OurPasar Essentials didenda; tidak simpan makanan laut, daging mentah dengan betul
Peruncit online OurPasar Essentials didenda pada Rabu (8 Sep) kerana menyimpan daging dan makanan laut dalam bilik sejuk tanpa lesen dan menyimpan daging mentah untuk dijual tanpa pendingin makanan.

(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Peruncit online OurPasar Essentials didenda pada Rabu (8 Sep) kerana menyimpan daging dan makanan laut dalam bilik sejuk tanpa lesen dan menyimpan daging mentah untuk dijual tanpa pendingin makanan.
OurPasar Essentials didenda S$11,000. Pengarah Urusannya Muhammad Shafizan Saikh Abdul Kader didenda S$9,000 kerana gagal mencegah kesalahan itu.
Dalam kenyataan medianya, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan bahawa para pegawainya pada 9 Februari mendapati bahawa para pekerja peruncit itu menguruskan bungkusan daging mentah dan makanan laut yang diletakkan di atas meja tanpa sebarang bentuk penyejukan.
Produk-produk tersebut termasuk kepak ayam mentah yang dibiarkan terdedah begitu saja.
"Siasatan lanjut mendapati syarikat itu menyimpan daging dan makanan laut di bilik sejuk yang tidak berlesen," menurut SFA.
"Meskipun perusahaan itu sedang dalam proses mendapatkan lesen, ia belum lagi diluluskan."
Kira-kira 312kg daging dan makanan laut yang disimpan tanpa lesen disita, menurut SFA, sambil menambah bahawa 125kg daging lembu dan daging ayam mentah yang tidak disejukkan dihapuskan dengan segera bagi mengelakkan risiko keselamatan makanan yang disebabkan oleh cara menyimpan yang tidak betul.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah yang menyimpan produk daging dan makanan laut di premis yang tidak berlesen boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sesiapa yang didapati memiliki produk daging atau makanan laut yang disimpan dalam bilik sejuk yang tidak berlesen dengan tujuan untuk menjualnya atau membekalkannya kepada orang lain boleh didenda sehingga S$50,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya. Pesalah berulang akan dikenakan hukuman yang lebih berat.
SFA menekankan bahawa perbuatan menyimpan daging mentah untuk dijual tanpa pendingin boleh menimbulkan risiko keselamatan makanan. Sekiranya disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$2,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.