Orchard Road kembali bergemerlapan dengan hiasan lampu Krismas; sajikan aktiviti menarik jelang Krismas
SINGAPURA: Suasana meriah di kawasan Orchard Road yang kembali bergemerlapan dengan lampu-lampu hiasan Krismas dinyalakan pada Khamis (16 Nov).
Meskipun berlangsung pada malam hari bekerja, masih ramai pengunjung yang mahu menjadi antara yang terawal untuk menyaksikan keindahan hiasan lampu Krismas yang dirasmikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Bertemakan 'A Child's Dreamscape' hiasan lampu sepanjang 3.1 km itu boleh dinikmati para pengunjung hingga 1 Januari 2024.
Awal tadi, beberapa pengunjung yang ditemui BERITA Mediacorp berkongsi bahawa mereka teruja menyaksikan penyalaan hiasan lampu Krismas tahun ini.
“Saya keluar MRT, saya nampak lampu-lampu macam sungguh riang dan dekat dengan Krismas. Jadi banyak lampu yang saya boleh nampak dan lampu-lampu itu sangat cantik,” kongsi Khairul Anwar, 18 tahun.
Selain rakyat Singapura, ada juga pengunjung dari seberang tambak yang sanggup datang ke Orchard Road hari ini untuk menyaksikan penyalaan hiasan lampu Krismas.
“Pemandu Grab saya memberi saranan saya datang ke Orchard Road kerana dia kata sangat “happening” setiap tahun dan malam pertama ini ada penyalaan lampu ini,” kongsi seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Izyan Farhana, 31 tahun.
“Terus terang, rasa macam teruja untuk lihat kawasan ini sangat riang dengan muzik dan sangat berwarna-warni. Saya rasa sungguh teruja,” tambahnya.
Selain itu, mereka yang hadir juga boleh menikmati pelbagai persembahan menarik yang berlangsung pada 8.30 malam.
“Hari ini saya sanggup datang (walaupun bersekolah) sebab kawan saya dalam pasukan Brazillian Percussion itu. Saya datang sokong mereka,” kongsi Annur Adly, 17 tahun.
HIASAN LAMPU LEBIH MESRA ALAM
Ini kerana lampu dan hiasan dari penyalaan lampu pada tahun-tahun sebelum ini misalnya digunakan semula.
Ia termasuk sekitar 800,000 lampu LED dari hiasan tahun-tahun lalu, serta kotak lampu dan struktur asas besi.
Malah, ada juga lampu dan hiasan yang akan dinyalakan menggunakan tenaga suria buat pertama kali.
Selain itu, pelbagai sajian aktiviti menanti para pengunjung pada minggu-minggu menjelang Krismas.
Antaranya tiga Kampung Krismas yang menawarkan permainan Karnival serta gerai-gerai 'pop-up' makanan dan kraf tangan.
Buat julung-julung kalinya, satu pesta jalanan akan diadakan pada malam Krismas nanti di Orchard Road.
Untuk pesta itu, jalan raya akan ditutup untuk beri laluan bagi pesta itu dari 8.00 malam hingga 12.30 tengah malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.