Orange Ballroom diarah tutup 20 hari; langgar langkah pengurusan selamat COVID-19
Orange Ballroom, yang pernah menjadi kelompok jangkitan COVID-19, diarahkan ditutup selama 20 hari kerana melanggar langkah pengurusan selamat awal tahun ini.
SINGAPURA: Orange Ballroom, yang pernah menjadi kelompok jangkitan COVID-19, diarahkan ditutup selama 20 hari kerana melanggar langkah pengurusan selamat awal tahun ini.
Terletak di tingkat tiga Tanjong Katong Complex di Geylang, Orange Ballroom, telah membenarkan sepasang pengantin menganjurkan tiga majlis dengan seramai 275 tetamu pada 30 Januari lalu.
Di bawah Peraturan 2020 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) COVID-19, pasangan pengantin hanya dibenarkan menerima tidak lebih daripada 100 tetamu, termasuk diri mereka sendiri.
Atas kesalahan tersebut, tempat itu diarahkan ditutup mulai hari ini (22 Mac) hingga 10 April.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Penguasa Tanah Singapura (SLA) menyatakan duta jarak selamatnya mendapat tahu bahawa pasangan pengantin berkenaan mengadakan dua majlis pada pukul 1.30 tengah hari dan pukul 4.30 petang semasa mereka menjalankan pemeriksaan di The Orange Ballroom pada 30 Januari.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa aturan itu dibuat untuk menjemput sekitar 300 orang bagi tiga tiga majlis berasingan pada hari yang sama.
Siasatan masih dijalankan terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran Peraturan 2020 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) COVID-19.
"Agensi-agensi memandang serius sebarang pelanggaran langkah pengurusan selamat oleh penganjur perkahwinan, pengendali lokasi dan individu," menurut SLA.
"Kami mengingatkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam majlis perkahwinan serta pasangan yang merancang perkahwinan mereka supaya mengetahui sepenuhnya (peraturan) dan mematuhi langkah-langkah sedia ada bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat."
Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.
Ini termasuk denda, penggantungan ke atas pengendali dan pendakwaan bagi kes-kes teruk, menurut SLA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.