Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej S$1.5 bilion 'langkah ke arah yang betul' tetapi tidak sokong kenaikan GST, tegas WP

Anggaran Waktu Membaca:
Pakej S$1.5 bilion 'langkah ke arah yang betul' tetapi tidak sokong kenaikan GST, tegas WP

Ketua Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang Pritam Singh berucap di Parlimen

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) menyatakan pakej bantuan Pemerintah bernilai S$1.5 bilion untuk membantu rakyat Singapura menangani kesan inflasi adalah "langkah ke arah yang betul". 

Sungguhpun demikian, parti pembangkang tersebut menegaskan bahawa pakej bantuan itu tidak menyokong kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang akan dinaikkan melalui dua fasa kepada 9 peratus menjelang 2024. 

"Inflasi terus meningkat dan mencecah paras tertinggi dalam masa sedekad, dan rakyat Singapura sedang merasakan kesannya," menurut WP dalam catatannya di Facebook pada Rabu (22 Jun), sehari selepas Pemerintah mengumumkan pakej bantuan tersebut. 

"Parti Pekerja akan terus mempersoalkan saranan untuk menaikkan GST di Parlimen serta kaedah-kaedah alternatif untuk menjana pendapatan seperti cukai harta atau menaikkan had sumbangan rizab." 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (21 Jun) berkata kenaikan GST akan diteruskan seperti yang dirancangkan semasa menjawab pertanyaan media. 

Beliau turut mendedahkan bahawa perbelanjaan bagi jagaan kesihatan meningkat dengan pantas disebabkan oleh penduduk Singapura yang semakin menua. 

Meskipun cukai ke atas kereta mewah, hartanah dan golongan berpendapatan tinggi akan dinaikkan, Encik Wong berpendapat bahawa langkah-langkah tersebut tidak mencukupi untuk menampung pendapatan yang diperlukan. 

Semasa membahaskan Belanjawan tahun ini, WP mengusulkan beberapa alternatif bagi mengelakkan kenaikan GST. 

Setiausaha Agung WP yang juga Ketua Pembangkang Pritam Singh berkata: "Walaupun kenaikan GST sudah dijangkakan, ia dilaksanakan pada waktu yang sukar bagi rakyat Singapura. Inflasi semakin meningkat dan harga juga melambung tinggi. 

"WP sebelum ini sudah mengusulkan beberapa saranan di Parlimen mengenai cukai dan juga perubahan pada rangka kerja rizab negara. Saranan-saranan ini tidak melibatkan penggunaan rizab, seperti yang dipaparkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP)," tambahnya. 

Encik Wong pada Selasa (21 Jun) berkata, meskipun inflasi menjadi kebimbangan, terdapat cabaran-cabaran jangka pertengahan hingga jangka panjang yang tidak boleh ditangguhkan, seperti perubahan iklim dan jagaan kesihatan yang semakin mendesak. 

"Cabaran-cabaran yang kita hadapi lebih bercorak jangka panjang, kita tidak tahu sama ada cabaran-cabaran ini akan berpanjangan. Dan kita akan berada di kedudukan yang lebih baik sekiranya  kedudukan ekonomi dan kewangan kita lebih kukuh." 

Pakej bantuan ini dibiayai melalui hasil lebih baik daripada yang dijangkakan bagi 2021, tanpa perlu menggunakan rizab negara. 

Ini termasuk bayaran khas Baucar GST sehingga S$300 kepada 1.5 juta rakyat Singapura yang layak dan kredit perbekalan bernilai S$100 bagi setiap isi rumah Singapura untuk mengimbangi kesan harga tenaga yang lebih tinggi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan