Skip to main content

Singapura

Pakar kaji purba terkemuka Dr John Miksic berpulang pada usia 79 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar kaji purba terkemuka Dr John Miksic berpulang pada usia 79 tahun

Profesor John Norman Miksic dengan buku 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300-1800'. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

SINGAPURA: Pakar kaji purba dan sejarawan terkemuka Dr John Norman Miksic meninggal dunia pada usia 79 tahun pada Sabtu (25 Okt).

Dr Miksic, yang juga Profesor Emeritus di Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), berpulang pada pukul 8.55 pagi di Hospital Alexandra kerana disyaki menghidap jangkitan paru-paru (pneumonia).

Berita duka itu disahkan balu Dr Miksic, Dr Goh Geok Yian, yang juga Profesor Madya Sejarah di Sekolah Ilmu Kemanusiaan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Menurut Dr Goh, mendiang dibawa ke Hospital Ng Teng Fong pada tengah hari Jumaat (24 Okt) sebelum dipindahkan ke Hospital Alexandra bagi jagaan paliatif (akhir hayat) yang lebih lancar.

"Beliau sudah menjalani rawatan barah kulit melanoma sejak empat hingga lima tahun lalu dan ia merebak ke bahagian otak.

"Pada bulan Mac lalu, doktor memberi prognosis selama enam bulan.

"Namun, pagi semalam, kesihatannya merosot secara mendadak selepas mula demam, menggigil dan mengalami banyak kahak," kongsi Dr Goh kepada BERITA Mediacorp.
Prof John N. Miksic menghabiskan lebih setengah kurun mengkaji sejarah Asia Tenggara. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Mendiang turut mengalami kesukaran bernafas di Hospital Alexandra dan diberi oksigen dan antibiotik, tambah Dr Goh.

Sungguhpun demikian, Dr Goh berkata hingga ke akhir hayat Dr Miksic, beliau masih banyak berbincang mengenai kerjanya sebagai seorang ahli kaji purba.

"Beliau amat gemar membuat penyelidikan akademik dan kami turut berbincang tentang bagaimana kami dapat membantunya menyelesaikan kerjanya," kata Dr Goh.

"Sehingga ke akhir hayatnya, beliau amat berdedikasi terhadap kerjanya," tambah balunya itu.

Upacara persemadian Dr Miksic akan diadakan di rumahnya di Jurong West Street 64.

Upacara itu akan diadakan dari Sabtu (25 Okt) hingga Rabu depan.

PENGIKTIRAFAN

Dr Miksic menerima Anugerah Hadiah Sejarah Singapura pada 2018 bagi bukunya, 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300 - 1800'.
Buku 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300-1800'. (Gambar: Laman NUS)
Dr Miksic berada di Singapura secara tetap sejak 1987 dan terlibat dalam penggalian sejarah di beberapa tempat penting di Singapura seperti Padang dan Gereja St Andrew.

Hasil penggaliannya mendapati bahawa Singapura mempunyai sejarah silam yang kaya sebagai pelabuhan penting Laluan Sutera.

Bukunya, 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300-1800' (2013) merupakan adikaryanya yang mempengaruhi usaha penulisan semula sejarah Singapura.

Beliau juga menerajui misi penggalian di Bukit Larangan iaitu kawasan istana raja-raja Singapura dari zaman Sang Nila Utama.

Dr Miksic lahir di Rochester, New York pada 29 Oktober 1946 dan meraih sarjana muda daripada Kolej Dartmouth, dua ijazah sarjana daripada Universiti Ohio dan Cornell dan doktor falsafah (PhD) dari Cornell.

Dalam wawancaranya baru-baru ini, Dr Miksic malah berkongsi: “Saya cuba menyumbang apa yang terdaya.

"Tetapi usaha dalam sejarah perlu diteruskan dan tidak boleh diabaikan kerana banyak teladan dan pengajaran yang boleh disampaikan kepada generasi akan datang."
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita