Skip to main content

Singapura

Orchard Towers tingkatkan keselamatan dengan harapan pusat hiburan dapat terus beroperasi

Empat lelaki yang mengenakan jaket kuning neon dengan tertera perkataan 'security' meronda kawasan dan setiap penjuru Orchard Towers setiap malam, dari pukul 10.00 malam hingga 5.00 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Orchard Towers tingkatkan keselamatan dengan harapan pusat hiburan dapat terus beroperasi

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 29 Jan 2023 09:56PM Dikemas Kini : 29 Jan 2023 09:59PM

SINGAPURA: Empat lelaki yang mengenakan jaket kuning neon dengan tertera perkataan 'security' meronda kawasan dan setiap penjuru Orchard Towers setiap malam, dari pukul 10.00 malam hingga 5.00 pagi.

Mereka merupakan pengawal keselamatan yang digajikan oleh persatuan yang mengendalikan perniagaan-perniagaan di Orchard Towers bagi menguruskan keselamatan di tempat-tempat awam dan menghalang perbuatan mencari pelanggan di tempat awam, supaya pihak berkuasa akan mempertimbangkan semula keputusan mereka menyekat lesen pengendali bangunan itu.

Namun dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pihaknya tetap dengan keputusan yang sudah ditetapkan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (27 Jan), Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan lesen kedai hiburan awam sedia ada di Orchard Towers tidak akan diperbaharui selepas 31 Mei.

Ini menjejas 12 unit komersil yang memegang lesen Hiburan Awam Kategori 1, yang membolehkan mereka menawarkan aktiviti menari, menyanyi dan persembahan dalam premis mereka.

Para pengendali unit-unit itu diberitahu pada Julai tahun lalu bahawa lesen mereka tidak akan diperbaharui selepas 31 Mei 2023, iaitu langkah yang menurut polis adalah sebahagian daripada "usaha berterusan untuk mengawal undang-undang dan ketenteraman serta keadaan tidak diingini."

Polis menyatakan pada Jumaat bahawa pihaknya sudah mendampingi pengendali hiburan awam di premis itu sepanjang beberapa tahun lalu, sebagai respons kepada maklum balas yang diterima daripada penduduk yang tinggal berhampiran dan pembangunan berhampiran mengenai "keselamatan awam, kegiatan maksiat dan gangguan".


"Para pengendali perniagaan atau pemilik hartanah diberi tempoh dari Julai 2022 hingga Mei 2023 untuk membuat penyesuaian.

"Semasa tempoh ini, mereka boleh memohon kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi pertukaran penggunaan premis mereka di Orchard Towers atau memohon bagi satu lagi lesen hiburan awam untuk memindahkan operasi mereka," menurut SPF.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita