Pakar bedah NUH, Dr Nazrul Nashi berbesar hati dapat bantu rawat mangsa perang Gaza melalui teleperubatan
Hampir dua jam sekali seminggu, Pakar Bedah Ortopedik dari Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Nazrul Nashi akan meluangkan masa untuk menyediakan khidmat telekonsultasi untuk mangsa perang di Gaza yang cedera.
Dalam sesi sedemikian, beliau akan menganalisa keadaan pesakit menerusi video dan rekod perubatan pesakit serta memberi nasihat rawatan kepada pasukan perubatan di Timur Tengah.
Ia bertujuan untuk membantu pasukan yang merawat mangsa perang Gaza di atas kapal perubatan yang diterajui oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Kerjasama itu sudah dimulakan sejak Oktober lalu dengan sekumpulan pakar perubatan dari Singapura menghulurkan nasihat perubatan mereka menerusi telekonsultasi dan teleperubatan.
Walaupun tidak dapat bertemu pesakit secara fizikal, Dr Nazrul yang berpengalaman lebih 10 tahun itu berbesar hati kerana masih dapat menyumbang kepakarannya dan mengasah kemahirannya.
"Salah satu cabaran yang saya hadapi adalah memberikan pendapat untuk merawati kecederaan akibat letupan pada anggota badan kerana ini bukan keadaan yang biasa dilihat di Singapura. Walau bagaimanapun prinsip asas untuk merawati keadaan ini tetap sama.
"Kami juga perlu membaca tentang kondisi tersebut untuk memberikan pandangan yang mantap. Kami juga dapat mempelajari dari rakan kami di luar negara mengenai cara mereka menguruskan pesakit sedemikian," kata Dr Nazrul kepada wartawan Syawal Yusoff.
PASUKAN SAF, KKH TUMPU KEPADA RAWATAN UNTUK KANAK-KANAK
Selain doktor dan pakar pedah, pasukan perubatan itu juga terdiri daripada pakar pediatrik, pakar diet, jurupulih pekerjaan atau 'occupational therapist' dan ahli fisioterapi.
Untuk mangsa kanak-kanak pula, kepakaran pegawai perubatan daripada SAF dan KKH dimanfaatkan untuk bantu mereka.
"Seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan tulang belakang akibat insiden pengeboman beberapa bulan lalu. Walaupun beliau telah menjalani pembedahan untuk memperbetulkan tulang belakang, beliau mengalami kesannya dan lumpuh dari bahagian bawah pinggang. Dia juga menghadapi pelbagai masalah perubatan lain. Dia mempunyai luka yang besar dan dahsyat di bahagian belakang. Dia juga sangat kurus dan lemah. Jadi dia sebenarnya kekurangan zat makanan. Dia juga menghadapi pelbagai jangkitan.
"Jadi ia benar-benar satu kes yang tidak dapat dilupakan. Kami mengadakan perbincangan yang sangat bermakna mengenai pelbagai aspek pengurusannya dengan Panel Doktor Antarabangsa," kata MAJ Ngeow yang juga seorang pakar pediatrik dan 'neonatology' di sebuah hospital tempatan.
Beliau merupakan antara lima pegawai dari SAF yang terlibat dalam usaha ini.
Ini juga pertama kali beliau terlibat dalam usaha sedemikian dan beliau berbangga diberikan peluang untuk berkhidmat semasa menjalankan khidmatnya sebagai Anggota Perkhidmatan Negara SAF (NSmen).
Seorang lagi pakar perubatan yang menyahut panggilan untuk terlibat dalam usaha kemanusiaan itu ialah Profesor Madya Sashikumar Ganapathy dari KKH.
Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad, Ketua dan Konsultan Kanan di Jabatan Perubatan Kecemasan ini menyokong usaha tersebut dengan berkongsi kepakaran terutama dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak.
"Kami di KKH bekerja sebagai satu pasukan, dan rakan-rakan saya dari kerja, siap sedia untuk menyumbang apabila diperlukan. Kami sebagai pakar perubatan bersedia untuk memberi nasihat dan pandangan tentang kes-kes yang dibincangkan secara sukarela dan bersedia menyumbang sebagai rakyat Singapura," kata Profesor Madya Sashikumar.
Awal bulan ini, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menyantuni pasukan yang terlibat dan melahirkan penghargaan beliau ke atas sumbangan serta semangat kesukarelawanan para anggota perubatan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.