Otot lemah, lemak 'visceral' tingkatkan risiko kencing manis dalam kalangan wanita pertengahan usia
Satu kajian baharu mendapati bahawa otot-otot yang lemah dan kadar lemak di bahagian perut atau 'visceral fat', boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis dalam kalangan wanita berusia antara 45 hingga 69 tahun iaitu peringkat umur mereka lazimnya putus haid.
Profesor Yong Eu Leong, Ketua Program Kesihatan Wanita Bersepadu (IWHP) merangkap Ketua dan Konsultan Emeritus di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi NUH, bersama peserta IWHP, Sabarina Jumarudin. (Gambar: NUHS)
Kajian tersebut dijalankan oleh Program Kesihatan Wanita Bersepadu (IWHP) NUH dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS.
Menurut para penyelidik juga, indeks jisim badan (BMI) tidak menggambarkan keadaan sebenar kesihatan seseorang kerana kurus dan ramping tidak semestinya bermakna seseorang itu sihat.
Sebaliknya, mereka mendapati bahawa pemeriksaan fizikal dan ujian darah yang mudah boleh bantu mengenal pasti mereka yang ada risiko tinggi hidapi penyakit kronik.
Dalam kajian itu, para penyelidik telah memantau sekitar 1,200 wanita sihat berusia 45 hingga 69 tahun berbangsa Cina, Melayu dan India - tiga kaum utama di Singapura, selama lebih 10 tahun.
Berdasarkan dapatan awal kajian mereka, risiko kaum wanita yang memiliki otot-otot lemah dan kadar lemak 'visceral' yang tinggi, menghidap penyakit kencing manis Jenis 2, adalah lebih 2.5 kali lebih tinggi berbanding mereka yang memiliki kekuatan otot yang normal dan kadar lemak yang rendah.
Malah kadar lemak 'visceral' yang tinggi sahaja boleh meningkatkan risiko kepada lebih 1.6 kali.
MANFAAT BERSENAM UNTUK CEGAH KENCING MANIS
Lantaran itu kajian itu mendapati ia amat penting untuk bukan sahaja menurunkan berat badan tetapi juga melakukan senaman-senaman bagi menguatkan otot-otot bagi mencegah penyakit kencing manis.
"Otot-otot amat penting kerana ia mengeluarkan endorfin yang sekali gus membuat 'mood' anda lebih baik. Malah, kemurungan adalah satu lagi isu dalam masyarakat kita. Ini selain daripada penyakit kencing manis.
"Dengan memiliki otot-otot yang kuat, anda menangani kedua-duanya secara serentak kerana dengan bersenam, anda bukan sahaja menguatkan otot-otot tetapi juga mengeluarkan endorfin. Lantas, ia mengurangkan keresahan yang anda alami dan meningkatkan mood anda," jelas Ketua dan seorang konsultan emeritus di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi NUH, Profesor Yong Eu Leong.
Selain melakukan senaman kerusi bagi membantu menguatkan otot-otot, ujian darah juga digalakkan.
" 'Creatinine phosphate' ialah sesuatu yang menyediakan tenaga kepada otot-otot. Jadi ia adalah molekul yang amat baik dan boleh menandakan sama ada otot-otot anda berfungsi dengan baik. Lantaran ini, kami mengukur nisbah 'creatinine cystatin ' sebagai fungsi otot dan jisim, kemudian kami mengaitkannya dengan risiko kencing manis," ujar Profesor Yong lagi.
Antara 1,200 peserta yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut ialah Cik Sabarina Jumarudin, 59 tahun.
Menurutnya, beliau terdorong untuk mengambil bahagian kerana ingin mengetahui secara lebih mendalam mengenai tahap kesihatannya, memandangkan peringkat usianya.
Ini lebih-lebih lagi kerana berat badannya pernah mencecah lebih 90 kilogram dan menghidap masalah apnea tidur.
Cik Sabarina juga menjalani pembedahan bariatrik dan dapat menurunkan berat badannya lebih 30 kilogram.
Kini beliau lebih menyedari pentingnya menjalani gaya hidup sihat dan akan berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari dan melakukan senaman pernafasan untuk menguatkan anggota tubuhnya.
"Kajian ini membuka mata saya tentang pentingnya pencegahan untuk penjagaan kesihatan diri. Saya belajar bahawa perubahan kecil yang konsisten lebih memberi kesan besar terhadap kesihatan. Saya juga sedar betapa pentingnya membuat pemeriksaan kesihatan dan mendengar isyarat tubuh diri sendiri," kata Cik Sabarina.
Dr Yong juga menggalakkan wanita pada peringkat usia itu untuk mula melakukan senaman latihan kekuatan dalam rutin mereka untuk mencegah kencing manis dan menambah baik 'mood' mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.