Orange Ballroom sahkan MOH minta senarai tetamu majlis bagi pengesanan kontak
Orange Ballroom mengesahkan pihaknya diminta Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memberikan senarai tetamu majlis persandingan yang berlangsung di dewan itu.
(Gambar fail: BERITAmediacorp)
BERITAmediacorp: Orange Ballroom mengesahkan pihaknya diminta Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memberikan senarai tetamu majlis persandingan yang berlangsung di dewan itu.
Ini setelah tersebar luas sejak semalam (25 Mac), mesej media sosial mengenai dua kes yang disahkan dijangkiti COVID-19 dan mereka dikatakan menghadiri majlis di Orange Ballroom itu.
Senarai tetamu yang diminta MOH itu adalah bagi majlis yang berlangsung pada Sabtu (21 Mac), dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.
Perunding cara Orange, Encik Osman Ariffin, memberitahu BERITAmediacorp pihaknya diminta memberikan senarai tersebut pada Rabu (25 Mac) dan pihak penyedia khidmat itu sudahpun memberikan kerjasama.
Dalam majlis yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang pada Sabtu (21 Mac) itu, Orange Ballroom menganggarkan sekitar 300 tetamu hadir. Jumlah itu dipastikan dengan melakukan pengiraan borang kertas dan online yang diisi para tetamu majlis berkenaan.
BELUM ADA ARAHAN LANJUT DARI MOH
Berikutan kejadian itu, Orange Ballroom belum menerima sebarang arahan lanjut dari MOH. Kementerian itu sebaliknya menyatakan mereka tidak perlu mengambil sebarang langkah tambahan dan hanya perlu menunggu perkembangan terkini.
"Kita bekerjasama rapat dengan MOH. Bukan sahaja atas urusan pengesanan kontak ini sahaja. Sejak bulan lalu, kami mengikuti saranan-saranan digariskan oleh MOH," kata Encik Osman.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan bahawa Orange tidak tahu sama sekali siapa tetamu majlis yang disahkan dijangkiti COVID-19. Bagaimanapun dalam kiriman mesej yang tersebar menerusi WhatsApp, tertulis bahawa Kes 510 dan 511 menghadiri majlis di Orange Ballroom pada 21-22 Mac.
"Kami tidak tahu. Kami tidak mendapat sebarang maklumat rasmi dari MOH tentang siapa yang dijangkiti. Yang pasti, MOH sekadar meminta senarai tetamu untuk majlis pada Sabtu (21 Mac)," jelas Encik Osman lagi.
BERITAmediacorp sudah cuba menghubungi MOH pada Khamis (26 Mac) bagi mendapatkan ulasan mengenai perkembangan ini, namun belum lagi mendapat jawapan pihak kementerian itu.
MAJLIS YANG PERTAMA JALANKAN KAWALAN LEBIH KETAT
Secara kebetulan, majlis yang berlangsung pada sebelah petang Sabtu itu (21 Mac), merupakan majlis pertama di Orange Ballroom yang mana langkah-langkah pencegahan lebih ketat COVID-19 dilaksanakan.
Pada Jumaat (20 Mac), MOH mengumumkan semua acara dihadiri lebih 250 harus harus digantung secara serta-merta. Maka itu, Orange Ballroom bekerjasama dengan para mempelai pada hujung minggu lalu untuk mengawal jumlah tetamu yang masuk dewan.
Jumlah kerusi meja dikurangkan sebanyak 40 peratus. Setiap meja pula hanya mempunyai 6 tempat duduk. Ini bermakna, kurang 140 tetamu dibenarkan dalam dewan pada satu-satu masa.
Langkah tersebut diambil sebagai tambahan kepada mewajibkan para tetamu mengisi borang untuk mempermudah pengesanan kontak dan mengambil suhu badan mereka. Kerja-kerja pembersihan menyeluruh juga kerap dijalankan.
SEMUA MAJLIS DARI MINGGU INI HINGGA SEBELUM RAMADAN DITUNDA
Dalam pada itu, Orange mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa ia akan menundakan semua majlis yang seharusnya berlangsung antara minggu ini hingga sebelum Ramadan.
Ini dilakukan menyusuli pengumuman Pasukan Kerja Berbilang Kementerian yang menetapkan bahawa sehingga 30 April ini semua perhimpunan, termasuk majlis perkahwinan, tidak boleh dihadiri lebih daripada lebih 10 orang.
"Alhamdulillah, sejak pengumuman itu, kami sudah berjumpa dengan 95 peratus daripada bakal mempelai. Mereka setuju untuk menundakannya kerana ini arahan terbaru. Alhamdulillah, semuanya dibincangkan dengan minda terbuka," ujar Encik Osman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.