Skip to main content

Singapura

Orang ramai turut berduka, simpati atas kematian adik-beradik di Upper Bukit Timah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jan 2022 05:17PM Dikemas Kini : 23 Jan 2022 09:12PM

SINGAPURA: Jambangan bunga, 37 tangkai bunga ros putih dan lilin diletakkan di tepi terusan di Upper Bukit Timah, dua hari selepas dua adik-beradik berusia 11 tahun ditemui mati. 

Tertera pada satu piring kertas yang dipotong berbentuk bunga, salah satu mesej berbunyi: "Semoga anda disemadikan dengan tenang (dan) keluarga anda dapat melabuhkan tirai detik sukar ini. Tiada seorang pun yang sepatutnya berdepan situasi sebegini, kami semua turut berduka cita."

Satu sesi berdoa dalam kalangan wakil berbilang agama, yang dihadiri enam pertubuhan keagamaan diadakan di terusan tersebut sekitar pukul 9.00 pagi hari ini (23 Jan). 

Wakil-wakil itu termasuk Imam Mohd Idris dari Masjid Al-Huda, Mulia Rui Zhen dari Kuil Beeh Low See dan Paderi Francis Lim dari Gereja St Ignatius. 

Anggota Parlimen GRC Holland Bukit-Timah Cik Sim Ann juga turut serta. Beliau mengatakan upacara itu untuk "menzahirkan" kesedihan yang dirasai oleh ramai dalam kalangan masyarakat sejak mayat kanak-kanak itu ditemui pada Jumaat petang.

"Walaupun kita tidak mengenali mereka secara peribadi, pemergian mereka sangat meruntun hati, terutama sekali kepada sesiapa saja yang bergelar ibu bapa. Ia adalah satu kehilangan yang tidak dapat dibayangkan.

"Saya tahu ramai yang tertanya-tanya bagaimana tragedi seperti ini berlaku. Saya percaya jawapannya akan terjawab dalam beberapa hari akan datang," katanya. 

Tambah Cik Sim lagi, pasukan akar umbinya tidak mengenali keluarga dua mangsa itu dan belum berhubungan dengan mereka.

Sebilangan penduduk bertanyakan kepada Cik Sim sama ada persepsi tentang keselamatan di kejiranan tersebut akan terjejas berikutan tragedi ini.

Cik Sim sebaliknya menjelaskan ia perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak polis selepas kes selesai nanti.

Pihak polis menerima panggilan meminta bantuan daripada bapa mangsa pada pukul pada 6.25 petang Jumaat (21 Jan). Para pegawai kemudian menjumpai adik beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dekat taman permainan di Greenridge Crescent dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik. 

Pada Sabtu (22 Jan), bapa kanak-kanak tersebut, seorang lelaki berusia 48 tahun, diberkas kerana disyaki terlibat dalam kematian dua anak lelakinya. 

Lelaki tersebut akan didakwa di Mahkamah esok (24 Jan) atas tuduhan membunuh, iaitu kesalahan yang membawa hukuman mati. 

Apabila ditemu bual oleh Mediacorp hari ini, penduduk di daerah Eng Kong, di mana terletaknya taman permainan itu, turut berdukacita dengan pemergian kanak-kanak itu. 

Seorang lelaki berusia 47 tahun, yang mahu dikenali sebagai Encik Koh, berpindah ke rumahnya yang berhadapan dengan terusan di Upper Bukit Timah itu tujuh bulan yang lalu. 

"Ia sangat menyedihkan dan ramai di antara kita sangat terkejut kerana estet ini selalunya tempat yang sangat tenteram dan aman," kata lelaki berkenaan. 

"Saya berharap ada penutup buat keluarga kanak-kanak itu dan semuanya akan sampai ke pengakhiran yang wajar," kata seorang lagi penduduk Greenridge Crescent, yang enggan mendedahkan namanya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita