Skip to main content

Singapura

PA lancar AI@Your Neighbourhood perkasa warga emas, suri rumah kurang mahir, celik teknologi

Anggaran Waktu Membaca:
PA lancar AI@Your Neighbourhood perkasa warga emas, suri rumah kurang mahir, celik teknologi

Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat (PA), Edwin Tong, mengumumkan pelancaran inisiatif AI @ Your Neighbourhood. (Gambar: Persatuan Rakyat)

Diterbitkan : 10 Oct 2026 07:21PM
PA launches AI@Your Neighbourhood to empower seniors and homemakers who are less familiar with technology to become tech-literate
  • The People's Association will introduce AI @ Your Neighbourhood from November 2026 at community clubs across Singapore to help residents, including seniors and homemakers, understand AI.
  • PA has prepared 25 courses with training providers and partners such as AI Singapore, Micron Technology and NTUC LearningHub, with fees of S$7 after a one-year discount.
  • Edwin Tong said AI will be used to reduce manual and administrative work, including procurement, vendor selection and payments, so that volunteers can focus more on residents.
  • PA is also planning an AI Voice Assistant on onePA in early 2027 and the PA Community Robot in the first quarter of 2027 to make searches, bookings and assistance easier.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Para penduduk yang tidak biasa menggunakan kecerdasan buatan (AI) boleh mempelajari cara-cara memanfaatkannya dalam kehidupan seharian menerusi kursus singkat, mudah difahami dan berpatutan di kelab masyarakat mulai November.

Berbeza daripada kebanyakan kursus AI yang ditawarkan secara komersial dan ditujukan kepada golongan karyawan, kursus tersebut disasarkan kepada penduduk yang belum biasa menggunakan AI, termasuk warga emas dan suri rumah, menurut Persatuan Rakyat (PA) dalam kenyataan media pada Sabtu (10 Okt).

Dinamakan AI @ Your Neighbourhood, kursus itu bertujuan membantu penduduk memahami AI, membina keyakinan menggunakan alat AI dalam kehidupan seharian serta menggunakannya dengan selamat dan bertanggungjawab.

Setakat ini, PA sudah menyediakan 25 kursus bersama penyedia latihan yang bekerjasama dengannya.

Lebih banyak kursus akan diperkenalkan secara berperingkat sejajar dengan perkembangan AI serta perubahan keperluan dan minat penduduk.

Kursus tersebut merangkumi kemahiran digital harian, peningkatan fotografi dan gambar serta cara menggunakan AI untuk memudahkan urusan perjalanan.

Ia akan diperkenalkan secara berperingkat di kelab masyarakat PA di seluruh Singapura mulai November 2026.

Setiap kursus ditawarkan pada harga S$10, namun PA akan memberikan diskaun 30 peratus dari November 2026 hingga Oktober 2027, menjadikan yurannya S$7 bagi setiap sesi.

"Menerusi program ini, PA menyasarkan untuk mendekati 10,000 penduduk dan menjadikan pembelajaran AI lebih mudah diakses oleh masyarakat," menurut persatuan itu.

PA turut bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi, termasuk AI Singapore, Micron Technology dan NTUC LearningHub, untuk membawa bengkel AI kepada penduduk.

Berucap di Seminar Masyarakat PA di Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu, Timbalan Pengerusi PA Edwin Tong berkata AI sudah mengubah cara penduduk menerima maklumat, meneroka peluang dan berhubung antara satu sama lain.

Encik Tong, yang juga Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, menggalakkan pemimpin akar umbi, sukarelawan masyarakat dan rakan kongsi memanfaatkan AI untuk terus mendekati penduduk, memahami keperluan mereka dengan lebih baik serta memperkukuh hubungan sesama manusia.

"Matlamat kami adalah untuk menggunakan AI bagi mengurangkan tugas manual dan pentadbiran supaya kakitangan serta sukarelawan kami dapat menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting, iaitu memupuk hubungan sesama manusia, empati dan keprihatinan terhadap penduduk," katanya.

AI UNTUK MUDAHKAN URUSAN PENTADBIRAN

PA juga menggunakan teknologi dan AI untuk memudahkan proses pentadbiran, termasuk pemilihan pembekal, urusan perolehan akar umbi dan sistem pembayaran.

"Sebagai contoh, sukarelawan boleh menerangkan keperluan mereka bagi sesuatu acara masyarakat dan alat AI akan menyarankan pilihan yang sesuai.

"Invois juga boleh dibaca secara automatik oleh sistem pembayaran, dan maklumat yang diperlukan akan diisi," menurut PA.

Langkah itu membolehkan pemimpin akar umbi, sukarelawan dan kakitangan meluangkan lebih banyak masa untuk mendampingi penduduk.

PERMUDAH AKSES KEPADA KHIDMAT

Antara inisiatif lain yang diumumkan semasa Seminar Masyarakat itu ialah Pembantu Suara AI di portal onePA, yang membolehkan penduduk menyatakan perkara yang dicari menggunakan kata-kata mereka sendiri.

OnePA ialah portal online yang membolehkan penduduk mencari, mendaftar dan membuat bayaran bagi pelbagai program.

Pembantu Suara AI dijangka dilancarkan menjelang awal 2027 dan akan menyarankan program serta kemudahan yang sesuai berdasarkan minat penduduk dan ketersediaan semasa.

Ia kemudian akan membimbing pengguna daripada proses mencari program hingga membuat tempahan dan pembayaran.

Pembantu tersebut akan menyokong empat bahasa, iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.

PA juga akan merintis penggunaan Robot Masyarakat PA, yang membolehkan penduduk mencari program sesuai, mendapatkan panduan arah di kelab masyarakat serta menghubungi kakitangan melalui suara atau sentuhan skrin apabila memerlukan bantuan lanjut.

Projek perintis itu dijangka bermula pada suku pertama 2027.

Seorang pesara berusia 82 tahun, Cik Peggy Ong, yang menghadiri kursus berkaitan perjalanan di bawah inisiatif AI @ Your Neighbourhood, berkata beliau memutuskan untuk menyertainya kerana tempohnya singkat dan mudah dihadiri.

"Apabila saya mendengar tentang kursus ini, saya memutuskan untuk menyertainya kerana kursus itu agak singkat dan sangat mudah untuk saya hadiri," katanya.

"Jurulatih menerangkan AI dengan cara yang mudah, menjadikannya mudah difahami. Saya dan rakan-rakan yang menghadiri kursus itu bersama saya mendapati ia agak berguna," tambah beliau.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita