Pakar ekonomi: GST mungkin tidak dinaikkan 2 peratusan mata sekali gus
SINGAPURA: Belanjawan Negara 2022 akan dibentangkan esok (18 Feb) dan antara persoalan yang bakal terjawab ialah bilakah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan. Serta, sama ada GST akan dikuatkuasakan secara 2 peratusan mata sekali gus, ataupun secara bertahap-tahap.
Semasa diajukan soalan itu kepada pakar ekonomi Maybank, Saktiandi Supaat, beliau meramalkan kenaikan GST secara bertahap-tahap lebih kemungkinan akan berlaku.
"Saya memberikan kemungkinan 60 peratus kepada senario Pemerintah akan memihak kepada peningkatan berperingkat dua langkah untuk memperkenalkan GST pada belanjawan kali ini. Ia mungkin akan membantu kurangkan kesannya terhadap isi rumah dan perniagaan.
"Saya rasa (kenaikan GST) berperingkat juga akan memberi pendekatan yang berhemat memandangkan kebimbangan berterusan terhadap inflasi global dan kadar pemulihan ekonomi yang tidak menentu disebabkan varian Omicron dan faktor lain," kata Encik Saktiandi yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.
Namun begitu, Encik Saktiandi tidak menolak bahawa GST boleh dinaikkan terus kepada 9 peratus.
"Kemungkinan 40% ia dibuat secara satu langkah kerana ia akan kurangkan ketidakpastian dan kebimbangan dan beban perniagaan dalam menguruskan perubahan kadar dua kali kerana ada impaknya.
"Ia juga dapat mengurangkan pengautan keuntungan tidak berpatutan," ujar Encik Saktiandi.
SEJARAH PELAKSANAAN GST
GST diperkenalkan buat pertama kalinya pada 1994. Kadarnya ketika itu 3 peratus sahaja.
Lapan tahun kemudian, semasa Belanjawan Negara pada 2002, pemerintah mengumumkan bahawa kadar GST akan dinaikkan lagi kepada 5 peratus dalam usaha mengurangkan cukai langsung seperti cukai korporat demi bersaing di peringkat antarabangsa.
Kadarnya bagaimanapun dinaikkan secara bertahap-tahap, iaitu kepada 4 peratus pada 2003, di mana kutipan GST mencapai S$3.1 bilion.
Kadar GST hanya menjadi 5 peratus pada tahun 2004 dengan hasil GST mencecah S$3.7 bilion.
Hanya tiga tahun selepas itu, pada 2007, kadar GST dinaikkan lagi 2 peratusan mata kepada 7 peratus dan mengutip lebih S$6 bilion.
Kadar itu tidak naik selama 15 tahun, sehinggalah hari ini.
BERAPA NANTI SUMBANGAN GST 9% KEPADA NEGARA?
Sebagaimana diumumkan pemerintah pada 2018, GST akan dinaikkan kepada 9 peratus sebelum tahun 2025.
Walaupun naik kepada kadar baru 9 peratus nanti, ia masih antara yang paling rendah di dunia, di mana puratanya adalah 19 peratus.
Menurut syarikat perkhidmatan audit dan cukai KPMG, purata GST di Asia sendiri ialah 11.6 peratus - masih lebih tinggi berbanding kadar yang dicadangkan pemerintah Singapura itu.
GST secara purata menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah hasil cukai yang dikumpul Pemerintah sejak lima tahun lalu.
Misalnya pada tahun kewangan 2020/21, lebih S$10 bilion hasil mahsul negara dikumpul menerusi GST.
Sumber cukai terbesar kepada hasil mahsul negara bagi tahun kewangan 2020/2021 ialah cukai pendapatan korporat dengan lebih S$16 bilion (33%)dikutip tahun lalu.
Cukai peribadi pula di tempat kedua dengan S$12.8 bilion (26%).
Jadi, apakah impak GST 9 peratus kepada pendapatan negara nanti?
"Peningkatan kadar GST mungkin boleh meningkatkan hasil Singapura sebanyak S$3.6 bilion, atau 0.7% GDP.
"Ia akan meningkatkan hasil sumbangan GST melebihi cukai pendapatan peribadi dan akan menjadi hasil kedua terbesar selepas cukai pendapatan korporat,"terang Encik Saktiandi yang merupakan Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.