Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej Jaminan ditambah S$1.4 bilion, bantu isi rumah imbangi kesan kenaikan GST di tengah inflasi: Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Nov 2022 05:06PM Dikemas Kini : 07 Nov 2022 10:12PM
SINGAPURA: Pemerintah akan membelanjakan lagi S$1.4 bilion bagi mengimbangi kesan kenaikan GST bagi kebanyakan isi rumah Singapura buat sekurang-kurangnya lima tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (7 Nov).

Berucap di Parlimen bagi bacaan kedua
Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Encik Wong berkata setelah menyemak keadaan inflasi yang meningkat, jumlah tersebut akan ditambah kepada Pakej Jaminan, membawa jumlah keseluruhan kepada S$8 bilion.

"Ini memastikan pakej tersebut dapat terus mengimbangi kesan kenaikan GST tambahan bagi kebanyakan isi rumah Singapura buat sekurang-kurangnya lima tahun, dan sekitar 10 tahun bagi keluarga berpendapatan rendah," kata Encik Wong, sambil menambah bahawa beliau akan berkongsi lebih banyak pada Belanjawan tahun depan.

Sebanyak S$6 bilion diperuntukkan bagi Pakej Jaminan apabila ia pertama kali diumumkan pada 2020, dengan S$640 juta ditambah pada Belanjawan 2022, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Jika Rang Undang-Undang itu diluluskan, GST akan dinaikkan daripada 7 peratus kepada 8 peratus mulai 1 Januari 2023, dan daripada 8 peratus kepada 9 peratus bermula 1 Januari 2024.

Perubahan yang dicadangkan pada kadar GST dibahaskan dengan rancak di Parlimen, kata Encik Wong.

"Pemerintah ini menjaga penduduk kami, keluarga kami dan warga emas kami. Kami sudah meningkatkan bantuan bagi keperluan mereka, termasuk bagi penjagaan kesihatan, keperluan sosial dan masa tua mereka, dan kami akan terus membuat lebih banyak lagi," tambah beliau.

"Kami juga ingin membaiki mobiliti sosial, melabur dalam peningkatan kemahiran dan ekonomi serta bandar yang mesra alami."

Untuk mencapai matlamat ini, Pemerintah perlu menambah perbelanjaan secara berstruktur dan berulang, kata Timbalan Perdana Menteri.

"Pemerintah akan membantu setiap warga Singapura menyesuaikan diri dengan kenaikan GST, terutama mereka yang kurang berkemampuan."

Encik Wong juga menekankan bahawa setiap isi rumah akan terus mendapat baucar GST, dan Pemerintah akan terus menyerap GST bagi khidmat pendidikan dan penjagaan kesihatan bersubsidi, selepas Pakej Jaminan dilancarkan.

"Melalui baucar GST, kami akan membantu keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan menampung sebahagian besar kesan kenaikan GST secara tetap," tambahnya.

"Baucar GST merangkumi empat komponen: wang tunai, Medisave bagi warga tua, rebat USave bagi mengimbangi bil api air, dan rebat bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan, kata Encik Wong.

Sistem GST yang diusulkan mengikut tahap pendapatan, dengan isi rumah berpendapatan rendah membayar kadar GST lebih rendah berbanding keluarga berpendapatan lebih tinggi, kata Encik Wong.

Malah, selepas GST dinaikkan, kadar efektif bagi isi rumah dalam tiga kumpulan pendapatan tidak berubah, bawah 3 peratus, kata Encik Wong.

"Ini bermakna kenaikan GST tidak akan menjejas mereka secara negatif. Kesan penuh GST akan ditanggung kebanyakkannya oleh isi rumah berpendapatan lebih tinggi, serta pelancong, dan warga asing yang menetap di sini," tambahnya.

"Dan kumpulan itu menyumbang sebahagian besar kepada hasil GST dari isi rumah dan individu."

Sedang inflasi Singapura pada masa depan terus berubah, Pemerintah akan terus memantau skim tersebut dan memastikan ia mengekalkan objektifnya, kata Encik Wong.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan