Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Pada saya ini syurga.": 2 gelandangan kongsi kisah sambut Ramadan & Syawal di Masjid Assyakirin

Masjid Assyakirin ternyata tidak 'kosong'. Pekarangannya dibuka kepada tujuh gelandangan untuk menyambut Ramadan dan Syawal - suatu nikmat besar terutama sekali bagi seseorang yang tiada tempat tinggal.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Runtuhnya mahligai rumah tangga sekitar 10 tahun lalu memaksa Encik Zainal (bukan nama sebenar) untuk menjual rumahnya.

Beliau membuka lembaran hidup baru di negara jiran dan membina rumah tangga dengan seorang warga di sana. Mereka dikurniakan seorang anak tidak lama selepas itu.

Demi menyara hidup isteri dan anak tersayang, Encik Zainal sanggup ulang-alik dari Indonesia ke Singapura untuk melakukan kerja-kerja sambilan seperti sebagai pemunggah kargo di pelabuhan.

Ini dilakukan meski perlu hidup sebagai seorang gelandangan di sini kerana tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap.

"Anak ada. Keluarga ada di Singapura. Tapi mereka tak izinkan saya dekati mereka kerana saya ada masalah hutang. Mereka takut diganggu tailong. Jadi saya faham, saya jauhkan diri," cerita Encik Zainal yang kini berusia 49 tahun.

DIROMPAK KETIKA TIDUR DI TEMPAT AWAM

Setelah penat seharian melakukan kerja-kerja sambilan, Encik Zainal biasanya berehat di tempat-tempat awam seperti di taman permainan. Jika hujan, beliau akan beralih ke tempat letak kereta.

Malangnya, musibah menimpa tiga tahun lalu.

Beliau dirompak ketika sedang berehat. Kad pengenalan, wang, pasport dan telefon bimbitnya lesap.

"Saya letak telefon bimbit, beg duit dan barang-barang dalam beg yang dijadikan bantal. Pagi saya bangun, beg saya dah hilang," rintih Encik Zainal.

Insiden itu sekaligus menjejas mata pencarian beliau.

"Apabila kad pengenalan saya hilang, saya sulit untuk cari kerja dan lakukan apa-apa perkara. Nak balik jumpa anak bini pun susah pasal pasport tidak ada."

Sudah tiga tahun lamanya Encik Zainal tidak bertemu muka dengan isteri dan anaknya yang kini berusia sembilan tahun. Menghubungi mereka juga ibarat suatu 'kemewahan' yang sering kali tidak dapat dinikmati.

"Memang saya tidak dapat menelefon mereka. Pakai syiling pun cepat habis," tambah Encik Zainal.

SEMBUNYI DALAM TANDAS WAKTU COVID-19

Sepanjang "tukar-tukar tempat" untuk berehat, Encik Zainal beberapa kali didekati polis.

"Saya cakap saya tak ada rumah. Mereka kenal saya," kata Encik Zainal.

Beliau mula mendapat bantuan Jangka-Pendek-hingga-Panjang ComCare pada Jun 2018. Di samping itu, Encik Zainal mendapat perhatian Pusat Keluarga Lakeside (Jurong East) yang mana seorang pekerja sosial ditugaskan untuk membantunya dalam perancangan jangka panjang bagi mendapatkan tempat tinggal.

Di tengah-tengah COVID-19 sekarang ini, keadaan bagaimanapun semakin sukar buatnya kerana orang ramai dinasihatkan supaya duduk rumah sahaja walhal beliau tidak mempunyai tempat tinggal.

Gambar hiasan. 

Gambar hiasan. 

"Musim virus lagi susah. Saya sembunyi dalam tandas."

Tanpa disangka-sangka, sinar harapan muncul menjelang Ramadan lalu.

SAMBUT RAMADAN, RAYA DALAM MASJID

Bulan lalu, pekerja sosial yang mengendalikan kes Encik Zainal membantunya mendapatkan tempat berteduh di Masjid Assyakirin.

Masjid terletak di Taman Jurong itu antara pertubuhan yang tampil untuk menyediakan tempat tidur buat golongan gelandangan setelah lebih ramai gelandangan dikatakan memerlukan kemudahan tersebut.

Masjid Assyakirin. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee, hampir 300 gelandangan seperti Encik Zainal meminta bantuan dari rangkaian sokongan kementeriannya dalam tempoh 'circuit breaker'.

Masjid Kassim turut tampil untuk menyertai rangkaian dipanggil Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Partners Engaging and Empowering Rough Sleepers Network) atau PEERS itu.

Diam tak diam, sudah lebih sebulan Encik Zainal berlindung di dalam Masjid Assyakirin.

Lebih manis lagi, Encik Zainal dan enam gelandangan lain dapat juga menyambut Ramadan dan Syawal dalam penuh kesyahduan - dari dalam masjid!

Gelandangan di Masjid Assyakirin terima lauk-pauk raya. 

"Saya bersyukur kepada Allah kerana izinkan saya duduk di masjid pada Ramadan dan pagi Syawal. Saya takkan melepaskan peluang untuk mendoakan semua," ujar Encik Zainal.

BERITAmediacorp difahamkan, gelandangan di Masjid Assyakirin juga dapat menikmati lauk-pauk pada malam Raya. Salah seorang gelandangan turut dibimbing memimpin solat pada pagi Raya.

"Mudah-mudahan buat pertama kalinya mereka dapat menyambut ketibaan Aidilfitri dalam bangunan masjid, dalam suasana yang sangat berbeza. Mereka tetap dapat rasakan keriangan menyambutnya dengan keluarga baru.

"Seperti mana yang mereka katakan kepada pihak masjid, setelah hampir sebulan lamanya mereka berkenalan antara satu sama lain, mereka ibarat satu keluarga," kata Pengerusi Masjid Assyakirin, Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rashid.

MASJID BERI BIMBINGAN AGAMA, CERIAKAN SAMBUTAN

Sepanjang tempoh tujuh gelandangan berkenaan berehat dalam pekarangannya, Masjid Assyakirin tidak sahaja menyediakan sokongan kewangan serta kemudahan untuk mereka berehat dan membersihkan diri.

"Kita turut mengadakan sesi pertemuan usrah di mana kita kumpulkan mereka dan kita mendapatkan asatizah untuk berkongsi sedikit berkaitan tazkirah dan juga pengisian bulan Ramadan," kongsi Ustaz Hafiz lagi.

Semestinya, semua ini sedikit sebanyak mengisi kekosongan hati gelandangan berkeaan yang hidup kesunyian.

"Saya ada 'abang-abang' di sini. Saya dapat buat amal ibadah sama-sama. Apa yang saya tak tahu, mereka tunjukkan," kata Encik Zainal.

Jadual seharian beliau bahkan lebih teratur.

"Alhamdulillah jam 4.00 pagi saya bangun, saya buat amal ibadah lepas itu saya bersenam. Kalau ada panggilan kerja, saya akan kerja," tambah Encik Zainal. Buat masa ini, beliau bersih-bersihkan dan buat dapur kubur secara sambilan.

Atas ihsan pihak Masjid Assyakirin menyediakan khidmat wifi, Encik Zainal juga akhirnya dapat menghubungi isteri dan anak menerusi panggilan video. Keluarga kecilnya itu kini di Semarang.

Tempat tidur gelandangan di Masjid Assyakirin. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Tempat rehat khusus bagi gelandangan di Masjid Assyakirin. 

"Saya bersyukur apabila doa saya Allah kabulkan dan tempatkan saya di Masjid 'syurga' Assyakirin. Pada saya ini syurga."

LELAKI 65 TAHUN JADI GELANDANGAN GARA-GARA COVID-19

Seorang lagi gelandangan yang sedang berteduh dalam Masjid Assyakirin ialah Encik Ahmad (bukan nama sebenar), seorang rakyat tempatan berusia 65 tahun.

Sepanjang lebih 30 tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri yang berasal dari Indonesia, mereka tidak pernah menyambut Lebaran berjauhan.

Pada sekitar Mac lalu, Encik Ahmad dengan berat hati membuat keputusan untuk terus berada di Singapura dan meninggalkan isteri dan tiga anaknya yang sudah dewasa di Batam supaya dapat terus bekerja sambilan sebagai seorang juru ikat kapal.

"Saya bilang isteri saya 'Singapore' tidak boleh masuk Indonesia, Indonesia tak boleh masuk 'Singapore'. Dia faham. Masa saya dapat panggilan, dia dengar. Dia ingat saya main-main," cerita Encik Ahmad.

"Saya bilang isteri saya supaya sabar."

NASIB JADI GELANDANGAN "RAHSIA SAYA"

Keputusan mendadak yang diambil Encik Ahmad bagaimanapun membuatnya terpaksa hidup merempat.

Majikan tidak menyediakan tempat tinggal untuknya kerana beliau bukan pekerja sepenuh masa. Encik Ahmad sendiri pula enggan menumpang di rumah saudara yang ada di Singapura.

"Untuk satu hari, boleh lah. Kalau lama-lama saya tak mahu. Nanti salah faham kan. Saya tak mahu, saya pergi lain tempat. Saya jaga diri saya sendiri," jelasnya.

Akibatnya, Encik Ahmad perlu tidur di pusat penjaja atau sambung-menyambung menaiki bas yang melakukan perjalanan jauh. Empat helai baju, dua pasang seluar dan barang-barang keperluan pula dibawanya ke mana-mana beliau pergi.

"Saya tidak beritahu anak-anak. Pasal apa, nanti mereka sedih. Saya kata saya tumpang rumah kakak, itu sahaja. Ini rahsia saya, saya tak mahu beritahu bini," tambah Encik Ahmad.

MASJID BANTU RINGANKAN BEBAN

Selepas beberapa hari hidup sebagai gelandangan, Encik Ahmad dibantu rakannya untuk mendapatkan pertolongan.

Beliau sekarang dapat tidur dengan selesa. Pakaiannya juga dapat dicuci dalam kemudahan masjid.

"Kalau di pusat penjaja saya tidur atas bangku. Saya akan jatuh. Saya bentang tikar atas lantai. Jadi kalau jatuh, jatuh atas tikar," kata Encik Ahmad.

Yang pasti, beliau bersyukur dapat berteduh dalam masjid.

"Saya gembira, tak pernah balik Raya di Singapura kan. Tahun ini saya balik, Hari Raya dalam Masjid."

Pasukan Khidmat Keluarga Fei Yue kini sedang membantu Encik Ahmad untuk mendapatkan tempat tinggal jangka panjang. Menurut pekerja sosial, Encik Ahmad ingin membuat permohonan bagi flat sewa bersama rakannya di bawah Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan