Orange Ballroom, Osman Arrifin berniat mengaku bersalah kerana langgar SMM COVID-19
Syarikat khidmat perkahwinan, Orange Ballroom dan penganjur acara perkahwinan Osman Arrifin didakwa di mahkamah hari ini.
Osman Arrifin di Mahkamah Negara 10 Nov 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Syarikat khidmat perkahwinan, Orange Ballroom dan penganjur acara perkahwinan Osman Arrifin, berniat membuat pengakuan bersalah berhubung dakwaan-dakwaan melanggar sebilangan peraturan keselamatan berkaitan COVID-19, yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Negara hari ini (10 Nov).
Hasrat tersebut disampaikan sendiri oleh Osman kepada mahkamah. Apabila ditanya sama ada Orange Ballroom dan beliau akan mendapatkan khidmat guaman, Osman berkata mereka tidak akan mendapatkan peguam "disebabkan status kewangan syarikat”.
Ini adalah pendakwaan pertama seumpamanya bagi kesalahan seperti itu.
Syah Ibrahim juga kelihatan hadir dalam sesi mahkamah hari ini.
Orange Ballroom yang dimiliki personaliti Syah Ibrahim didakwa gagal mematuhi peraturan-peraturan Langkah Pengurusan Selamat (SMM) bagi Upacara Pernikahan dan Majlis Jamuan untuk majlis yang diadakan antara pukul 10.30 pagi dengan 6.00 petang pada 30 Januari 2021.
Menurut dokumen mahkamah, Orange Ballroom dikatakan membenarkan 235 tetamu menghadiri sebuah majlis perkahwinan, yang diadakan dalam tiga majlis jamuan, sedangkan bilangan maksimum yang dibolehkan bagi seluruh acara tersebut seharusnya tidak melebihi 100 orang.
Orange Ballroom juga dituduh membenarkan 62, 73 dan 60 orang tetamu datang ke setiap satu daripada tiga sesi majlis yang berlangsung pada hari itu, melebihi had 50 orang untuk setiap majlis.
Ia juga dituduh membenarkan 18 tetamu menghadiri lebih daripada satu majlis jamuan pada hari tersebut.
Osman Arrifin pula, yang merupakan penganjur acara bagi majlis perkahwinan tersebut pada hari berkenaan, dikenakan dua pertuduhan melanggar Peraturan 2020 (Langkah Sementara) COVID-19.
Pertuduhan pertama bagi kegagalannya memastikan para tetamu majlis tersebut hadir ke sesi yang ditetapkan. Osman dipercayai membenarkan 18 tetamu menghadiri lebih daripada satu sesi majlis tersebut.
Di bawah pertuduhan kedua, Osman didakwa gagal memastikan perhimpunan para tetamu bagi majlis perkahwinan tersebut tidak melebihi had yang dibenarkan, iaitu 100 orang. Di majlis pada 30 Januari itu, seramai 235 tetamu hadir.
Kedua-dua, Osman dan Orange Ballroom akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 20 Disember ini untuk sesi mahkamah selanjutnya.
Menjelaskan sebab mengapa mereka tidak akan mendapatkan khidmat peguam, Osman berkata: "Seperti yang anda tahu, tahun lalu, disebabkan pandemik, kami tidak dibenarkan beroperasi dan kami mempunyai tunggakan sewa lima bulan dengan SLA (Penguasa Darat Singapura) yang keseluruhannya berjumlah S$300,000 dan sekarang kami sedang memohon bagi pembayaran ansuran."
Dia menambah, syarikat itu sudah mengembalikan lebih S$200,000 kepada pasangan yang terjejas semasa majlis perkahwinan tidak dapat dianjurkan tahun lalu dan Orange Ballroom mengalami kerugian ribuan dolar apabila terpaksa memindahkan sembilan klien yang terjejas ke lokasi-lokasi lain semasa operasinya digantung dua minggu oleh SLA.
SLA sebelum ini menyatakan dalam satu kenyataan bahawa Pemerintah memandang serius perbuatan melanggar peraturan keselamatan sedemikian.
Mereka yang gagal mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$10,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau selanjutnya, pesalah boleh didenda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.