Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakar: Ada 'peralihan' bahawa isu Palestin bukan lagi faktor utama berdamai dengan Israel

Perjanjian damai yang dipanggil Perjanjian Ibrahim antara Israel dengan Bahrain dan UAE itu menjadikan kini empat negara Arab sudah menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ketua Staf Rumah Putih, Mark Meadows, mendedahkan bahawa lagi lima negara kini dengan serius menimbangkan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Komen pegawai tinggi Amerika Syarikat itu beliau buat kelmarin (17 Sep) menyusuli perjanjian damai yang dimeterai antara Israel dengan Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa hari lalu.

Pakar-pakar politik antara lain menyifatkan perkembangan melibatkan dua negara Arab itu sebagai penting kerana antara isyaratnya adalah - isu Palestin bukan lagi dilihat sebagai satu faktor utama untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel.

Perjanjian damai yang dipanggil Perjanjian Ibrahim antara Israel dengan Bahrain dan UAE itu menjadikan kini empat negara Arab sudah menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv sejauh ini.

Lagi dua negara adalah Mesir dan Jordan.

ISU PALESTIN & HURAIAN '2 NEGARA' TIDAK LAGI PENTING?

Menurut Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, Perjanjian Ibrahim yang ditandatangani pada 15 Sep itu penting kerana ia seakan-akan mencerminkan suatu 'peralihan'.

(Dari kiri) PM Israel Benjamin Netanyahu, Presiden AS Donald Trump, Menteri Ehwal Luar Bahrain Abdullatif Rashid Al Zayani, dan Menteri Ehwal Luar UAE Abdullah Zayed susuli pemeteraian 'Perjanjian Abraham' pada 15 Sep 2020 (Gamba: Alex Wong/Getty Images/AFP)

Iaitu secara tradisinya sekarang ini negara-negara Arab berpendirian bahawa perlu ada huraian kukuh tentang isu Palestin atau huraian "dua negara" sebelum mereka sedia berdamai dengan Israel.

"Namun sekarang, apa yang kita lihat bahawa segelintir negara-negara Arab membelakangkan pandangan tersebut dan telah bersedia untuk memeterai hubungan dua hala secara langsung dengan Israel.

"Jadi ini satu perkembangan yang penting dan menarik kerana semua negara di Timur Tengah mahu mencapai perdamaian tetapi seakan-akan ada pandangan baru sekarang yang mengatakan bahawa mereka tidak perlu mewujudkan negara Palestin," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Menurut seorang lagi pakar politik, Dr Mohd Nawab Mohd Osman, dari segi psikologi perjanjian ini amat penting kerana ia mengiktiraf Israel sebagai satu negara. Faktor ini beliau anggap sebagai "signifikan".

"Ini adalah satu perkara yang memang tidak pernah terjadi dalam sejarah Timur Tengah. Kerana negara-negara Arab sebelum ini kebanyakannya telah menganggap Israel itu sebagai negara yang tidak harus wujud dan mereka memberikan sokongan kepada orang-orang Palestin dan mereka melihat bahawa mungkin negara Palestin itu akan ditubuhkan di geografi di mana Israel itu berada sekarang. Jadi dari segi itu saya rasa agak signifikan," kata Zamil Pelawat di Universiti California-Berkelay itu kepada BERITAmediacorp.

SEBAB-SEBAB NEGARA ARAB 'BERALIH'

Menurut Dr Norshahril lagi, negara-negara Arab seperti UAE dan Bahrain lebih melihat kepada kepentingan-kepentingan lain seperti hubungan ekonomi dan pelancongan dengan Israel, selain memerlukan penampan dari pengaruh Iran (Syiah) dan Turki yang kian meningkat.

Jadi, pertimbangan yang mungkin membawa kepada perkembangan terbaru itu di Timur Tengah adalah "kepentingan strategik", kata Dr Norshahril.

"Kita tahu bahawa di Timur Tengah itu sendiri ada kebangkitan dua kuasa yang mungkin mencorak polemik di rantau tersebut. Satu daripadanya adalah kebangkitan Turki yang cuba untuk membangkitkan kekuasaan mereka di rantau tersebut

"Dan yang kedua ialah faktor Iran, di mana ada sedikit pergeseran politik di antara negara Iran dengan negara-negara lain. Jadi satu adalah kepentingan strategik dan cara ini adalah untuk membendung kebangkitan kedua-dua negara ini," terang beliau.

ARAB SAUDI, OMAN, SUDAN MENYUSUL?

Sejauh ini, Rumah Putih tidak pula menjelaskan apakah nama lagi lima negara yang menurutnya berminat berdamai dengan Israel. Namun Encik Meadows mengatakan bahawa tiga daripada lima negara berkenaan berada di rantau Timur Tengah.

Namun ini kupasan Dr Mohd Nawab.

"Arab Saudi dan juga Sudan mungkin akan mengambil langkah untuk memulihkan hubungan dengan Israel. Saya rasa untuk negara-negara seperti Arab Saudi, mungkin negara seperti Oman dan lain-lain mereka akan memerhatikan sama ada UAE dan Bahrain akan menghadapi tentangan daripada rakyat mereka.

"Ataupun bagaimana reaksi daripada mungkin orang Islam, umat Islam di dunia. Bagaimana reaksi mereka kepada perjanjian ini. Jika dilihat reaksi pembangkang itu begitu kuat, tentangan itu begitu kuat mungkin mereka tidak akan memulihkan hubungan," kata Dr Mohd Nawab.

Oman jug disebut-sebut sebagai kemungkinan satu daripada lima negara berminat berdamai dengan Israel kerana seorang dutanya menghadiri majlis pemeteraian Perjanjian Ibrahim itu di Rumah Putih tempoh hari.

Arab Saudi pula "diramal" oleh Presiden Trump sendiri sebagai akan akhirnya bersetuju untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel.

KESAN PERJANJIAN IBRAHIM KE ATAS PILIHAN RAYA AMERIKA SYARIKAT?

Sejauh mana pula orang tengah Perjanjian Ibrahim - iaitu Presiden Donald Trump - akan meraih manfaatnya?

Presiden Trump bercakap kepada pihak media pada 11 Sep 2020 tentang kesepakatan Bahrain-Israel untuk sambung hubungan diplomatik (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque) 

Dr Nawab percaya ini akan menguntungkan Trump kerana ia akan disambut baik lobi pro-Israel yang kuat di Amerika.

"Jadi untuk kejayaan untuk mendapatkan perjanjian ini ditandatangani boleh memberikan sokongan di kalangan beberapa golongan kumpulan pengundi di Amerika, umpamanya pengundi Yahudi. Ini akan memberikan kesan di beberapa negeri di umpamanya di New York dan sebagainya," kata beliau.

Dr Norshahril pula berbeza pandangan. Sama ada Presiden Trump dapat menggunakan Perjanjian Ibrahim ini sebagai modal pilihan raya November nanti, masih menjadi satu tanda tanya.

Ini kerana berdasarkan pilihan raya Presiden tahun 2016, faktor dasar luar tidak begitu mempengaruhi keputusan pilihan raya tersebut, hujah beliau.

"Kita tahu bahawa pada pilihan raya yang lepas (2016), isu dasar luar ini tidak memainkan peranan yang penting. Isu sosioekonomi dan isu domestik itu memainkan peranan yang penting seperti imigrasi - kaum pendatang daripada luar masuk ke Amerika Syarikat - isu pekerjaan dan isu kelas menengah dan sebagainya itu memainkan peranan penting," jelas Dr Norshahril.

Lantaran itu, walaupun yakin bahawa Perjanjian Ibrahim akan dapat membangkitkan semangat lingkungan politik pentadbiran Trump, ia dijangka tidak dapat mencorak pengundian pilihan raya 2020 ini.

"Isu yang besar ialah isu pekerjaan, ekonomi dan juga cara beliau menangani pandemik COVID-19," kata Dr Norshahril. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan