Skip to main content

Singapura

Pakar usul perkenal sesuatu yang benar-benar gah bagi pikat pelancong ke S'pura

Bagi memikat dan menambat hati para pengunjung ke negara ini, Singapura perlu kreatif dan memperkenalkan elemen-elemen baru yang gah supaya sektor pelancongannnya dapat berkembang di samping menyerlah dalam industri yang sengit.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar usul perkenal sesuatu yang benar-benar gah bagi pikat pelancong ke S'pura

(Gambar fail: Koh Mui Fong/TODAY)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 09:58AM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 10:03AM

SINGAPURA: Bagi memikat dan menambat hati para pengunjung ke negara ini, Singapura perlu kreatif dan memperkenalkan elemen-elemen baru yang gah supaya sektor pelancongannnya dapat berkembang di samping menyerlah dalam industri yang sengit.

Itulah pandangan para pakar menyusuli pengumuman tentang rancangan Pemerintah untuk membentuk semula dan memberi nafas baru kepada dua daya tarikan utamanya: Sentosa dan Orchard Road.

Dari pelancongan ke angkasa hinggalah ke panggung hiburan inovatif, para pakar menyarankan pelbagai idea dengan harapan dapat membantu Singapura menarik para pelancong di samping mendorong mereka meluangkan lebih banyak masa di negara ini.

Pulau Brani dan Greater Southern Waterfront, yang pertama kali dikemukakan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2013, juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan idea-idea dan konsep inovatif.

Dengan pelabuhan-pelabuhan kontena di Tanjong Pagar dijangka dipindahkan dalam tempoh beberapa tahun mendatang, rancangan-rancangan pembangunan bagi kawasan itu dijangka dijalankan pada skala lebih besar.

Berucap dalam satu acara industri pelancongan semalam (17 Okt, Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat berkata "kanvas luas itu sebesar Sentosa, dan ia membuka peluang-peluang menarik bagi kita untuk membangunkan daya tarikan baru".

Pensyarah kanan pelancongan dari Politeknik Ngee Ann, Encik Michael Chiam, berkata bahawa kawasan dermaga, yang luasnya dua kali ganda Marina Bay, boleh menjadi tuan rumah panggung wayang besar dengan platform bergerak 360-darjah seperti panggung Encore Melaka di Malaysia.

Dengan panggung berteknologi tinggi, Encik Chiam menambah satu pertunjukan air boleh dijadikan latar panggung, selaras dengan tema akuatik di lokasi kawasan dermaga itu.

Kawasan di sekitar Lapangan Terbang Changi pula boleh digunakan sebagai tapak pelancaran bagi pelancongan angkasa, kata pensyarah kanan pelancongan dari Politeknik Nanyang Kevin Wee.

Pelbagai acara peringkat antarabangsa seperti Formula 1 Grand Prix juga akan membantu menarik lagi antara 20,000 hingga 30,000 pelancong, kata Encik Christopher Khoo, pengarah pengurusan syarikat MasterConsult Service.

Pada 2017, Singapura menyaksikan rekod 17.4 juta pelancong, di mana hasil kutipannya mencecah S$26.8 juta.

Bagi separuh pertama tahun ini, negara ini menyambut 9.2 juta pelancong, satu kenaikan 7.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 15 peratus pelancong datang ke negara ini atas urusan perniagaan, menyumbang 22 peratus kepada hasil pendapatan dalam sektor pelancongan.

Encik Khoo menambah, menjadi tuan rumah kepada acara-acara "besar" seperti itu setiap bulan boleh merancakkan lagi sektor pelancongan Singapura.

"Bukan (bina) satu lagi pusat kapal pesiaran, atau kasino... (Sama seperti) negara-negara lain, hanya ada satu 'Oktober Fest' di Munich, dan satu sahaja 'Carnival' di Rio (de Janeiro)," katanya.

Menyepadukan Sentosa dengan prasarana Greater Southern Waterfront dan Pulau Brani satu lagi aspek yang boleh diteroka bagi membolehkan para pengunjung mendapat akses lebih mudah untuk ke pulau itu, kata Encik Chiam, sambil menambah "para pengunjung kini sukar untuk ke pulau tersebut".

Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay juga seharusnya sebahagian daripada rancangan-rancangan baru Pemerintah kerana lokasinya yang agak terpencil, kata pensyarah politeknik itu.

Dalam penyampaiannya semalam (17 Okt), Encik Chee mengatakan rancangan-rancangan bagi Orchard Road dan Sentosa akan didedahkan dalam tempoh antara enam hingga sembilan bulan akan datang.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita