Pakar sakit puan Hospital Mount Elizabeth dipenjara kerana memandu dalam keadaan mabuk
Dr Wong Hon Kwong Kenneth dipenjara empat minggu selepas mengakut bersalah memandu dalam keadaan mabuk. (Gambar-gambar: The OBGYN Centre, CNA/Jeremy Long)
Semasa kejadian, Dr Wong Hon Kwong Kenneth menyangka lampu trafik sudah bertukar hijau sedangkan yang menyala sebenarnya adalah isyarat anak panah merah.
Akibatnya, dia bertembung dengan dua kenderaan lain sehingga empat individu mengalami kecederaan ringan.
Dr Wong mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan satu lagi tuduhan memandu dalam keadaan tidak berhati-hati dan teliti.
Peguam-peguam Dr Wong, yang dipimpin Encik Shashi Nathan dari Withers KhattarWong, menjelaskan bahawa penglihatan anak guamnya "kabur" dan mindanya terganggu oleh satu prosedur sukar yang dijalankan ke atas seorang pesakit pada hari yang sama.
APA YANG TERJADI
Mahkamah diberitahu bahawa Dr Wong makan malam bersama beberapa rakan pada lewat 9 Disember 2023 dan meminum alkohol.
Kira-kira 1.10 pagi 10 Disember 2023, dia memandu di Upper Bukit Timah Road menghala Woodlands Road, dengan sekurang-kurangnya 54 mikrogram alkohol dalam setiap 100ml nafas.
Ini melebihi had sah 35 mikrogram.
Dr Wong kemudian membelok ke kanan ketika isyarat anak panah merah menyala di persimpangan antara Upper Bukit Timah Road dengan Old Jurong Road.
Dia berbuat demikian kerana menyangka anak panah hijau menyala sekali dengan lampu hijau trafik.
Dr Wong bertembung dengan sebuah kereta dan teksi yang bergerak lurus kerana lampu hijau sedang menyala buat mereka.
Pertembungan itu menyebabkan pemandu kereta berusia 40 tahun, pemandu teksi berusia 73 tahun, dan dua penumpang wanita yang masing-masing berusia 38 dan 63 tahun, mengalami kecederaan.
Semua kenderaan dalam insiden terbabit rosak akibat kesan rempuhan, dengan bampar remuk dan tercabut, cermin depan pecah dan lampu hadapan retak.
Empat mangsa yang dibawa ke hospital mengalami kecederaan ringan seperti sakit leher, luka pada bahagian dada. Mereka bagaimanapun dibenarkan pulang pada keesokan harinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.