Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej bantuan S$1.1 bilion bagi pekerja, syarikat terjejas sekatan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)

Pemerintah akan menyediakan pakej bantuan S$1.1 bilion untuk membantu pekerja dan perniagaan yang terjejas oleh sekatan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jul 2021 05:06PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 08:54PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan pakej bantuan S$1.1 bilion untuk membantu pekerja dan perniagaan yang terjejas oleh sekatan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Pakej tersebut termasuk subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bagi sektor-sektor terjejas, bantuan membayar sewa bagi hartanah komersil serta dana bantuan baru bagi pegerai di pasar dan pusat penjaja.

Pakej rangsangan bagi sektor penghantaran makanan dan e-dagang akan dilanjutkan, dedah Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat (23 Jul).

Dana bantuan COVID-19 bagi pemandu teksi dan kereta sewa privet pula, akan ditambah.

Demi membantu pekerja yang terjejas kesan langkah-langkah sekatan diperketat, Geran Pemulihan COVID-19 - Sementara akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos.

"Pakej bantuan dijangka menelan belanja S$1.1 bilion dan akan dibiayai menggunakan dana dari peruntukan belanjawan lain yang kurang digunakan akibat COVID-19, serta sumber fiskal yang diketepikan bagi membiayai langkah-langkah sokongan yang dilanjutkan, kata MOF dalam dalam satu kenyataan media.

JSS DIPERTINGKAT
Sokongan di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS)
ditambah sehingga 60 peratus bagi sektor yang paling teruk terjejas dan "terpaksa menggantung sebahagian atau semua kegiatan" semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), dari 22 Jul sehingga 18 Ogos.

"Ini termasuk makanan dan minuman (F&B), gimnasium, studio kecergasan dan pertubuhan persembahan serta kelab pendidikan seni,"tambah MOF.

Perniagaan tersebut sebelum ini layak bagi 50 peratus sokongan JSS dari 16 Mei hingga 11 Jul dan 10 peratus sokongan dari 12 Jul hingga 21 Jul.

Sektor-sektor lain mendapat sokongan 40 peratus JSS seperti runcit, khidmat penjagaan peribadi, daya tarikan pelancong, hotel berlesen, kapal persiaran dan pengendali feri serantau, penganjur MICE, ejen pelancongan, muzium, galeri seni, pengendali pawagam dan pusat-pusat hiburan keluarga lainnya, kata MOF.

Perniagaan tersebut sebelum ini layak bagi 30 peratus sokongan JSS dari 16 Mei hingga 11 Jul dan 10 peratus sokongan dari 12 Jul hingga 21 Jul.

Sokongan JSS bagi semua sektor yang terjejas itu kemudian dikurangkan kepada 10 peratus dari 19 Ogos hingga 31 Ogos.

BANTUAN SEWA BAGI HARTANAH KOMERSIL

Penyewa di hartanah milik pemerintah akan mendapat pelepasan sewa semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), sementara penyewa harta tanah milik privet akan mendapat pelepasan sewa selama separuh tempoh tersebut.

"Pemerintah akan memberi pelepasan sewa empat minggu tambahan bagi penyewa hartanah milik pemerintah, dan pembayaran tunai tambahan sewa selama dua minggu bagi penyewa dan pemilik hartanah komersil milik swasta di bawah skim sokongan sewa,”kata MOF.

PAKEJ RANGSANGAN, SOKONGAN KREDIT

Pakej tambahan bagi khidmat penghantaran makanan akan diperkenalkan semula bagi urus niaga yang dibuat antara 22 Jul dengan 18 Ogos.

Ia bagi menyokong sektor F&B mengimbangi sebahagian daripada kos penghantaran melalui platform penghantaran makanan pihak ketiga.

"ESG (Enterprise Singapore) akan membiayai 5 mata peratusan dari kos komisen yang dikenakan," kata MOF.

"ESG akan menampung 20 peratus daripada kos penghantaran untuk pesanan penghantaran makanan melalui rakan logistik pihak ketiga."

Pakej ransangan e-dagang, diperkenalkan semula pada 16 Mei, juga akan disediakan sehingga 16 November. Ini akan membantu peruncit tempatan menggunakan platform e-dagang tempatan.

"Peruncit akan menerima sokongan sekali sahaja sebanyak 80 peratus daripada kos kelayakan untuk membiayai yuran perkhidmatan yang dikenakan oleh platform. Jumlahnya dihadkan kepada S$8,000," kata MOF.

"Platform ini termasuk Lazada, Mummy's Market, Qoo10, Shopee dan Zalora."

Bank dan syarikat-syarikat kewangan juga akan terus menyediakan bantuan aliran tunai kepada peminjam yang terjejas oleh sekatan lebih ketat.

"Bantuan ini ditawarkan bersama ESG, Penguasa Kewangan Singapura dan langkah-langkah sokongan industri yang baru-baru ini dilanjutkan," kata MOF.

SOKONGAN BAGI PENJAJA, PEGERAI DI PASAR

Pemerintah akan memperkenalkan dana baru untuk membantu penjaja dan pegerai di pasar yang akan menerima bantuan tunai sekali sahaja sebanyak S$500 bagi setiap pegerai.

Bantuan itu akan diberi kepada pemilik gerai makanan yang dimasak dan pegerai pasar di pusat yang dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Nasional (NEA) atau pengendali yang dilantik NEA.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan pada 16 Jul bahawa pegerai di pusat penjaja dan pasar yang dikendalikan NEA atau pengendali yang dilantik oleh NEA akan menerima satu bulan subsidi bagi perkhidmatan membersihkan meja dan cuci pinggan berpusat, serta satu bulan pelepasan sewa.

Bagi menyokong pemandu teksi dan kereta sewa privet, Pemerintah akan menambah dana bantuan COVID-19 bagi pemandu dari 22 Jul hingga akhir September.

Pada masa ini dana tersebut memberi pemandu yang layak bantuan S$10 bagi setiap kenderaan setiap hari selama 60 hari dari Julai, dan S$5 bagi setiap kenderaan setiap hari, 30 hari berikutnya.

Sebagai sebahagian daripada pakej sokongan itu, Geran Pemulihan COVID-19 - Sementara akan disediakan sehingga 31 Ogos.

Ia akan memberi bayaran sehingga S$700 kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan sehingga S$500 bagi pekerja yang kehilangan sehingga 50 peratus daripada pendapatan mereka selama sekurang-kurangnya satu bulan akibat sekatan COVID-19 lebih ketat sejak 16 Mei.

Penerima geran sedia ada yang terus memerlukan bantuan boleh memohon bagi pembayaran kedua di bawah skim itu, kata MOF. 

Sumber : CNA/SM/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan