Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakar Anaestesiologi Dr Hairil Rizal Abdullah terima biasiswa berprestij Lee Kuan Yew

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dr Hairil Rizal Abdullah, seorang Konsultan Kanan di Jabatan Anestesiologi Hospital Besar Singapura (SGH) terpilih menjadi salah seorang penerima Biasiswa Lee Kuan Yew 2022 pada Khamis (2 Jun).

Beliau dipilih atas sumbangan serta komitmen teguh beliau untuk berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan.

Dr Hairil kini sedang menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Klinikal dan Translasi di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Biasiswa berprestij itu mengiktiraf individu berjiwa masyarakat dan sekali gus menyokong usaha mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat pos siswazah.

Selain Dr Hairil, dua lagi penerima biasiswa tersebut adalah Timbalan Pengarah Kumpulan Kewangan Jagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH), Lee Matthew Mun Hong dan pegawai MOH bagi pasukan vaksinasi dan terapeutik, Dr M Premikha.

SENTIASA MENCARI HURAIAN UNTUK MANFAAT PESAKIT

Cita-cita Dr Hairil Rizal Abdullah sewaktu kecil adalah untuk menjadi seorang juruterbang.

Namun impian itu perlu diketepikan kerana mahu menunaikan hasrat kedua orang tuanya yang ingin melihat salah seorang anak mereka menjadi seorang doktor.

"Ibu dan bapa terlibat dalam bidang perniagaan dan juga insurans. Dua adik-beradik saya mengikuti jejak mereka tetapi mereka ingin melihat saya menjadi seorang doktor. Jadi saya turutkan sahaja," seloroh Dr Haril, 42 tahun.

Pada 2008, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berhijrah ke Singapura menimba pengalaman dalam sektor penjagaan kesihatan.

Sejak itu, beliau telah membuat sumbangan besar kepada sektor penjagaan kesihatan di sini.

Memberi keutamaan dalam kebajikan pesakit menjadi motivasi Dr Hairil untuk mencari huraian inovatif dan membawa manfaat jangka panjang.

Di peringkat awal pandemik COVID-19, Dr Hairil memimpin sebuah pasukan untuk menghasilkan Sistem 'Swab Assurance For Everyone' atau SG SAFE.

Ia membantu kakitangan jagaan kesihatan mengambil sampel untuk diuji dengan lebih selamat dan dua kali ganda lebih pantas.

Sistem SG SAFE itu bukan saja digunakan di SGH, malah tujuh lagi seumpamanya digunakan di dormitori pekerja asing.

Satu lagi projek yang beliau bangunkan bersama tiga pakar Anestesiologi SGH adalah sistem SG SPARK.

Ia sebuah sistem mudah alih yang merubah wad-wad dan unit-unit rawatan rapi (ICU) menjadi bilik-bilik pengasingan dalam masa sejam sahaja.

"Tindakan segera diperlukan kerana jumlah pesakit tanpa COVID yang memerlukan pembedahan semakin meningkat. Jadi waktu menunggu untuk menjalani pembedahan semakin panjang. Ramai pesakit yang memerlukan pembedahan segera tetapi tidak dapat menjalaninya. Jadi, kami memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu tanpa memerlukan perbelanjaan yang tinggi," kata Dr Hairil.

Proses tersebut sangat mencabar kerana semua anggota projek tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kejuruteraan.

"Kami bermula daripada awal. Memang pada masa itu tidak ada langsung idea atau pengetahuan tentang bidang kejuruteraan.

"Kalau saya dapat ingat kembali memang banyak kerja. Ada masanya sampai tidak cukup tidur selama dua tiga minggu untuk mencari penyelesaian itu menggunakan internet dan membaca buku yang memang tiada kena mengena dengan perubatan," kongsi beliau.
Gambar: Rosli A Razak
CIPTA PANGKALAN DATA PERIBEDAH DAN PENJAGAAN KRITIKAL

Antara projek yang sedang beliau usahakan kini adalah untuk mencipta sebuah pangkalan data peribedah dan penjagaan kritikal pesakit yang menjalani pembedahan di rantau ini serta membangunkan mesin pembelajaran canggih untuk meramalkan komplikasi pembedahan.

"Setakat ini kami sudah ada dalam lebih daripada 200,000 pesakit dalam pangkalan data itu dan kami mengkaji lebih 600 faktor-faktor. Kami melihat faktor-faktor paling penting yang boleh mengakibatkan komplikasi selepas pembedahan.

"Kita perlukan pangkalan data yang besar dan kita menggunakan teknik-teknik yang baru seperti pembelajaran mesin dan Kecerdasan Buatan (AI) supaya kita dapat mengenal pasti faktor yang tidak dapat dikenal pasti oleh manusia.

Dr Hairil dan para penerima biasiswa Lee Kuan Yew boleh memilih untuk melanjutkan pengajian di mana-mana negara dalam bidang yang boleh membangunkan potensi mereka sebagai pemimpin.

Para pemegang biasiswa itu juga dijangka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat secara aktif.
Sumber : BERITA Mediacorp/rr
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan