorp: Seletar sejak sekian lama sinonim dengan industri penerbangan dan juga landskap aeroangkasa Singapura.

Sedang Changi terkenal di mata dunia atas kemasyhurannya sebagai sebuah lapangan terbang yang sangat hebat, Seletar pula bukan setakat berupaya memikat, bahkan berjaya menempatkan banyak syarikat aeroangkasa terkemuka untuk beroperasi dan membuka ibu pejabat masing-masing di sini.

Atas daya tarikannya yang tersendiri itu, maka lahirlah Taman Aeroangkasa Seletar yang kini turut dikenali sebagai hab penerbangan kedua Singapura.

Sungguhpun demikian, masih ramai yang mungkin belum mengetahui tentang hubung kait Seletar dengan industri penerbangan yang sudah bertapak di kawasan tersebut hampir seabad yang lalu.

Semuanya bermula pada 1928 apabila kawasan bakau serta ladang-ladang getah dan kelapa di kawasan itu dipugar bagi memberi laluan untuk membangunkan sebuah pangkalan udara untuk Tentera Udara Diraja British (RAF). Bangunan ibu pejabat serta berek untuk kakitangan tentera turut ditubuhkan dan sebilangan daripada bangunan-bangunan tersebut masih berdiri sehingga ke hari ini.

Itulah antara cebisan sejarah yang akan dikongsi oleh penyedia khidmat wisata dalam negeri Xperience DMC dalam pakej wisata terbarunya ‘Fascinating World of Aviation’.

Selama sekitar tiga jam setengah, para peserta lawatan berpandu itu akan dibawa mengelilingi kawasan Seletar untuk mempelajari tentang industri penerbangan dulu dan sekarang.

Lawatan bermula di gerbang masuk dan pondok pengawal Kem Seletar lama yang memberikan gambaran tentang sejarah silam markas tentera di kawasan itu. Tidak jauh dari situ, sebatang tiang lampu yang berbentuk seakan-akan leher seekor angsa dari zaman kolonial masih boleh ditemui. Dengan bentuknya yang sedemikian rupa, sesiapa saja pasti akan tahu mengapa tiang lampu itu diberi nama 'goose neck' (leher angsa).

Sebatang tiang lampu 'goose neck' yang berbentuk seakan-akan leher seekor angsa dari zaman kolonial masih boleh ditemui (Gambar: Xperience DMC)

Selepas itu, para peserta akan dibawa untuk meninjau-ninjau rumah banglo kolonial berwarna hitam dan putih yang pada suatu ketika dahulu menempatkan para pegawai RAF dan keluarga mereka.

Para peserta juga berpeluang untuk melihat sendiri ibu pejabat dan berek lama RAF, Lapangan Terbang Seletar yang lama dan baru serta Tanah Paya Hampstead (Hampstead Wetlands Park) yang merupakan sebuah paya simpanan di tapak perindustrian pertama di Singapura.

Namun bagi para penggiat dan peminat penerbangan dan pesawat khususnya, daya pesona pakej ini tentu sekali peluang untuk mengunjungi sebuah tempat menyimpan dan menyenggarakan pesawat peribadi.

Syarikat perunding dan pengendali khidmat kapal terbang WingsOverAsia yang menawarkan pengalaman unik ini turut memberi akses kepada para peserta untuk meninjau-ninjau kemudahan-kemudahannya. Selain melihat dari dekat pelbagai model kapal terbang dan jet peribadi, para peserta juga dapat melihat sendiri bagaimana pesawat-pesawat ini disimpan dan disenggarakan. Malangnya, petikan gambar atau rakaman video tidak dibenarkan sama sekali atas tujuan melindungi privasi.

Lawatan berakhir di taman atas bumbung bangunan WingsOverAsia di mana para peserta dapat menikmati pemandangan luas landasan dan menara kawalan Lapangan Terbang Seletar. Para peserta turut berpeluang memasuki bahagian kokpit sebuah kapal terbang kecil yang disediakan untuk peluang bergambar.

Menurut pemandu pelancong Xperience DMC Andrew Ong Kia Huat, pakej unik ini direka sedemikian rupa dengan matlamat untuk menggalak rakyat tempatan mengunjungi tempat-tempat yang kurang diteroka, lebih-lebih lagi sewaktu percutian di luar negara tidak dibenarkan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Pangkalan Udara Seletar sudah lama di sini tetapi berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar meneroka kawasan ini untuk mempelajari tentang sejarah ketenteraannya, serta tradisi dan budaya RAF dahulu,” dedah beliau kepada BERITAmediacorp.

Harga pakej ‘Fascinating World of Aviation’ bermula dari S$80 dan baucar SingapoRediscovers boleh digunakan untuk membiayai pakej wisata ini.

Pengangkutan dari Stesen MRT Khatib dan sepanjang lawatan turut disediakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan