Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakar hartanah ramal trend flat jualan semula 4 bilik jangkaui S$1 juta akan terus meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rekod jumlah 21 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga lebih S$1 juta dalam pasaran flat jualan semula bagi suku pertama tahun ini. Para pakar hartanah meramalkan trend meningkat itu akan berterusan untuk seketika waktu.

Sesetengah pembeli rumah perlu berpuas hati dengan flat empat bilik berbanding flat lima bilik lebih terhad, meskipun mereka lebih cenderung kepada flat lima bilik, demi mendapatkan rumah di kawasan popular seperti Bishan, Queenstown dan Duxton, menurut para pakar hartanah.

21 unit HDB empat bilik yang dijual pada suku pertama itu adalah tiga kali lebih tinggi berbanding tujuh unit flat jenis yang sama yang dijual pada tempoh sama setahun sebelumnya, kata ketua penyelidikan dan kandungan di PropNex Realty, Wong Siew Ying, kepada Mediacorp pada Isnin (4 Apr).

Hanya enam unit sedemikian dijual pada suku pertama 2021, kata Cik Wong, sambil merujuk kepada kedua-dua data dari HDB dan syarikatnya setakat 31 Mac.

Perangkaan bagi penjualan flat jualan semula HDB empat bilik untuk sepanjang tahun dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah seperti berikut:

2022: 38 flat

2021: 44 flat

2020: 14 flat

2019: 10 flat

2018: 9 flat

2017: 0 flat

MENGAPA HARGA TELAH MENINGKAT?

Cik Wong dan pakar hartanah lain yang dihubungi Mediacorp berkata bahawa trend bagi flat jualan semula empat bilik diurus niaga pada harga lebih S$1 juta bermula dari tahun 2018.

Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia Lee Sze Teck berkata flat HDB empat bilik bernilai sejuta dolar yang pertama adalah sebuah unit dengan keluasan 95 meter persegi di Pinnacle@Duxton. Ia dijual pada harga S$1,028,000 pada Jun 2018 kerana lokasinya yang terletak di bahagian tengah negara dan menawarkan pemandangan yang tidak terhadang.

Beliau menambah bahawa pengenalan flat di bawah Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) pada 2005 juga menjadi faktor di sebalik kemunculan flat yang mencecah jutaan dolar.

Flat DBSS, katanya, bukan saja mempunyai lokasi yang baik. Ia direka oleh pemaju persendirian dan mempunyai "kemasan kelas tinggi," berbanding flat-flat HDB.

"Sedang harga flat jualan semula meningkat setelah COVID-19, lebih ramai pembeli memilih untuk mendapatkan flat empat bilik pada 2023 memandangkan ia lebih dimampui," kata Encik Lee.

Cik Wong berkata bahawa trend flat jualan semula HDB empat bilik bernilai jutaan dolar mungkin didorong oleh langkah tempoh menunggu selama 15 bulan bagi para penjual privet, seperti yang diumumkan pada September lalu.

PROSPEK

Secara tuntas, para pakar sebulat suara menyatakan bahawa ia akan menjadi perkara lebih biasa untuk menyaksikan flat empat bilik dijual pada harga jutaan dolar dalam pasaran jualan semula.

Pakar industri hartanah Nicholas Mak meramalkan yang keadaan itu akan kekal sedemikian untuk tempoh 10 tahun seterusnya.

Ia sebahagiannya kerana bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru-baru ini di kawasan popular di estet-estet matang, serta flat-flat di kawasan perumahan lokasi utama, yang tidak mempunyai flat lima bilik, kata Encik Mak.

Encik Lee juga menambah bahawa kadar faedah yang lebih tinggi serta ketidaktentuan ekonomi juga mungkin mendorong sesetengah pembeli untuk mendapatkan flat empat bilik berbanding flat yang lebih besar, yang akan meningkatkan permintaan bagi flat sedemikian.

Encik Lee bagaimanapun berkata bahawa trend tersebut tidak berkemungkinan mendatangkan kesan terhadap flat tiga bilik. Lantaran itu, beliau tidak menjangkakan flat jenis tersebut akan menjangkaui harga S$1 juta dalam tempoh lima tahun mendatang.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan