Pakar ekonomi ramal masa depan Singapura baik tetapi tidak menyerlah
Singapura menonjol berbanding bandar-bandar Asia lain yang sedang membangun.
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Baik tetapi bukan hebat. Demikian pandangan para pakar ekonomi mengenai prospek jangka panjang Singapura, dari pengilangan hingga ke pertumbuhan ekonomi.
Demografik penduduk yang semakin menua dan kos buruh yang semakin meningkat akan menjadi beban kepada Singapura yang memberi tumpuan pada sektor pengilangan bagi menyokong pertumbuhan, kata para pakar ekonomi.
Singapura menonjol berbanding bandar-bandar Asia lain yang sedang membangun. Menurut nota kajian Oxford Economics yang dikeluarkan semalam (18 Jul), bandar-bandar Asia yang lain ini semakin bergantung pada perkhidmatan untuk merangsang pertumbuhan.
"Masa-masa ketika daya saing pengilangan Singapura amat menyerlah sudah lama berlalu," menurut Oxford Economics.
"Sektor pengilangan Singapura menghadapi persaingan yang semakin sengit di rantau ini dan juga berisiko mengalami kos buruh yang semakin meningkat" akibat penduduk yang semakin meningkat usia dan sekatan imigresen.
Meskipun pakar ekonomi Oxford menjangkakan pertumbuhan daya penghasilan "yang sederhana" hingga 2022, kadar pengambilan pekerja akan mendatar dan eksport dijangka meningkat sejajar dengan perdagangan dunia, dan bukan mengatasinya.
Laporan Oxford itu menyusuli nota daripada para penganalisis Kumpulan DBS awal minggu ini, yang menggariskan cabaran jangka masa panjang.
Melangkah hingga ke 2030, Singapura dalam kedudukan "baik, tetapi tidak lagi menyerlah", disebabkan demografik yang tidak membantu, menyebabkan pertumbuhan mendatar sekitar dua hingga dua setengah peratus menurut nota DBS, diketuai oleh ketua pakar ekonomi Taimur Baig.
Perangkaan itu lebih rendah daripada pertumbuhan purata sebanyak 7.9% setahun yang diramalkan oleh para pakar ekonomi Oxford untuk Bandar Ho Chi Minh dari 2018 hingga 2022.
Khidmat kewangan bandar itu dianggar meningkat 10.6% dan khidmat pengangkutan dan komunikasi pula dijangka tumbuh 8.5% pada tempoh masa yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.