Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orchard Road bakal berkelipan dengan penyalaan lampu Krismas

Acara tahunan penyalaan lampu Krismas di Orchard Road akan kembali diadakan pada 13 November.

Anggaran Waktu Membaca:
Orchard Road bakal berkelipan dengan penyalaan lampu Krismas

Lampu-lampu di Orchard Road. (Gambar: Orchard Road Business Association)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 02:31PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 02:34PM

SINGAPURA: Acara tahunan penyalaan lampu Krismas di Orchard Road akan kembali diadakan pada 13 November dengan elemen-elemen fizikal serta maya, sedang perniagaan-perniagaan di sana berharap "keadaan kembali normal".

Selama tujuh minggu sehingga 2 Januari, Orchard Road akan dihiasi gerbang-gerbang bergemerlapan dengan rekaan bunga, selain menampilkan barisan "daya tarikan menakjubkan", menurut Persatuan Perniagaan Orchard Road (ORBA) hari ini (19 Okt).

Buat pertama kalinya, tembok bahagian tepi Mandarin Orchard Singapore akan diubah menjadi "tembok keajaiban".

Dari 1 November hingga 2 Januari, pertunjukan 3 dimensi (3D) akan diadakan setiap malam antara pukul 8.00 malam dengan 10.30 malam.

Para pengunjung boleh memuat turun aplikasi mudah alih yang dipanggil PopAR untuk mempertingkatkan pengalaman mereka menyaksikan Realiti Tambahan (Augmented Reality) dengan lebih menyeluruh.

Selain itu, tembok digital tersebut akan menayangkan segmen khas kiraan detik pada malam Krismas dan Tahun Baru, termasuk pertunjukan bunga api dalam bentuk Realiti Tambahan pada tengah malam.

Antara inisiatif lain, ORBA menyatakan rakan platform e-niaga Lazada Singapore akan mewujudkan satu laman khas kempen Orchard Road.

Ia akan menawarkan jualan sempena Hari Krismas seperti Cyber Monday dan akan menampilkan barangan digital dari pelbagai jenama di sepanjang Orchard Road dan promosi-promosi eksklusif bagi para pemegang kad Mastercard.

Acara penyalaan lampu tahun ini juga mengekalkan beberapa elemen maya yang dimulakan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Misalnya, orang ramai boleh memilih lawatan maya menerusi satu laman yang menjanjikan pemandangan 360 darjah bagi laluan sepanjang 3.1 kilometer dari Tanglin Mall hingga ke Plaza Singapura mulai 19 November.

ORBA dalam kenyataan medianya menyatakan lawatan maya tahun ini akan menawarkan "video lebih bermutu dan lebih menyeluruh dengan ciri realiti tambahan yang membolehkan interaksi dan audio dipertingkat tahun ini".

Para penonton juga boleh menyaksikan persembahan-persembahan oleh para penghibur dan pemuzik jalanan di 10 lokasi dalam lawatan maya tersebut.

Penyalaan lampu ke-38 di Orchard Road tahun ini bertemakan "Christmas in Bloom".

Contohnya, gerbang utama di persimpangan Scotts-Paterson Road akan bermandi cahaya warna-warni di samping bunga-bunga kastuba atau 'poinsettia' merah dan emas, iaitu lambang Hari Krismas yang membawa maksud kesucian dan keceriaan.

Sepanjang laluan di persimpangan Cairnhill ke The Atrium@Orchard pula akan dihiasi bunga-bunga mawar putih berlatarbelakangkan gerbang-gerbang keemasan.

Acara penyalaan lampu yang dianjurkan oleh ORBA dan Dana Masyarakat, pada 13 November akan dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob.

Sama seperti tahun lalu, ia akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Dana Masyarakat mulai pukul 7.00 malam hingga 8.00 malam.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan