Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Paderi S'pura mohon "berbanyak-banyak" maaf kepada Mufti, pemimpin Islam tempatan

Seorang paderi tempatan memohon maaf kepada Mufti Singapura dan para pemimpin Islam hari ini (4 Apr), berhubung komen-komen yang dikatakan anti-Islam oleh seorang pendakwah Kristian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Apr 2018 09:52PM Dikemas Kini : 04 Apr 2018 10:47PM

SINGAPURA: Seorang paderi tempatan memohon maaf kepada Mufti Singapura dan para pemimpin Islam hari ini (4 Apr), berhubung komen-komen yang dikatakan anti-Islam oleh seorang pendakwah Kristian semasa berada di Singapura pada bulan lalu.

Paderi Yang Tuck Yoong adalah pengasas Gereja Masyarakat Cornerstone, yang menganjurkan persidangan di mana pendakwah dari Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai Lou Engle itu, dituduh oleh sebuah penerbitan online sebagai mengancam berlaku "perpecahan antara Kristian dengan Muslim" menerusi ceramahnya.

(Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: BERITAMediacorp)

Berkunjung ke MUIS petang tadi dan kemudiannya berucap kepada sekumpulan 13 pemimpin Melayu/Islam yang termasuk Mufti Negara Dr Fatris Bakaram, Paderi Yang berjanji bahawa Encik Engle tidak akan diundang lagi ke Singapura.

"Sebagai sebuah gereja, kami tidak menerima sama sekali ucapan atau perbuatan yang saling memburuk-burukkan antara rakyat Singapura," kata Paderi Yang.

"Kami mahu melangkah ke hadapan dengan pemahaman yang lebih mendalam serta penghargaan baru kepada peranan kita untuk menjadikan Singapura sebuah negara yang inklusif dan harmoni untuk semua."

MUFTI: PERMOHONAN MAAF PADERI YANG ADALAH IKHLAS

Paderi Yang selanjutnya menambah: "Secara peribadi saya mahu berbanyak-banyak meminta maaf kepada Mufti dan para anggota MUIS bagi ulasan tidak sensitif yang sudah dibuat. Saya memohon maaf dari anda."

Menurut Dr Fatris permohonan maaf tersebut ikhlas dan para pemimpin Islam Singapura mahu melangkah ke depan untuk menjalin hubungan lebih membina dan sihat dengan agama-agama lain.

(Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: BERITAMediacorp)

POLIS MINTA LOU ENGLE KEMBALI KE S'PURA UNTUK DISIASAT

Itu merupakan kali ketiga Encik Engle menyampaikan ceramahnya di Singapura dan beliau dikenali atas kelantangannya menyuarakan pandangan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan terkini yang dikirimkan kepada media pada 8.37 malam ini tadi, juga mendedahkan bahawa "Polis sudah meminta Encik Lou Engle supaya kembali ke Singapura untuk disiasat". Encik Engle meninggalkan Singapura tidak lama selepas persidangan Kingdon Invasion berakhir ketika itu.

"Memandangkan siasatan sedang dijalankan, kami tidak dapat memberikan komen lanjut," menurut kenyataan polis lagi.

KESEDIAAN TERIMA PERMOHONAN MAAF CERMINKAN CARA S'PURA - DR YAACOB

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim berkata beliau menghargai tindakan Paderi Yang yang meminta maaf dan bertanggungjawab kerana mengundang Encik Eagle untuk menyampaikan ceramah di Singapura

"Kata-kata yang disampaikan penting dan kenyataan yang mencetuskan perbalahan serta memburuk-burukkan pelbagai masyarakat tiada tempat sama sekali di Singapura," menurut Dr Yaacob di laman Facebooknya.

"Kesediaan kita untuk menerima permohonan maaf tersebut mencerminkan cara Singapura dan apa yang penting adalah kita terus menjunjung sikap saling hormat menghormati dan memelihara keharmonian demi kebaikan bersama," tambah Dr Yaacob.

AMRIN: MINTA MAAF TANDA KEBERANIAN

Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin juga mengulas dengan berkata bahawa beliau "gembira bahawa Paderi Yang sudah meminta maaf".

"Ada harapan bagi kita jika kita mempunyai keberanian untuk bersemuka dengan kesilapan-kesilapan kita," tambah Encik Amrin.

Beliau juga menekankan bahawa betapa tiada tempat bagi komen-komen yang memecahbelahkan bagi masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Permohonan maaf Paderi Yang itu dibuat setahun selepas Imam Nalla Mohamed Abdul Jameel Abdul Malik, juga meminta maaf kepada para pemimpin berlainan agama kerana mengeluarkan komen yang berbunyi: "Bantulah kami daripada kaum Yahudi dan Kristian".

Imam Nalla yang berasal dari India itu sudah bekerja di Singapura selama tujuh tahun. Beliau dikenakan denda S$4,000 dan dihantar balik.

Kes itu merupakan yang pertama di Singapura melibatkan seorang pemimpin agama yang didakwa atas ajaran yang tidak wajar.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan