Paip bocor, punca pancutan air di jalan susur keluar CTE
Satu saluran paip air yang bocor di jalan susur keluar CTE pada pagi Rabu (24 Okt), menyebabkan pancutan air beberapa meter ke udara.

Saluran paip air yang bocor di jalan susur keluar CTE. (Gambar: Jamilah Beevi)
SINGAPURA: Satu saluran paip air yang bocor di jalan susur keluar CTE pada pagi Rabu (24 Okt), menyebabkan pancutan air beberapa meter ke udara.
Agensi air negara PUB menyatakan ia sedang menyiasat punca kebocoran paip berkenaan, yang berlaku pada sekitar 6.50 pagi di jalan susur keluar Cavanagh Road di CTE.
Seorang jurucakap PUB berkata kakitangan dan kontraktornya segera bertindak dan berjaya menangani kebocoran di tempat kejadian.
"Kebocoran itu tidak menjejas bekalan air bagi penduduk berhampiran,"kata jurucakap tersebut sambil menambah bahawa kerja-kerja pembaikan di lokasi tersebut sudahpun selesai dijalankan.
PUB menyatakan ia menjalankan pemeriksaan bagi mengesan kebocoran pada rangkaian paip dua kali setahun atau dengan lebih kerap lagi jika perlu, sebagai sebahagian daripada tugas operasi dan penyenggaraannya.
"Bagi mengurangkan risiko paip bocor, PUB memasang paip-paip yang diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih tahan lasak seperti besi dan keluli, serta mengamalkan operasi memasang paip yang lebih canggih," kata jurucakap itu.
"Selain itu, PUB secara aktif menggantikan paip-paip lama atau paip-paip yang kurang baik di bawah Program Pembaharuan Paip dan ia dijangka menggantikan paip-paip seumpama itu sepanjang 50 kilometer tahun ini, tambahan 20 kilometer berbanding tahun lalu."
Jurucakap itu menambah bahawa PUB juga memanfaatkan teknik analisis untuk mengenal pasti dan mengutamakan paip-paip yang perlu digantikan.
"Terdapat juga peraturan untuk memastikan para kontraktor mengambil langkah-langkah sesuai bagi mencegah kerosakan pada paip-paip semasa menjalankan kerja-kerja binaan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.