Pakej baru S$1.5 bilion untuk bantu perniagaan & golongan memerlukan tangani inflasi

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong sewaktu sidang media pada 21 Jun 2022
SINGAPURA: Bagi mengimbangi dan menangani kesan inflasi, Pemerintah pada Selasa (21 Jun) mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion yang bermatlamat untuk menghulurkan bantuan segera kepada golongan berpendapatan rendah dan kumpulan-kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada kesan kenaikan kos.
Perang di Ukraine dan langkah-langkah kawalan COVID-19 di beberapa bahagian dunia telah mengganggu rantaian bekalan dan menyebabkan harga tenaga dan makanan melambung tinggi, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan medianya pada Selasa (21 Jun).
Kadar inflasi teras Singapura meningkat kepada 3.3 peratus pada April jika dibandingkan dengan tempoh yang sama setahun lalu dan berbanding 2.9 peratus yang dicatatkan pada bulan Mac, iaitu paras tertinggi sejak 10 tahun yang lalu.
Harga makanan dan tenaga meningkat dengan mendadak dan inflasi sejagat berkemungkinan akan kekal tinggi untuk beberapa waktu dan malah meningkat lagi sebelum ia stabil dan menjadi lebih baik, unjur Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa satu sidang media pada Selasa (21 Jun).
"Situasi inflasi akan akhirnya stabil, baik di peringkat global mahupun di Singapura, tetapi buat masa ini, kita harus menjangkakan harga akan terus meningkat dalam masa beberapa bulan akan datang," kata Encik Wong.
"Khususnya, harga tenaga berkemungkinan kekal tinggi sepanjang tahun ini."
Inilah sebabnya mengapa Pemerintah memutuskan untuk memperkenalkan satu lagi pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion, katanya lagi.
"Langkah-langkah sokongan dalam pakej ini lebih condong kepada usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan golongan memerlukan kerana mereka adalah golongan-golongan yang terkesan secara tidak seimbang disebabkan oleh kesan-kesan inflasi."
Beberapa langkah utama adalah:
- Rakyat Singapura yang layak akan menerima bayaran tunai sekali saja dalam bentuk Baucar GST sehingga S$300
- Semua keluarga rakyat Singapura, termasuk mereka yang menetap di kediaman privet, akan menerima rebat perbekalan bernilai S$100
- Penambahbaikan pada skim bantuan ComCare
- Bagi perniagaan, subsidi lebih tinggi akan dihulurkan bagi Skim Kredit Gaji Progresif dan Geran Penjimatan Tenaga bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan
- Penambahbaikan pada Skim Pembiayaan Perusahaan
- Pusat sembelihan yang terjejas oleh larangan eksport ayam Malaysia akan menerima rebat levi pekerja hijrahan selama sebulan
- Pemandu teksi dan kereta sewa privet yang layak akan menerima bantuan sekali saja bernilai S$150 pada Ogos
Pakej bantuan ini dibiayai oleh lebihan daripada pendapatan yang lebih tinggi pada Tahun Kewangan 2021 disebabkan oleh pemulihan ekonomi yang lebih kukuh, manakala perbelanjaan bagi menampung langkah-langkah kawalan COVID-19 adalah lebih rendah daripada yang dijangkakan, menurut MOF. Rizab negara tidak akan digunakan untuk membiayai pakej ini.
Encik Wong menegaskan bahawa Pemerintah akan terus bersikap telus semasa berkongsi dengan rakyat Singapura tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dan bagaimana Singapura akan menanganinya.
"Keadaan kian berubah-ubah dan Pemerintah akan terus memantaunya dengan teliti dan menyesuaikan langkah dan program kita jika perlu," katanya lagi.
"Hakikatnya, kita perlu bersatu mengharunginya dan saya yakin kita akan dapat mengatasinya sebagai rakyat Singapura yang bersatu padu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.