Skip to main content

Singapura

Spesialis infantri terus cabar kemampuan diri sebagai seorang wanita dalam SAF

Anggaran Waktu Membaca:
Spesialis infantri terus cabar kemampuan diri sebagai seorang wanita dalam SAF

3SG Nur Farah Atika Abdullah kini spesialis infantri di Tentera Darat Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 21 Nov 2026 06:06PM Dikemas Kini : 21 Nov 2026 09:17PM
Infantry specialist continues to challenge herself as a woman in the SAF
  • Inspired by women in National Service, 28-year-old 3SG Nur Farah Atika Abdullah joined the SAF to defend Singapore and become an infantry specialist.
  • She overcame physical and mental challenges, including carrying a 25kg pack, with support from sergeants and fellow trainees, and went on to become a BMT Platoon IC.
  • 3SG Farah encourages women interested in joining the SAF to prepare by exercising, keep learning from their mistakes and not give up; training builds skills and strength.
  • At Pasir Laba Camp on Nov 20, 958 graduates completed the 22-week course. Chan Chun Sing said more NSmen need to lead as cohorts shrink and warfare requires cooperation across services.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sebelum menonton video tentang sekumpulan wanita yang menjalani Perkhidmatan Negara, 3SG Nur Farah Atika Abdullah tidak menyangka dirinya akan menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Namun, setelah melihat kesungguhan wanita-wanita dalam video tersebut, semangat beliau untuk mempertahankan negara dengan menyertai SAF mula membakar dalam diri.

"Saya terinspirasi dengan wanita yang memikul tanggungjawab yang besar dan membuktikan diri mereka dalam bidang ini. Saya rasa dengan contoh yang mereka telah berikan saya, saya rasa saya ingin mencuba dan juga melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini," ujar 3SG Farah, 28 tahun.

Walau bagaimanapun, niat mempertahankan negara itu sebagai seorang wanita juga ditemani pelbagai cabaran dari segi fizikal dan mental.

Ini termasuk memikul beg seberat 25 kilogram.

Namun, spesialis infantri Tentera Darat Singapura itu terus cekal mengharungi cabaran-cabaran tersebut, sehingga dirinya sendiri memikul beberapa jawatan kepimpinan termasuk Ketua Platun BMT.

"Saya rasa itu adalah cabaran segi fizikal yang kita amat rasa susah untuk menjalani dengan kaum lelaki yang lain, tetapi dengan sokongan sarjan, sokongan rakan-rakan yang membuat latihan bersama, ia membuat kita lebih semangat untuk menjalani tugas tersebut," kongsi beliau.

KATA-KATA NASIHAT 3SG FARAH BAGI WANITA YANG INGIN SERTAI SAF

3SG Farah juga mengalu-alukan para wanita lain untuk menyertai SAF jika ada minat.

"Jangan terasa macam kita ini tidak tidak akan ada manfaat untuk khidmat ini."

"Kemungkinan secara segi fizikal, mungkin kita memang kalau dibandingkan dengan kaum lelaki, mungkin kita memang nampak lebih lemah, tetapi kita ada lain cara untuk memberikan ilmu kita," ungkap beliau.

Beliau akur bahawa, untuk menyertai SAF, para wanita harus mempersiapkan diri dengan bersenam supaya tidak akan mencederakan diri mereka.

Namun, beliau juga menekankan bahawa akan terdapat pelbagai latihan yang para anggota akan menjalani untuk membina kemahiran serta kekuatan fizikal.

"Kita cuma harus selalu tidak berputus asa dan kita mempelajari daripada kesilapan kita dan terus mencuba," nasihat beliau.

LEBIH RAMAI ANGGOTA PERKHIDMATAN NEGARA DIJANGKA PIKUL TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN

3SG Farah antara 958 graduan yang menamatkan kursus kadet spesialis dan military expert yang berlangsung selama 22 minggu.

Berucap di Perbarisan Tamat Kursus Kadet spesialis dan Military Expert di Kem Pasir Laba pada Jumaat (20 Nov), Menteri Pertahanan Chan Chun Sing menyatakan bahawa lebih ramai Anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) dijangka memikul tanggungjawab kepimpinan sedang saiz kohort mengecil.

Menurut Encik Chan, ia juga kerana peperangan kini semakin tidak berpusat, dengan unit-unit lebih kecil diperkasakan menerusi sistem komunikasi yang lebih baik, sistem tanpa pemandu, senjata berketepatan tinggi dan teknologi yang semakin canggih.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa peperangan kini semakin bergantung pada rangkaian bersepadu.

"Sebagai seorang komander, anda tidak lagi boleh hanya memahami sistem senjata, unit atau domain anda sendiri. Para komander mesti mampu beroperasi merentasi domain. Ini bermakna setiap komander dalam SAF mesti memahami bagaimana dia boleh bertempur secara berkesan bersama perkhidmatan lain, sama ada Tentera, Tentera Udara, Tentera Laut, atau DIS," jelas Encik Chan.

Encik Chan selaku pegawai pemeriksa perbarisan di acara tersebut juga menggesa para graduan untuk terus menjaga kebajikan anggota di bawah pimpinan mereka.

Para kadet spesialis dan military expert yang menamatkan kursus tersebut seterusnya akan memegang pelbagai jawatan dalam SAF.

Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita