Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej haji termahal - lebih $22,600 seorang penuhi keperluan berbeza jemaah

Dapat luangkan lebih banyak masa di Masjidil Haram, masalah kesihatan dan jadual perjalanan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dapat luangkan lebih banyak masa di Masjidil Haram, masalah kesihatan dan jadual perjalanan.

Itulah antara sebab yang mendorong 47 jemaah memilih pakej haji termahal tahun ini yang mencecah harga S$22,645 seorang.

Antara jemaah yang memilih pakej yang ditawarkan Shahidah Travel & Tours itu ialah pasangan Encik Mohamed Mazdiuky Mohamed Ishak, 46 tahun dan isterinya, Cik Siti Aisyah Abdul Jalil, 41 tahun.

Selepas 12 tahun menunggu giliran menyahut seruan haji, pasangan itu teruja dan ghairah akhirnya berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Ini sehingga mereka sanggup mengeluarkan belanja lebih S$22,000 seorang untuk pakej 15 hari itu.

"Memang kita tak nafikan bahawa pakej ini memang agak mahal dibandingkan dengan pakej-pakej biasa tetapi ini satu perkara yang kita lihat dia adalah satu lumrah bagi sesiapa yang berkeinginan untuk menetap di Makkah sebelum wukuf. Jadi memang kita sudah jangkakan dan kita juga sudah sediakan kewangan kita untuk membeli pakej tersebut," kata Encik Mazdiuky, yang menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) pada akhir Januari lalu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

MAHUKAN LEBIH MASA BERIBADAH DI MAKKAH

Tidak seperti kebanyakan jemaah lain, mereka tidak akan ke Shisha.

Sebaliknya, jemaah di bawah pakej itu akan menginap di hotel Hilton Suites sepanjang berada di Makkah.

Ini faktor utama yang mendorong Encik Mazdiuky memilih pakej tersebut.

"Kami ingin lebih menetap di Makkah supaya kami dapat melaksanakan umrah. Kemudian beriktikaf di Masjidil Haram dan lebih beribadah di tanah haram kerana kalau kita berada di Shisha atau di Aziziyah, saya rasa dua minggu lebih daripada hari-hari yang akan dijalankan di sana, lebih berada di luar tanah haram. Jadi sebenarnya berbalik kepada hajat atau keinginan seseorang itu," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain faktor tersebut, Shahidah Travel & Tours juga menawarkan pakej itu bagi memenuhi keperluan lain jemaah seperti masalah kesihatan serta jadual perjalanan yang lebih singkat.

Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Ayoob Angullia memberitahu BERITAmediacorp, "Tiga jemaah menjalani dialisis. Ada seorang, pesakit barah. Habis yang ada semua, yang lemah lutut, lemah semua keadaan mereka tak sihatlah. Mereka tahu mereka perlu pergi dialisis, mereka perlu pergi rawatan dan mereka orang yang ada saya dapat sebahagian jumlah yang kecil disebabkan kerja."



Bagi jemaah yang inginkan jadual perjalanan yang singkat tetapi tidak kisah untuk menginap di Shisha, mereka juga ada pilihan lain.

Selain Shahidah Travel & Tours, TM Fouzy Travel & Tours dan Hahnemann Travel & Tours juga pakej 15 hari.

Pakej pendek itu berharga antara sekitar S$8,500 hingga lebih S$22,500.

HARGA HOTEL NAIK 20 KALI GANDA PADA MUSIM HAJI

Encik Ayoob menjelaskan bahawa faktor penginapan di hotel itu menyebabkan harga pakejnya itu jauh lebih tinggi kerana bayaran sewa hotel di Makkah meningkat sehingga 20 kali ganda pada musim haji ini.

"Masuk 4 Zulhijjah sampai 14 Zulhijjah. Lebih 10 atau 11 malam. Harga yang dikenakan lebih S$40,000. Dua orang mungkin satu orang lebih S$20,000 jadi itu cabarannya," tambahnya.

Encik Ayoob mendedahkan perincian itu kepada BERITAmediacorp di luar sesi taklimat pra-keberangkatan untuk jemaah haji syarikat itu di auditorium Masjid Sultan pada Khamis (1 Jun).



Secara keseluruhan, MUIS meluluskan 30 pakej haji oleh 13 GSA tahun ini bagi memenuhi keperluan berbeza jemaah seperti jadual perjalanan, penginapan dan kos.

Bergantung kepada jumlah orang sebilik, harga yang ditawarkan berharga antara S$8,400 hingga S$22,600.

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura yang akan berangkat adalah pada Khamis depan, 8 Jun 2023.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan