Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej Majulah disambut baik, bantu rakyat simpan dana persaraan yang mencukupi

Dua Anggota Parlimen, Encik Sharael dan Encik Saktiandi mengalu-alukan Pakej Majulah yang dianggap boleh membantu warga emas yang 'sandwich', anak-anak mereka masih bersekolah dan menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sokongan bagi warga emas lebih muda menerusi Pakej Majulah dianggap sebagai amat baik dan mencerminkan keprihatinan pemerintah terhadap isu-isu yang membelenggu golongan tersebut.

Pakej Majulah yang merangkumi tiga bentuk bantuan iaitu bonus ‘Earn and Save’, Medisave dan Simpanan Persaraan (RSB) dijangka dapat memenuhi keperluan persaraan golongan tersebut.
Ia akan diberikan kepada mereka yang lahir pada tahun 1973 atau sebelum itu. Ini merujuk kepada mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas tahun ini.

Ahli ekonomi dan Naib Presiden Eksekutif di Maybank, Saktiandi Supaat berpendapat usaha terbaru pemerintah itu boleh membantu golongan yang dianggap tersepit.

“Golongan ini adalah golongan ‘sandwic’ saya rasa yang memerlukan pertolongan yang mungkin akan mendapat kebaikan daripada pakej-pakej ini untuk menolong mereka. Mereka mempunyai anak yang masih belajar dan tinggal dengan ibu bapa yang menua,” kata Encik Saktiandi.

“Saya rasa perubahan ini amat baik - Pakej Majulah. Saya ada ramai penduduk yang berumur 50 ke 60 ke atas, mempunyai keluarga-keluarga lanjut usia. Jadi pertolongan ini akan memberi sebagai rangsangan untuk mereka menjaga ibu bapa mereka yang umur warga senja juga,” tambah beliau.

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris – Punggol, Sharael Taha juga merasakan Pakej Majulah bukan sahaja membantu golongan warga emas tetapi secara tidak langsung juga membantu anak-anak mereka.

“Oleh kerana jangka umur yang lebih panjang sekarang, ramai daripada penduduk kita, mereka di usia pertengahan 50 tahun hingga ke 60 tahun kini bimbang bagaimana simpanan persaraan mereka cukup dan juga bagaimana mereka boleh menjaga ibu bapa mereka dari segi kewangan dan juga dari segi fizikal,” kata Encik Sharael yang juga merupakan Naib Presiden Pejabat Pengurusan Projek dan Strategi di syarikat Rolls-Royce.

“Tokokan sehingga S$10,000 untuk simpanan persaraan, jadi untuk saya ini adalah penting dan ini akan meringankan beban dalam persaraan dan lebih penting lagi meringankan beban kepada anak-anak mereka supaya anak-anak mereka boleh fokus untuk maju dalam tangga mobiliti sosial,” tambah beliau.

DASAR BARU PERUMAHAN MUNGKIN BERI SEKATAN TAPI LEBIH BANYAK PILIHAN

Encik Saktiandi yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan – Toa Payoh turut berkongsi impak yang dijangkakan selepas perubahan pada kategori projek perumahan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bermula separuh kedua tahun depan.

“Klasifikasi perumahan ini akan memberi kesan kepada mereka yang memohon untuk BTO pada masa akan datang juga. Jadi impaknya dari segi sekatan kerana mungkin di Toa Payoh, Plus, rangka kerja ini Standard, Plus dengan Perdana. Mungkin akan lebih ketara kepada Plus saya rasa. Jadi impaknya kepada sekatan mungkin akan beri impak pada tahun akan datang untuk BTO di daerah Bishan - Toa Payoh buat masa ini,” jelas Encik Saktiandi.

Meskipun lebih banyak subsidi akan diberikan kepada para pembeli flat di bawah Projek Plus dan Perdana, sekatan atau syarat-syarat yang dikenakan juga lebih ketat.

Misalnya bagi pembeli flat Plus, mereka perlu mendiami flat itu sekurang-kurangnya 10 tahun berbanding 5 tahun bagi flat Standard, sebelum mereka boleh menjual semula flat tersebut.

Encik Sharael pula menarik perhatian bahawa projek-projek BTO di kawasan Pasir Ris juga akan terjejas memandangkan kawasan itu merupakan estet matang.

Estet matang merujuk kepada estet perumahan yang mempunyai ruang terbatas bagi pembangunan projek perumahan walaupun permintaannya tinggi.

Oleh itu, flat-flat BTO di estet-estet matang selalunya lebih popular dan dijual pada harga lebih tinggi.

“Di estet-estet matang seperti yang di Pasir Ris di mana sudah ada kemudahan dan juga rangkaian hubungan dengan kemudahan di sekelilingnya dan sekarang ia dikategorikan kepada tiga iaitu Standard, Perdana dan Plus, ini akan memberikan lebih banyak pilihan untuk mereka yang hendak memiliki flat BTO,” kata Encik Sharael.

Perincian bagi tiga kategori flat BTO itu akan diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebelum ia dikuatkuasakan bermula separuh kedua 2024.





 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan