Skip to main content

Singapura

Padang golf awam bakal diambil alih oleh pusat pembelajaran luar darjah MOE; 8 tapak digabung jadi 4

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (23 Feb) menyatakan bahawa ia akan menggabungkan lapan tapak pendidikan luar bilik darjah di empat lokasi.

Ia akan membenarkan sekolah untuk menjalankan kem kohort peringkat sekolah rendah atas dan peringkat sekolah menengah awal di lokasi tersebut.

Empat lokasi yang digabungkan itu termasuk Pusat Pembelajaran Luar Bilik Darjah (OALC) di Dairy Farm,yang terletak di Bukit Timah, serta dua pusat baharu yang akan dibina di Mandai dan Sembawang.

Lokasi bagi satu lagi pusat baharu sedang dikaji dan dibincangkan dengan agensi-agensi pemerintah lain dan butiran mengenainya akan dikongsi apabila ia diselesaikan, tambah MOE.

Pusat di Mandai itu akan dibangunkan di tapak yang kini menempatkan Padang Golf Eksekutif Mandai, di Kolam Air Upper Seletar, selepas tempoh sewanya tamat.

Pusat tersebut berpotensi untuk membenarkan para pelajar menyertai kegiatan air, bergantung kepada penilaian kesan alam sekitar, dan dapat menampung kem besar-besaran oleh kumpulan-kumpulan berseragam, menurut MOE.

Sementara itu, pusat di Sembawang akan dibangunkan di sebuah tapak berdekatan PAssion WaVe @ Sembawang.

Pusat tersebut akan menawarkan kegiatan sukan air seperti berkayak dan kanu cadik, serta membolehkan kumpulan berseragam untuk menyertai ekspedisi darat dan laut, tambah MOE.

Lokasi tepat dan pembangunan pusat Mandai dan Sembawang akan berpandukan penilaian kesan alam sekitar, yang dijangka akan bermula tahun hadapan.

Kumpulan alam semula jadi seperti Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) dan Suara Belia bagi Biokepelbagaian sudah dihubungi bagi fasa awal.

MOE juga menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan agensi air nasional PUB.

Maklum balas awam daripada pihak berkepentingan di daerah pusat baharu itu juga akan dipertimbangkan.

DIPULANGKAN KEPADA NEGARA

Pusat Pembelajaran Luar Bilik Darjah (OALC) MOE yang sedia ada di Changi Coast, Jalan Bahtera dan Labrador, yang berada di Pasir Panjang, serta kawasan perkhemahan dikendalikan oleh Persatuan Pengakap Singapura, Pandu Puteri Singapura, Belia Palang Merah dan Briged Lelaki dan Perempuan, akan dikembalikan kepada negara apabila pusat baharu itu mula beroperasi.

Ini adalah untuk "menyokong penggunaan tanah jangka panjang dan keperluan pembangunan Singapura", menurut kementerian itu.

Lapan tapak sedia ada pada masa ini memenuhi kira-kira 60 peratus keperluan perkhemahan sekolah.

Manakala baki 40 peratus dipenuhi oleh sekolah yang menjalankan perkhemahan di luar atau di dalam kawasan sekolah mereka, yang mungkin tidak dibina khusus bagi pembelajaran luar bilik darjah dan perkhemahan.

Mengenai penggabungan tapak-tapak tersebut, MOE menyatakan empat lokasi itu akan "meningkatkan kapasiti dan mutu pendidikan luar bilik darjah".

MOE meramalkan untuk memenuhi keperluan perkhemahan kira-kira 100,000 pelajar yang terlibat dalam kem kohort dan program kumpulan berseragam setiap tahun, mulai 2032.

Ia juga menarik perhatian bahawa pengalaman di pusat-pusat tersebut menyumbang kepada pembangunan holistik pelajar, yang membantu mereka membina "asas yang kukuh bagi kehidupan aktif dan sihat" serta meningkatkan keyakinan mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita