Paderi cedera dalam serangan pisau di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah; penyerang sudah diberkas

(Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang paderi di sebuah gereja Katolik ditikam oleh seorang lelaki yang bersenjatakan pisau semasa upacara misa pada Sabtu (9 Nov). Seorang individu telahpun diberkas.
Penyerang, seorang warga Singapura berusia 37 tahun, berjaya dilenturkan oleh mereka yang hadir dan dia kemudian diberkas oleh para pegawai polis, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataannya.
"Dia mempunyai sejarah lampau bagi kecederaan serius dan penyalahgunaan dadah," dedah pihak polis.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai bertindak sendirian dan polis tidak mengesyaki serangan itu sebagai satu tindakan pengganasan, buat masa ini.
"Orang ramai digesa supaya bertenang dan mengelak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan sedang dijalankan untuk menentukan motif di sebalik kejadian ini."
Penyerang ialah seorang warga Singapura yang sebelum ini mengisytiharkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bahawa dia beragama Kristian, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Gereja Katolik di Singapura menyatakan, mangsa ialah Paderi Christopher Lee, paderi Gereja St Joseph berusia 57 tahun, yang terletak di Upper Bukit Timah antara Stesen MRT Cashew dan Hillview.
Paderi Christopher Lee kini dirawat di Hospital Universiti Nasional. Polis berkata dia berada dalam keadaan stabil.

Serangan itu berlaku di upacara misa kanak-kanak bulanan paroki, di mana kanak-kanak melaksanakan tugas yang biasanya dilakukan oleh orang dewasa. Kanak-kanak juga duduk di barisan hadapan pada acara itu, tetapi ianya terbuka kepada semua untuk hadir.
Mereka yang hadir, termasuk pasukan Archdiocesan Emergency Respons, yang membantu untuk melenturkan penyerang itu, menurut kenyataan Gereja Katolik.
Pasukan Archdiocesan Emergency Respons terdiri daripada sukarelawan yang berkhidmat sebagai responden pertama dalam kecemasan. "Sila pastikan pasukan anda terus ditempatkan di semua upacara misa," menurut nota dalaman yang dilihat oleh Mediacorp.


Menyuarakan rasa terkejut dan sedihnya terhadap insiden serangan tikaman itu, Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan bahawa keganasan sedemikian sama sekali tidak mempunyai tempat di Singapura.
Dalam catatannya di Facebook itu, PM Wong turut menyeru kepada orang ramai supaya kekal tenang dan bersatu padu, saling menyokong satu sama lain dalam semangat keharmonian dan daya tahan yang mentakrifkan kita sebagai rakyat Singapura.
PM Wong berharap mereka yang mengunjungi gereja itu akan pulih daripada apa yang disifatkan sebagai "peristiwa traumatik" itu.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong mengutuk serangan itu.
"Sangat terkejut apabila mendapat tahu bahawa seorang paderi ditikam di Gereja St Joseph kira-kira sejam yang lalu semasa upacara misa di gereja. Saya difahamkan bahawa pelaku telah diberkas. Pasukan paramedik sedang merawat paderi itu. Beliau sedang dihantar ke hospital dalam keadaan sedar. Saya mendoakan semoga beliau ok," kata Encik Tong dalam catatan Facebooknya pada pukul 8.00 malam.
"Keganasan sedemikian, dalam apa jua bentuk dan atas sebab apa sekalipun, sama sekali tidak mempunyai tempat di Singapura, apatah lagi di sebuah tempat ibadat. Pihak berkuasa yang relevan akan menyiasat kejadian ini dan menanganinya dengan sewajarnya," kata Encik Tong.
KETUA KATOLIK LUAHKAN "RASA SEDIH YANG MENDALAM"
Kardinal Goh, ketua Gereja Katolik di Singapura, menyuarakan rasa "terkejut dan sangat sedih atas keganasan yang telah dilakukan terhadap paderi Gereja St Joseph itu, terutama sekali ketika upacara misa.
Kardinal Goh berkata, beliau bimbang mengenai kesan psikologi terhadap kanak-kanak dan semua yang berada di tempat kejadian ketika serangan itu berlaku.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya kekal tenang dan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi.
Seorang individu yang menghadiri misa itu berkata dia berada berhampiran bahagian belakang dewan itu ketika kejadian tersebut berlaku.
Lelaki itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata pengumuman dibuat meminta mereka yang hadir untuk duduk dan bertenang, dan memaklumkan mereka bahawa ambulans telahpun dihubungi.
Mereka yang hadir di gereja berkenaan diberitahu supaya jangan memandu keluar dari gereja tersebut supaya mereka tidak menghalang laluan ambulans, katanya.
Mereka juga diminta untuk mendoakan kesejahteraan Paderi Christopher Lee, tambahnya.


Kemudian, dia bercakap dengan beberapa orang yang hadir yang duduk lebih dekat di bahagian hadapan. Mereka berkata ada berlaku kekecohan, dan paderi itu berundur tetapi ditikam dekat bahagian mulutnya.
Individu yang bercakap dengan wartawan Mediacorp berkata bahawa dia sedang berdoa di gereja berkenaan tetapi diminta oleh para pegawai polis untuk meninggalkan kawasan di luar dewan tersebut.
MESEJ SOKONGAN
Beberapa pertubuhan berasaskan agama turut mengeluarkan kenyataan berikutan serangan tikaman itu.
AMP Singapore, sebuah pertubuhan bukan meraih untung yang berkhidmat kepada masyarakat Muslim Singapura, menegaskan bahawa keganasan, dalam apa jua bentuk sekalipun, "tidak boleh diterima sama sekali".
Lembaga Penasihat Sikh berkongsi sentimen serupa, sambil menegaskan bahawa tempat ibadat adalah ruang yang suci. Ia juga menggesa orang ramai untuk kekal tenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu.
Pergerakan Kristian Love Singapore, turut mengutuk serangan berkenaan: "Kami menyokong saudara dan saudari kami di gereja Katolik, mengecam keganasan di mana-mana tempat ibadat."
Menyifatkan serangan itu sebagai "tidak masuk akal", "tidak provokasi" dan "sangat keji", Persekutuan Buddha Singapura menyatakan ia akan menyertai mereka daripada semua agama untuk menyampaikan ucapan agar Paderi Lee cepat sembuh.
Pertubuhan Antara Agama (IRO) pula menggesa orang ramai supaya menunjukkan sokongan kepada komuniti Katolik.
IRO menekankan, ini adalah masanya untuk menunjukkan belas kasihan antara agama dan perpaduan sosial, sepertimana yang selalu dilakukan penduduk Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.