Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Paip bocor di Potong Pasir jejas bekalan air penduduk

Sebatang paip air di estet perumahan awam di Potong Pasir pecah hari ini (26 Dis), sehingga mengakibatkan pancutan air setinggi beberapa tingkat dan bekalan air bagi sebilangan rumah terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Paip bocor di Potong Pasir jejas bekalan air penduduk

Gambar-gambar dimuat naik ke Facebook menunjukkan air memancut keluar paip di Potong Pasir. (Gambar: Andy Ng/Facebook)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 10:23PM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 10:49PM

SINGAPURA: Sebatang paip air di estet perumahan awam di Potong Pasir pecah hari ini (26 Dis), sehingga mengakibatkan pancutan air setinggi beberapa tingkat dan bekalan air bagi sebilangan rumah terjejas.

PUB memberitahu Mediacorp menerusi kenyataannya bahawa ia sedang menjalankan siasatan.

"PUB menerima laporan tentang paip bocor pada 10.00 pagi hari ini di Blok 101 Potong Pasir Avenue 1 dan secepatnya mengerahkan kru dan kontraktor ke tapak tersebut. Kebocoran itu diatasi pada 10.30 pagi," menurut agensi air negara itu.

"PUB menyediakan bekalan air sementara kepada para pelanggan yang terjejas dengan menggunakan gerbong air dan beg-beg air. Kerja-kerja pembaikan juga selesai dijalankan dan bekalan air kembali pada 2.15 petang," tambahnya.

Tidak diketahui jumlah penduduk yang terjejas dan seberapa banyak air yang dibekalkan kepada mereka semasa insiden itu.

Menurut Encik Sitoh Yih Pin, Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perseorangan Potong Pasir, paip bawah tanah itu pecah semasa "kerja-kerja binaan dijalankan".

"Saya ingin meminta maaf atas kesulitan yang dihadapi dan juga mengucapkan terima kasih kerana memahami," katanya menerusi catatan Facebook.

"Setinggi-tinggi penghargaan bagi pemimpin-pemimpin akar umbi saya (GRL), para sukarelawan dan pegawai dari Majlis Bandaran serta PUB."

Gambar-gambar yang dikongsi Encik Sitoh menunjukkan dirinya berada di tapak binaan di mana insiden dipercayai berlaku. Beliau juga kelihatan menolak satu troli yang membawa botol-botol diisi air dan menghantarnya ke depan pintu rumah para penduduk yang terjejas.

Banyak gambar yang dikongsi di media sosial turut menunjukkan pancutan air di tempat letak kereta di hadapan sebuah blok terjejas, menghujani kenderaan-kenderaan berdekatan.

Pada Julai, sebatang paip bocor di tapak binaan di Gambas Avenue, mengakibatkan pancutan air setinggi beberapa tingkat.

Pada Krismas tahun lalu, paip bocor menyebabkan "pancutan" air setinggi hampir tiga meter di Tampines Avenue 4 berdekatan Sekolah Rendah Junyuan.

Sebulan sebelum itu, sebatang paip bocor disebabkan kerja-kerja binaan di Tampines menjejas bekalan air pusat pertukaran bas dan medan selera di Eastlink Mall.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan