Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej pemberhentian Dyson sebulan bagi setiap tahun bekerja; kesatuan 'prihatin' kurang maklumat

Anggaran Waktu Membaca:
Pakej pemberhentian Dyson sebulan bagi setiap tahun bekerja; kesatuan 'prihatin' kurang maklumat

Dyson buka kedai demonstrasi pertamanya di Funan.

SINGAPURA: Meskipun para pekerja yang diberhentikan kerja di ibu pejabat global Dyson di Singapura dipercayai sudah menerima bayaran biasa sebulan bagi setiap tahun bekerja, kesatuan yang bersuara bagi pihak mereka menyatakan ia kekal tidak mengetahui apa-apa berkait had pakej pemberhentian itu.

Dalam kenyataan awam keduanya mengenai pemberhentian yang dilakukan pada Selasa (1 Okt), Persatuan Pekerja Industri Elektronik dan Elektrikal (UWEEI), menerusi setiausaha eksekutif kesatuan Patrick Tay, berkata pihaknya masih cuba mengesahkan perincian pakej pemberhentian tersebut.

"Kami fahami daripada sebahagian pekerja bahawa mereka disuruh menjaga kerahsiaan atau ia berisiko menjejas pakej pemberhentian mereka," menurut Encik Tay dalam satu video di Facebooknya pada Rabu (2 Okt).

"Setakat yang kita tahu, ia sejajar dengan norma UWEEI iaitu sebulan bagi setiap tahun bekerja. Tetapi kami tidak tahu sama ada terdapat had bagi pakej pemberhentian ini.

"Oleh sebab itu kami prihatin kerana kami belum menerima lebih banyak maklumat daripada Dyson tentang siapa pekerja yang terjejas atau peringkat pekerjaan mereka memandangkan Seksyen 30A Akta Perhubungan Industri juga membolehkan UWEEI mewakili para eksekutif secara individu mengenai manfaat pakej pemberhentian."

Encik Tay - yang juga penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), persatuan induk bagi UWEEI - menekankan kekecewaan yang diluahkan sebelum ini tentang tempoh singkat notis yang diberikan, meskipun Dyson merupakan syarikat di bawah kesatuan UWEEI.

"Ini tidak boleh diterima, memandangkan mereka tidak memberi masa yang mencukupi bagi rundingan antara Dyson dengan UWEEI bukan sekadar untuk memastikan pemberhentian itu dilakukan secara adil, tetapi juga bertanggungjawab dan progresif," kata Encik Tay.

Jika UWEEI dimaklumkan lebih awal tentang pemberhentian itu, katanya, ini membolehkan para pekerja terjejas diberi sokongan lebih baik selain memastikan kepentingan dan kebajikan mereka dijaga.

Dengan tidak memaklumkan kepada UWEEI lebih awal, Encik Tay berkata Dyson melanggar Nasihat Perikatan mengenai Pengurusan Tenaga Manusia Berlebihan dan Pemberhentian secara Bertanggungjawab.

Kesatuan itu sudah membentuk "pasukan bertindak" untuk menyokong pekerja terjejas, tambah Encik Tay, yang mengakhiri videonya dengan gesaan kepada para pekerja di Dyson supaya menyertai kesatuan.

"Bersama-sama, kita lebih kuat," kata Encik Tay.

Apabila ditanya Mediacorp pada Selasa, Dyson menyatakan pihaknya "sudah dengan segala hormat memaklumkan kepada UWEEI lebih awal", sambil menambah syarikat itu "mematuhi semua garis panduan (Kementerian Tenaga Manusia)".
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan